“MEREKA dengan rela hati datang ke masjid dan surau untuk meminta bantuan walaupun bukan dalam kalangan ahli kariah kami, tetapi kami tetap bantu sebagai memenuhi tanggungjawab ummah yang perlu ditunaikan." Semua akan dibantu, tiada siapa yang akan disisih. : KitaReporters

Nazir MBTHO, Fairuz Mohamad (tengah) memberi taklimat ringkas kepada pengerusi surau mengenai pengagihan bungkusan barangan keperluan harian.  


“Kita sedar mereka itu pendatang asing dari Indonesia atau Bangladesh dan beberapa keluarga bukan Muslim.

"Tapi mereka terputus bekalan makanan serta hilang sumber pendapatan kerana tidak bekerja berikutan Perintah Kawalan Pergerakan bagi menyekat penularan Covid-19,” kata Ahli Jawatankuasa Biro Kebajikan dan Keceriaan Masjid Bandar Tun Hussein Onn (MBTHO), Cheras, Selangor, Mohd Syazuan Ruslan.

Beliau berkata, pertengahan Mac dan awal April 2020, MBTHO sudah mengadakan dua program pengagihan bantuan barangan keperluan harian kepada golongan asnaf seperti anak yatim, ibu tunggal dan keluarga miskin.


Menurutnya, dalam program itu beberapa pendatang dan keluarga bukan Muslim turut hadir dan beratur untuk menerima sumbangan barangan keperluan harian yang diperoleh melalui dana yang diderma oleh badan dan tokoh korporat, individu serta ahli kariah BTHO.

Katanya, dengan dana itu juga MBTHO mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian lagi untuk disalurkan kepada enam surau dalam kariah untuk diagihkan kepada golongan asnaf, ibu tunggal dan keluarga miskin yang mendaftar dengan mereka.

Nazir MBTHO, Fairuz Mohamad mengagihkan lebih 500 bungkusan barangan keperluan harian kepada pengerusi surau terbabit iaitu Surau As Siddiq, Surau Kasturi C180, Surau Al Amin, Surau Al Ansar, Surau Al Fatonah dan Madrasah Cheras Perdana dalam satu majlis pada Ahad, 19 April 2020. 

Perjalanan majlis itu turut dipantau anggota polis dari Balai Polis BTHO.

Pengerusi Surau As Siddiq, Muzaffar Mohd Anas menerima bungkusan barangan daripada Fairuz.


Sementara itu, Setiausaha Surau As Siddiq, Raja Fakran Raja Ahmad Supian, berkata pelbagai barangan keperluan harian yang disalurkan MBTHO kepada surau berkenaan sudah diagihkan kepada 100 penerima iaitu ahli kariah yang sudah didaftarkan termasuk mereka daripada kawasan perumahan berdekatan.

Menurutnya, mereka terbabit dalam kalangan yang tiada pendapatan tetap, bekerja sendiri seperti berniaga kecil-kecilan, pekerja yang dipotong gaji atau dibuang kerja di samping golongan asnaf, ibu tunggal dan keluarga miskin.

Majlis pengagihan yang diadakan itu dipantau pengerusi surau berkenaan, Muzaffar Mohd Anas dan Ketua Biro Kebajikan Sosial, Noor Alammi Lamsah.

Raja Fakran (baju merah) sedang mendaftar wakil keluarga sebelum menyerahkan bungkusan barangan keperluan harian. 


Raja Fakran berkata, dalam dua program sebelum ini yang ditaja beberapa individu dalam membantu keluarga yang kesempitan kerana PKP, enam pendatang asing dan bukan Muslim turut hadir untuk menerima bantuan.

“Dalam bungkusan yang disalurkan MBTHO itu, surau turut menambah beberapa barangan keperluan lain seperti buah kurma dan wang saku sebagai persediaan menghadapi Ramadan.

Raja Fakran Raja Ahmad Supian


“Majlis itu selain turut dipantau oleh anggota polis dari Balai Polis BTHO juga mematuhi Garis Panduan Penyampaian Sumbangan Prihatin yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) supaya dapat menghalang penularan wabak Covid-19,” katanya. - KitaReporters

Ahli Jawatankuasa Surau As Siddiq menyusun bungkusan barangan keperluan harian untuk diberikan asnaf, ibu tunggal, keluarga miskin, pendatang asing dan non muslim yang turut hadir.

3
0
0
0
0

Copy Link: