Kebakaran rumah Persatuan Kebajikan Anak Kepada Pesakit HIV/AIDS Nurul Iman Malaysia (PERNIM) di kampung Cheras Baru, Cheras, Kuala Lumpur pada hari ketujuh Ramadan (19 April 2021) lalu memusnahkan tingkat atas rumah yang didiami 20 penghuni semasa kejadian. 


UJIAN hari ketujuh Ramadan buat penghuni rumah Persatuan Kebajikan Anak Kepada Pesakit HIV/AIDS Nurul Iman Malaysia (PERNIM) yang nyaris tinggal sehelai sepinggang apabila kesemua mereka keluar menyelamatkan diri selepas mendapati tingkat atas kediaman mereka di Kampung Cheras Baru, Cheras, Kuala Lumpur terbakar pada petang Isnin. 19 April 2021.

Dalam kejadian lebih kurang jam 4.40 petang itu, kesemua 20 mangsa (yang ada di rumah ketika itu) terdiri daripada anak anugerah - anak yatim piatu, anak tidak sah taraf, anak terbiar dan pesakit HIV/AIDS - sempat menyelamatkan diri apabila mendapati api semakin marak dan sukar dikawal.

Kebakaran berlaku ketika sebahagian penghuni kediaman terbabit sedang sibuk menjalankan aktiviti berjualan daripada rumah dan membuat persiapan untuk berbuka puasa.


Lagi cerita-cerita prihatin berkaitan Tolong Kami

Hampir ke semua bilik di tingkat atas hangus dan tidak dapat digunakan semula dalam kebakaran rumah kebajikan PERNIM di Kampung Cheras Baru pada hari ketujuh Ramadan yang lalu.


Menurut anak sulung keluarga tersebut, Noor Emylia Erna Roslan, dia sedang menguruskan juadah berbuka puasa dan berniaga di sebelah rumah kediaman. Tiba-tiba dia terdengar suara jeritan kuat dari adik perempuan yang duduk di tingkat atas rumah yang mengatakanApi sudah marak, tidak boleh diselamatkan lagi!’.

Tanpa melengahkan masa, Emylia dan adik perempuan Nur Syaheera Roslan memanggil dan mengejut adik-adik lain yang sedang lena tidur di dalam bilik selepas sesi persekolahan serta mengangkut keluar bayi dan adik-adik kecil dengan serta merta.

Mereka menjerit pertolongan daripada orang sekeliling dan juga jiran terdekat untuk membantu memadamkan api yang sedang marak sementara menunggu bomba tiba di tempat kejadian. Kesemua mangsa ditempatkan di rumah jiran hadapan bagi menenangkan diri dan menunggu api kebakaran reda.



PERNIM yang  juga dikenali sebagai Pertubuhan Keluarga Besar Norlina Alawi Berhad (KBNAB) diasaskan oleh Norlina Alawi sejak 20 tahun lalu

Ketika kejadian beliau, suami dan dua anaknya dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghantar salah seorang penghuni rumah tersebut mendaftar masuk ke Kolej Vokasional Pertanian Chenor, Pahang pada sebelah pagi.

“Kami bertolak selepas subuh ke Chenor dan selesai urusan pendaftaran dan mengemaskan bilik anak, kami kembali ke Kuala Lumpur dan semasa dalam perjalanan pulang itu, anak sulung memberitahu rumah kami terbakar.

"Saya sangat terkejut dan panik sebab risaukan keselamatan semua anak di dalam rumah kerana ada yang masih bayi, anak-anak kecil dan juga anak yang tidak sihat. Syukurlah tidak berlaku kemalangan jiwa atau kecederaan walaupun saya sedih dengan apa yang berlaku dan menganggap ia sebagai ujian di bulan puasa,” katanya ketika ditemui.


Kebakaran bilik tingkat atas yang baru siap enam bulan lalu memusnahkan barangan peribadi anak-anak PERNIM , termasuk pakaian harian dan juga pakaian baharu,  pakaian, buku-buku dan beg sekolah juga tilam bantal serta selimut.


Rumah tersebut didiami sejak 2007 oleh keluarga kandung Norlina sendiri, anak-anak yatim yang ada antara mereka adalah pesakit HIV/AIDS, anak tidak sah taraf dan anak-anak yang waris enggan memelihara kerana bimbang dijangkiti HIV seramai 40 orang.

Bagaimanapun masing-masing ada yang telah berkahwin dan berpindah, sedang melanjutkan pelajaran di menara gading dan di kolej dan juga yang telah bekerja dan tinggal di luar daerah.

“Hampir semua penghuni dalam rumah ini pada hari kejadian mempunyai aktiviti masing-masing. Anak yang lebih besar dan tidak bersekolah mereka membantu persiapan berjualan daripada rumah seperti menjual ikan bakar pais tempoyak juga menjual air kerana kami membuka kedai mini menjual barang permainan kanak-kanak dan juga perkhidmatan fotostat.

“Selain itu bagi bayi dan kanak-kanak yang masih bersekolah rendah dan menengah selalunya berada di dalam rumah dan mereka menghabiskan masa membuat kerja sekolah atau menonton televisyen.

“Saya sendiri di sepanjang bulan Ramadan ini berniaga dengan menjual ikan pais tempoyak di Taman Nirwana, Cheras bermula jam dua petang dengan dibantu adik Nana Alawi dan anak-anak yang telah besar. Tujuannya mencari punca pendapatan bagi menambung perbelanjaan keluarga besar kami yang mencecah lima angka sebulan,” katanya.



Tambahnya beliau terkilan kerana tingkat atas rumahnya yang hangus itu baharu sahaja dibina akhir tahun lalu untuk memberi keselesaan kepada anak-anak bertukar pakaian dan dijadikan sebagai tempat tidur.

“Luluh hati saya dan suami melihat habis hangus kain baju, kelengkapan sekolah, buku-buku, barangan peribadi dan bilik tidur mereka apabila semuanya dijilat api. Menurut mereka tidak dapat menyelamatkan apa-apa kerana api sangat kuat sehingga menjejaskan struktur lantai bilik atas dan tembus ke tingkat bawah.

“Suami masih lagi mengira kos kerosakan yang dialami dan kami bercadang membinanya semula demi anak-anak walaupun masih buntu memikirkan sumber kewangannya,” katanya.

Susulan kejadian tersebut, jiran hadapan rumah telah menelefon pihak bomba untuk memadamkan kebakaran.

“Kami sangat terhutang budi kepada jiran tetangga yang bertungkus lumus membantu kebakaran sebelum bomba datang," katanya lagi. 

Menurut anak-anak, beberapa lelaki (jiran) memberanikan diri masuk ke dalam rumah dan naik ke atas tingkat atas untuk memadamkan api yang sedang marak dengan menggunakan air paip dan alat pemadam api yang dibawa daripada kedai berdekatan.

“Malah pihak bomba sendiri mengatakan tanpa bantuan jiran  terbabit, kebakaran dijangka lebih teruk sehingga api boleh menyambar ke tingkat bawah,” ujarnya.

Sekiranya  ada pihak-pihak yang mahu menghulurkan bantuan, maklumatnya seperti berikut: Akaun RHB Bank: Persatuan Kebajikan Anak Pesakit HIV/AIDS Nurul Iman Malaysia – 26412400017776 (penyumbang layak mendapat pengecualian cukai). - KitaReporters


Pengasas Persatuan Kebajikan Anak Kepada Pesakit HIV/AIDS Nurul Iman Malaysia (PERNIM), Norlina Alawi ( jubah hitam)  bersama sebahagian daripada 40 penghuni rumah yang terdiri di kalangan ahli keluarga,  anak anugerah - anak yatim piatu, anak tidak sah taraf, anak terbiar dan pesakit HIV/AIDS.

4
1
6
1
0

Copy Link: