Kerana COVID-19! Dibuang kerja, suami pula OKU! Cik Yam kongsi tip kejayaan jadi penulis upahan!
Published byMajalah terakhir tempat mencurahkan khidmat sebagai wartawan.
Bersangka baiklah kepada Allah SWT, insya-Allah pasti penghujungnya manis bak madu. Dalam era pandemik ini segalanya menjadi kucar-kacir. Ramai yang hilang mata pencarian seterusnya menambahkan tekanan hidup.
Namun, janganlah kita jadikan ujian itu beban yang memusnahkan diri. Allah SWT tidak akan menguji hamba-Nya yang tidak berdaya.
Benar, berkata-kata itu sangatlah mudah namun yang menanggungnya ibarat ‘menongkat gunung’. Berat, susah dan derita! Tetapi siapa lagi yang mahu menolong andai bukan diri sendiri.
Hendak seribu daya tak nak seribu dalih. Kisah seorang
bekas wartawan ini boleh dijadikan teladan. Sebagai manusia biasa, ujian yang
diterima olehnya tetap mendatangkan kesan buruk terhadap jiwa dan emosinya.
Sungguhpun begitu, ujian yang diterima, disambut dengan semangat menggunung. Bukan sebagai musuh dan bukan juga sebagai sahabat baik!
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan wartawan
Sentiasa mendapat sokongan suami demi memajukan kerjaya sebagai penulis upahan.
Maryam Elyas atau mesra disapa sebagai Cik Yam merupakan bekas wartawan dari majalah masakan popular negara. Wanita berusia 44 tahun ini memiliki dua orang anak hasil perkahwinannya dengan suami, Amran Karno, 43, yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU).
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada tahun 2004, namun pada Februari 2021, khidmatnya tidak lagi diperlukan. Akibat COVID-19, ramai wartawan di tempatnya bekerja terpaksa ditamatkan khidmat termasuk dirinya.
Maka, bermulalah episod hitam menyelubungi hidupnya.
Dalam keadaan diri yang belum bersedia, berita itu memberi tamparan hebat
kepada emosinya. Air mata menjadi teman setia.
Mengenangkan anak-anak yang masih kecil, suami yang tiada pendapatan tetap, bil bulanan serta komitmen lain, mula berasak-asak menceroboh benak hatinya.
Dua cahaya mata yang jadi sumber kekuatan selepas diberhentikan kerja.
Tidak keruan, stres dan panik mula menguasai diri. Namun,
berbekalkan semangat dan sokongan keluarga serta rakan-rakan, dia gagahkan diri
belajar ‘memeluk’ takdir. Apatah lagi dia mula menyedari potensi diri yang ada
padanya. Rugi benar kalau tidak digunakan!
“Apabila diberhentikan kerja, memang rasa ‘down’. Dua hari murung duduk dalam bilik, menangis. Anak-anak tanya mama kenapa? Suami pun bingung tak tahu nak buat apa. Suami sangat membantu. Masak dan jaga anak.
“Saya tahu saya tak boleh sedih lama-lama. Saya kena
bangkit sebab saya pencari nafkah utama dalam keluarga. Saya cari potensi diri
saya. Saya kenal pasti apa kelebihan yang saya ada.
“Sebagai bekas wartawan, saya tahu kelebihan saya
adalah dalam bidang penulisan. Saya sertai kursus berkaitan penulis upahan dan penulisan
konten berstrategi.
“Kalau boleh saya nak sertai banyak kursus berkaitan tetapi disebabkan kekangan kewangan, saya pilih yang perlu sahaja,” ceritanya ketika dihubungi melalui aplikasi WhatsApp.
Bilik tidur yang diubah suai menjadi ruang menulis.
Mega hitam dalam hidupnya mula beralih. Sinar mula
mengintai hasil daripada semangatnya. Keputusan untuk bangkit dan memilih
bidang penulis upahan atau dipanggil ‘ghost writer’ dilihat tepat.
“Saya pilih bidang ini kerana boleh buat duit dengan cepat. Saya perlu ada duit tunai dengan cepat untuk tampung keperluan komitmen bulanan.
“Jadi penulis upahan, apabila dapat ‘job’, terus
boleh dapat upah. Ini berbeza dengan tugas penulisan yang lain seperti penulis
buku atau penulis sambilan di mana-mana syarikat yang menggunakan ‘claim basis’,”
jelasnya.
Tidak menunggu lama, Cik Yam mula mengatur strategi dengan langkah pertama iaitu menubuhkan sebuah syarikat di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dengan nama Cik Yam Creative Empire (CYC).
Memenangi Anugerah Wartawan Rencana Bahasa Melayu Terbaik anjuran Malaysian Press Institute (MPI) dan Petronas 2007.
Kemudian dia mula membuat laman webwww.maryamelyas.my. Tujuannya tidak lain tidak bukan adalah sebagai penjenamaan.
“Kenapa buat syarikat dan laman web? Kedua-duanya
sebab bertujuan untuk penjenamaan. Benda ni sangat penting untuk meyakinkan
bakal pelanggan yang hendak mengupah saya menulis bagi pihak mereka.
“Memang sangat penting penjenamaan kerana mewujudkan
lebih kepercayaan atau 'trust' daripada bakal pelanggan,” kongsinya.
Hasil kerja-kerasnya yang hanya dalam tempoh singkat membuah hasil. Tuaian demi tuaian diterima. Ini bukan auta tetapi fakta yang dia sendiri hampir tidak percaya! Malah kejayaannya itu, memberi semangat dan rangsangan kepada rakan-rakan senasib.
Bersama rakan setugas editorial majalah.
“Dalam tempoh tiga bulan pertama, CYC telah berjaya membuat ‘income’ hampir RM10,000. Bagi saya ini kejayaan yang sangat membanggakan walaupun syarikat ini masih baru. Bukan mudah untuk mendapat ‘income’ sebegitu apatah lagi dengan usia syarikat baru tiga bulan.
“CYC mempunyai tim seramai empat orang terdiri
daripada bekas wartawan yang juga hilang pekerjaan. CYC perlukan tim untuk
melaksanakan tugas penulisan yang semakin banyak permintaan.
“Bermula dengan tempahan penulisan copywriting
berharga RM15, kini CYC mendapat kepercayaan untuk menghasilkan manuskrip buku
bernilai RM9,000 untuk satu projek.
“Semua ini adalah kejayaan yang membanggakan yang
datang daripada kepercayaan pelanggan kepada CYC,” ujarnya bersyukur dengan
rezeki yang diberi Allah SWT.
Tidak lokek berkongsi kejayaan, menurut Cik Yam setiap apa yang berlaku itu ada hikmahnya. Apa yang penting, jangan mudah putus asa dan membiarkan masalah memusnahkan diri.
Menulis itu memberi ketenangan.
“Bidang penulis upahan ini sedang berkembang. Pada
zaman konten, ramai yang memerlukan konten untuk media sosial dan website.
Jadi, peluang untuk menjana ‘income’ dalam bidang ini adalah sangat luas.
“Saya bersyukur kerana walau hilang pekerjaan
sebagai wartawan senior, namun akhirnya saya tetap boleh menulis dalam bidang
penulis upahan,” akhirinya sambil menyelit beberapa tip berguna.
Berikut adalah tip yang dikongsi olehnya untuk menjadi penulis upahan yang berjaya:
- 1) Cepat bina penjenamaan diri dan syarikat. Perlu agresif dalam media sosial dan website.
- 2) Kukuhkan kepercayaan orang kepada servis kita.
- 3) Belajar teknik penulisan yang segar dalam media sosial. Kita kena ikut ‘trend’.
- 4) Kadangkala ada pelanggan yang menolak hasil tulisan kita. Jangan cepat terasa. Kita kena amalkan sikap profesional.
- 5) Kita kena anggap kerja kita ini sebagai bisnes. Urusan kena profesional dan teratur. - KitaReporters