RAMADAN yang lalu dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membanteras penularan Covid-19 seolah-olah membuka hidayah kepada saya untuk berusaha gigih mendalami ajaran agama Islam. Saya sudah tujuh tahun memeluk Islam tetapi sepanjang tempoh itu saya tiada pedoman dan tidak mendapat didikan mengenai ajaran agama Islam yang betul, bagaimanapun saya tetap taat sebagai seorang Muslim,” kata Toon Boon Chan, 65. : KitaReporters

Toon Boon Chan atau Samsuddin Toon Abdullah terpaksa berkerusi roda kerana menghidap sakit tulang belakang yang juga menyebabkan bahagian badan kanannya menjadi lemah. 


Beliau yang kini dikenali dengan nama Samsuddin Toon Abdullah berkata, walaupun sudah disisihkan keluarga kerana menukar agama daripada Kristian kepada Islam dan menghadapi tekanan perasaan, sebaliknya perkara itu menguatkan lagi pegangannya kepada Islam.

Menurutnya, isteri beliau bersama-sama tiga anaknya sudah berhijrah dan menetap di luar negara yang memberi tamparan hebat apabila terputus hubungan dengan mereka, bagaimanapun dia tidak pernah jemu berdoa kepada Allah SWT supaya dapat bertemu anak-anaknya itu.

Selepas tujuh bulan menetap di Pusat Jagaan Nur Hasanah, Beranang, Selangor, Samsuddin berasa jiwanya semakin tenang dan bersyukur kepada Allah SWT kerana dapat mendalami ajaran Islam di pusat itu.

Samduddin Toon sedang menikmati minum petang sambil ditemani Mohiadin Bahado.  


Beliau berkata, di pusat itu disediakan dua ustaz untuk mengajar pelbagai ilmu mengenai agama Islam bagi memberi bimbingan yang bukan sahaja kepada mualaf tetapi juga kepada warga emas yang beragama Islam.

Menurutnya, dia berasa seronok dapat bergaul dengan mereka dan berkongsi pelbagai cerita yang menyentuh perasaan apabila ramai juga yang turut disisih oleh keluarga kerana sudah uzur dan berpenyakit serta hilang tempat berteduh.

“Mereka memberi semangat kepada saya untuk memenuhi cita-cita menjadi seorang penganut Islam sejati sebelum menghembur nafas terakhir dan terus berdoa supaya dapat bertemu dengan tiga anak saya.

“Saya bersyukur kepada Allah kerana pada tahun ini dapat berpuasa penuh dan menunaikan solat  fardu dan sunat tarawih yang saya tidak dapat lakukan dengan sepenuhnya sebelum ini,” katanya.

Azman Ali Ahmad disisih oleh keluarga selepas menghidap strok dan tidak mampu bekerja untuk menyara keluarga. 


Bagi Azman Ali Ahmad, 40, pula beliau bersyukur apabila ditempatkan di pusat itu kerana menyelamatkan dirinya daripada terpesong akidah apabila dibuang oleh keluarga sendiri selepas terkena strok akibat nahas sewaktu bertugas empat tahun lalu.

Menurutnya, selepas masuk ke pusat itu setahun lalu, dia dapat mendalami ajaran Islam dan berjaya khatan Quran sebanyak dua kali hasil bimbingan ustaz bertugas selain berasa kasih sayang daripada rakan-rakan yang senasib dengannya.

Mohiadin membimbing Azman menggunakan peralatan terapi untuk memulihkan kesihatan. 


“Banyak dugaan terpaksa saya tempohi termasuk dihina dan dihalau oleh saudara sendiri dan paling terkesan sudah empat tahun tidak bertemu dengan anak termasuk pada Aidilfitri lalu yang kini dijaga oleh bekas isterinya.

“Pada setiap petang saya akan berlegar-legar di depan pintu pagar pusat ini kerana menjangkakan anak saya akan datang menjenguk.

"Kadang-kadang saya tidak dapat menahan sebak kerana mereka tidak kunjung tiba,” kata Azman yang menderita strok pada sebelah kiri badan.

Mohiadin menunjukkan sebahagian peralatan terapi yang disumbangkan pelbagai pihak.


Pengerusi Pusat Jagaan Nur Hasanah, Mohiadin Bahado berkata, pusat itu, yang mula beroperasi pada tahun 2006, menempatkan 21 penghuni lelaki dalam kalangan seperti warga emas, Orang Kelainan Upaya (OKU), tiada waris selepas sekian lama terlantar di hospital dan disisih oleh ahli keluarga.

Menurutnya, penghuni pusat  itu akan diberi dibimbingan oleh dua ustaz yang bertugas, mengikuti rawatan terapi dan susulan di hospital atau pusat kesihatan berdekatan supaya penyakit yang hidapi mereka akan sembuh.


Pusat Jagaan Nur Hasanah sentiasa menjadi tumpuan pelbagai pihak untuk mengadakan program khidmat masyarakat.


“Pusat ini banyak dibantu pelbagai pihak seperti dalam kalangan individu dan syarikat korporat yang bersimpati dengan nasib malang penghuninya dan membolehkan kami menyediakan pelbagai kemudahan untuk mereka.

“Kepada pelbagai pihak yang ingin menghulurkan bantuan atau ingin mengadakan program khidmat masyarakat di pusat itu boleh menghubungi nombor telefon pejabat 03-87668100 dan sumbangan boleh disalurkan ke dalam akaun CIMB-8002 260491,” katanya. - KitaReporters

13
4
4
1
11

Copy Link: