Viral duduk dalam bangsal! Kedaifan Radzuan dapat perhatian
Published byMASALAH kemiskinan dan kedaifan yang membelenggu seseorang atau keluarga selain beberapa faktor yang mempengaruhi juga mungkin kerana sudah ditakdirkan. Untuk itu, bagi kita yang bernasib baik dan berkemampuan wajar bersimpati membantu mereka untuk meneruskan kehidupan harian dengan usaha termampu. Lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan yang mulia lagi barakah ini. : KitaReporters
Beginilah keadaan khemah yang menjadi kediaman Radzuan Ismail sekeluarga di Kampung Malan, Dangi, Johol, Negeri Sembilan sejak lima tahun lalu. - Kredit foto: FB Waghih Negeri Sembilan.
Memanglah ada berbagai organisasi seperti jabatan atau agensi tertentu termasuklah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Lembaga Zakat, Baitulmal, NGO dan lain-lain yang berperanan serta membantu golongan tersebut.
Bagaimanapun masih ada kes-kes tertentu yang tidak terhidu oleh pihak-pihak yang ingin berbakti membantu mereka disebabkan kekangan-kekangan hingga membantutkan usaha murni itu.
Dalam konteks ini adalah menjadi tanggungjawab bersama masyarakat termasuklah jiran-jiran, kelompok komuniti, ketua kampung, penghulu, wakil rakyat, persatuan penduduk, Ahli Jawatankuasa Surau/Masjid, NGO dan sesiapa sahaja boleh memberitahu mengenai adanya keluarga miskin dan daif yang berhampiran untuk diuar-uarkan kepada pihak bertanggungjawab.
Isu sebuah keluarga enam anak di Kampung Malan, Dangi, Johol di Negeri Sembilan yang tular dalam media sosial wajar dijadikan iktibar dan pengajaran kepada kita sebagai anggota masyarakat serta kumoniti.
Jika setiap antara kita mempunyai peranan dan rasa penuh tanggungjawab mengambil perhatian mana-mana jiran, rakan atau siapa sahaja yang susah sudah tentulah tidak akan berlaku kes seperti ini.
Isu kedaifan keluarga Radzuan Ismail yang tinggal di dalam khemah telah mendapat perhatian Undang Luak Johol, Dato' Muhammad Abdullah (kiri) dan meminta Yayasan Undang Luak Johol mendapatkan laporan lengkap mengenainya. - Kredit foto: FB IPSI.
Paparan FB Waghih Negeri Sembilan pada Jumaat, 1 Mei 2020 telah memuatkan kisah satu keluarga enam anak yang terpaksa tinggal di khemah uzur dan usang di Kampung Malan, Dangi, Johol kerana masalah kewangan untuk membina rumah sebagai tempat kediaman sejak lima tahun lalu, sekalipun memiliki tanah sendiri yang diwarisi daripada peninggalan arwah kedua-dua orang tuanya.
Dengan tularnya berita yang dianggap mengejutkan ini telah menarik perhatian Undang Luak Johol, Dato' Muhammad Abdullah dan mahukan siasatan dibuat untuk mengetahui punca kenapa keluarga tersebut tinggal di dalam khemah.
Beliau mahukan laporan lengkap mengenai isu keluarga Radzuan Ismail, 42, bekas pengawal keselamatan yang kini bertugas sebagai pemandu forklift di kilang kelapa sawit di Batu 10 terletak berhampiran tempat ia tinggal.
Sehubungan dengan itu, Undang Luak Johol meminta Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Undang Luak Johol mendapatkan laporan lengkap mengenainya untuk diselesaikan, lebih-lebih lagi keluarga berkenaan dikatakan pernah memohon mendapatkan rumah PPRT, bagaimanapun hingga sekarang masih belum menjadi kenyataan.
Keadaan bahagian dalam khemah yang menjadi kediaman Radzuan dan keluarganya di Kampung Malan, Dangi - Kredit foto: FB Waghih Negeri Sembilan.
Wakil Yayasan Undang Luak Johol itu pada paparan media sosial berkenaan menyatakan akan menyediakan laporan mengenainya termasuk karenah birokrasi untuk mendapatkan rumah PPRT yang dialami keluarga terlibat kepada Undang Luak Johol.
Menurut wakil itu, Undang Luak Johol sebagai pemerintah Luak Johol pastilah tidak mahu melihat rakyatnya tinggal dalam keadaan daif.
Undang Luak Johol katanya, pasti akan meminta agensi kerajaan yang terlibat mengambil tindakan segera membantu keluarga malang ini mendapatkan sebuah rumah PPRT.
Dalam pada itu, Perbadanan Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (PBMaINS), Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) pada hari yang sama menghantar tiga pegawainya mengunjungi keluarga Radzuan di kediamannya.
Mereka terdiri daripada Ketua Wilayah Timur PBMaINS MAINS, Mohd Shahrizad Abu Kasim; Pegawai Agihan, Mohd Irfan Aqil Kamaruddin; dan Pegawai Skuad Bela Asnaf, Hasbullah Ahmad, menurut paparan FB PBMaINS MAINS.
Radzuan Ismail ( kiri ) memberi penerangan mengenai kehidupan keluarganya kepada tiga pegawai dari PBMaINS MAINS yang berkunjung ke kediaman beliau - Kredit foto: FB PBMaIS MAINS.
Selain mengunjungi keluarga Radzuan untuk mendapatkan maklumat mengenai masalah dihadapi, pegawai-pegawai PBMaINS MAINS juga menyampaikan bantuan kewangan segera dan barangan makanan asas keperluan harian.
Kesusahan keluarga Radzuan yang hanya tinggal dalam khemah usang dan uzur terbongkar bila frontliner IPD Johol yang menghantar adiknya, Maznah Ismail kekediaman tersebut menularkannya dalam media sosial.
Maznah yang mengikuti Program Ph.D Jurusan Kejuruteraan Awam di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor terkandas di kampus salepas larangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilonggarkan untuk dibenarkan pulang ke kampung halaman pada 30 April 2020.
Radzuan (kiri) menerima sumbangan kewangan daripada salah seorang pegawai PBMaINS MAINS. - Kredit foto: FB PBMaINS MAINS
Radzuan yang mempunyai enam orang anak, tiga daripadanya berumur antara 6 hingga 14 tahun serta isteri terpaksa tinggal di khemah tersebut selepas rumah tinggalan arwah ayah dan ibunya terbakar pada 20 Oktober 2015 serta tidak mampu mendirikan rumah baharu disebabkan gaji bulanannya hanya RM1,200.
Ayah beliau yang meninggal pada 2011 sempat pindah milik nama rumah dan tanah kepada Maznah pada 2010. Bagaimanapun, adiknya yang tinggal di khemah tersebut bila pulang cuti semester memberikan rumah dan tanah berkenaan dengan kerelaan hati kepada Radzuan setelah ibu mereka meninggal.
Sebelum ini, Radzuan pernah memohon rumah PPRT dari kerajaan tetapi sampai sekarang belum ada sebarang jawapan.
Anak sulung Raduan merupakan lulusan kolej di Jordan dan sedang menyambung pengajian peringkat Sarjana di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), anak kedua lulusan Sarjana Muda Universiti Teknikal Malaysia (UTeM) dan anak ketiganya lulusan Politeknik Sultan Idris Shah, Sabak Bernam, Selangor. - KitaReporters