Selamat di dalam perlindungan kedutaan.


MESKIPUN pengalaman yang dilalui sangat pahit tetapi empat wanita Indonesia tetap mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang membantu mereka ketika menyelamatkan diri daripada terus didera dan dikurung oleh ejen pengambil pekerja asing di negara ini.

Mereka Sandra, Susila, Nanih dan Desi dijangka pulang secepat mungkin kerana dokumen perjalanan mereka sudahpun disiapkan oleh pihak Kedutaan Indonesia kecuali tiket penerbangan yang belum dapat. Sebelum ini mereka dijangka pulang selewat-lewatnya hujung Januari 2022.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Ukhwah Fillah (Pkuf) Murnati Usman @ Umi Ati berkata pihaknya diberitahu oleh kedutaan wanita berkenaan dijangka dihantar pulang seberapa segera kerana semua dokumen sudah ada cuma tiket penerbangan yang sudah ditempah masih belum dapat.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghantar pakaian keempat wanita berkenaan yang ditinggalkan di tempat penginapan sementara mereka di Tahfiz DarulJanah Rawang. Wanita-wanita itu kini berada di rumah yang disediakan oleh Kedutaan Indonesia.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Pkuf

Kami selamat, demikian kata empat wanita Indonesia yang berpengalaman didera mental dan dikurung oleh ejen mereka.


Pakaian itu tidak sempat dibawa bersama wanita berkenaan ketika mereka diminta hadir kedutaan untuk melengkapkan maklumat kejadian didera dengan dikurung tanpa memberi makanan secukupnya. Dan mereka tidak dibenarkan keluar dari kedutaan atas aspek keselamatan dan risiko ditahan tanpa ada dokumen.

Umi Ati turut membawa tiga pelajar dari tahfiz yang sebelum ini menemani mereka di rumah penginapan berkenaan. Mereka saling berpelukan dan menangis kerana kerinduan sambil tidak putus mengucapkan ribuan terima kasih kepada  Umi Ati yang diminta oleh kedutaan untuk menempatkan mereka buat sementara waktu.

Wanita berkenaan turut diberi makan minum percuma dan pakaian terpakai kerana salah seorang daripada tidak sempat membawa pakaian sebaik melarikan diri dari rumah ejen berkenaan. 



Dalam laporan sebelum ini menceritakan bagaimana empat wanita itu mengambil keputusan nekad untuk terjun dari tingkat 3 rumah ejen mereka pada jam 2 pagi sebelum diselamatkan oleh seorang lelaki Cina yang menjumpai mereka sedang merayau di jalan raya meminta bantuan orang ramai.

Lelaki Cina itu kemudian menghantar mereka ke sebuah masjid dan selepas itu ke surau kerana masjid berkenaan ditutup. Akhirnya ada seorang jemaah surau, sudi membantu wanita berkenaan. 

Bagaimanapun selepas sehari memberi mereka makan, lelaki berkenaan menjual pula wanita itu kepada rakan baiknya yang juga seorang ejen pengambilan tenaga asing dengan bayaran RM200. Sebelum ini, mereka sudah dijual oleh ejen yang menguruskan kemasukan mereka ke Malaysia.

Selepas diselamatkan mereka kemudian dihantar ke kedutaan pada 20 Disember 2021 lalu dan ditempatkan di asrama bersama-sama ramai oleh warga Indonesia.  



Sementara itu, jurucakap Kedutaan Indonesia memberitahu mereka tidak mahu melengahkan perjalanan pulang wanita berkenaan. 

Semua urusan mereka ditanggung sepenuhnya oleh pihak kedutaan kerana wanita itu tidak mempunyai wang kerana selama dua bulan dikurung, mereka tidak diberi gaji atau upah bekerja di rumah ejen berkenaan. Mereka bekerja dari jam 6 pagi hingga 12 malam dan tidak dibenarkan bersolat.

"Kami menempatkan berpuluh-puluh orang tenaga pekerja yang melarikan diri daripada majikan atau ejen dan sesetengahnya adalah pelajar dari sekolah tahfiz dan pandai membaca al-Quran. Kita akan pastikan kebajikan mereka terjaga dengan sebaik-baiknya sebelum mereka pulang ke tanah air," kata jurucakap berkenaan.

Tiga daripada empat wanita itu berasal dari Jawa serta seorang dari Bali itu ditempatkan di rumah persinggahan sementara di kedutaan sebab dokumen pengenalan diri termasuk pasport disimpan oleh ejen terlibat.

"Mereka semua sudah berkahwin dan punyai anak antara seorang hingga tiga orang. 

"Pkuf hanya menyediakan tempat tinggal sementara selepas dihubungi oleh orang tengah kedutaan kerana sebelum ini wanita-wanita ini ditemui orang ramai berkeliaran di jalan raya meminta bantuan.

"Lebih pilu lagi apabila mereka dijual sebanyak dua kali. Satu oleh ejen di Indonesia dan sekali lagi sewaktu usaha menyelamatkan diri apabila dijual oleh seorang yang diamanahkan untuk membantu mereka," kata Umi Ati. - KitaReporters


Kakitangan kedutaan mengawasi penghantaran pakaian kepada wanita terbabit.

17
11
0
15
0

Copy Link: