Kegigihan Rohamiah Muda mendidik pelajar cacat pendengaran boleh dijadikan inspirasi buat golongan pendidik di luar sana. - Kredit Foto: Koleksi Peribadi Rohamiah Muda


SIAPA sangka bermula daripada minat untuk mendalami bahasa isyarat telah menjadikan seorang wanita gigih mendidik pelajar istimewa dalam kategori cacat pendengaran (pekak).

Pensyarah Politeknik Ibrahim Sultan di Pasir Gudang, Johor, Rohamiah Muda, 45, telah berpengalaman selama 20 tahun sejak beliau merebut peluang untuk mendidik pelajar pekak bermula 2001.

Menurutnya, ketika Ketua Jabatan membuat pengumuman kepada para pensyarah yang ingin mengajar pelajar pekak, saya terus bersetuju dan memberi nama untuk dihantar kursus bahasa isyarat. Minat yang sangat mendalam menyebabkan beliau cepat menangkap apa yang diajar.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Orang Kurang Upaya

 

Kredit foto: FB Rohamiah Muda


“Kursus bahasa isyarat selama dua minggu sahaja memang tidak mencukupi untuk memahirkan seorang pensyarah mengajar pelajar pekak. Namun, saya berusaha sendiri mempelajari bahasa isyarat dengan pelajar pekak. Tambahan pula, ketika itu tiada kemudahan seperti sekarang yang boleh belajar sendiri melalui YouTube atau belajar secara dalam talian,” jelasnya.

Di samping itu, pengalaman menjadi warden di asrama bersama pelajar pekak memahirkan lagi Rohamiah untuk berbahasa isyarat. Setiap hari berkomunikasi dengan pelajar istimewa dengan gerakan tangan sudah cukup untuk menjadikan beliau lebih cekap.

Sepanjang 20 tahun mendidik pelajar pekak, banyak kenangan manis dan pahit ibu kepada tujuh cahaya mata ini bersama mereka.


Banyak kenangan pahit manis Rohamiah dalam mendidik pelajar pekak yang disifatkan mempunyai jiwa yang tulus. 


Cerita Rohamiah, ada satu kenangan yang tidak dapat dilupakan ketika beliau menjadi warden, di mana pada suatu hari, tiba-tiba pintu rumahnya diketuk dengan sangat kuat.

Apabila pintu dibuka dan beliau terkejut melihat seorang pelajar pekak memapah kawannya yang berlumuran dengan darah di kepala. Beliau yang agak panik terus menghubungi pegawai asrama untuk mendapat bantuan. Apabila ditanya, rupanya pelajar pekak ini terjatuh di bilik air.

Selepas lukanya dibalut, Rohamiah membawa pelajar itu ke hospital untuk  mendapatkan rawatan lanjut. Setiap kali membawa pelajar pekak ke klinik atau hospital, beliau akan bertindak sebagai jurubahasa kepada doktor dan jururawat.


Rohamiah bersama salah seorang pelajarnya yang cacat pendengaran tapi berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam pengajian. 


Satu kisah lagi dikongsi Rohamiah adalah tragedi seorang pelajar pekak lelaki yang cuba untuk terjun dari bangunan tingkat empat kerana berlaku salah faham antara dia dengan rakannya.

Beberapa orang pensyarah di jabatan pelajar itu terpaksa mainkan peranan dengan memujuk supaya dia tidak terjun. Di bawah bangunan telah tersedia dengan beberapa orang ahli bomba bersama pelampung sebagai penyelamat jika pelajar itu terjun.

“Kadang-kadang tindakan pelajar pekak ini tidak terjangka dek akal. Pernah suatu malam, seorang pelajar pekak mengetuk pintu rumah warden pada jam 1 pagi semata-mata ingin bertanya kelas ada atau tiada pada hari esok,” imbau Rohamiah yang menganggap itu adalah sesuatu yang pelik ketika mula bergelar warden asrama.


Pengalaman bersama pelajar pekak ini turut dimuatkan kisahnya di dalam buku beliau yang bertajuk Berdamai Dengan Takdir. - Kredit foto: Rohani Mat Ali


Dalam pada itu, Rohamiah yang juga seorang penulis buku-buku dakwah bertajuk Berdamai Dengan Takdir, Indahnya Hidup Bertuhan dan Allah Sayang Kita berpandangan, walaupun pelajar ini ada masalah pendengaran, namun mereka dikurniakan beberapa keistimewaan.

Antara keistimewaan pelajar pekak yang dilihat oleh pensyarah ini adalah kebanyakan daripada mereka memiliki wajah yang sangat cantik, kacak dan kelihatan seperti orang normal yang tiada kecacatan. Bahkan ada seorang pelajar lelaki ditawarkan menjadi model sebuah majalah remaja.

“Cuma mereka tidak boleh bercakap serta mendengar seperti manusia biasa. Mungkin hanya 20 peratus pelajar pekak yang boleh bercakap dan mendengar dengan memakai alat pendengaran,” ujarnya.

Tambah pensyarah ini lagi, pelajar pekak jiwanya sangat tulus. Bila ditanya, mereka jawab dengan jujur. 

Apabila disoal, "Siapa tidak solat Subuh pagi tadi?" Mereka  angkat tangan tanpa rasa segan dan malu. Bila ditanya lagi, "Siapa pernah mencuri?" Pun sama, mereka cerita pengalaman sendiri. Masya-Allah. Allah kurniakan jiwa yang berbeza daripada pelajar normal yang lain.


Salah satu penglibatan Rohamiah dalam program Webinar Kebolehpasaran Murid Berkeperluan Khas untuk pelajar istimewa. 


Banyak lagi kisah menarik pelajar istimewa ini yang diceritakan oleh Rohamiah. Sepanjang mengajar, beliau telah mendidik beberapa pasangan kembar pelajar pekak. Ada pasangan kembar lelaki dan ada pasangan kembar perempuan. Ada seorang pelajar beliau di mana semua adik-beradiknya dilahirkan cacat pendengaran. Allahu Akbar.

Satu kisah pelajar pekak yang sangat indah dalam hidup Rohamiah ialah beliau telah membantu seorang pelajar pekak perempuan untuk memeluk Islam. Bermula daripada mengucap dua kalimah syahadah, membawa dia ke pejabat agama untuk mendaftar keislamannya, membawa dia membuat laporan polis serta urusan angkat sumpah,

Kini, setelah dua dekad mengajar pelajar pekak, beliau melihat satu persatu kejayaan anak didik beliau di dunia realiti. Baginya, kejayaan mereka adalah kebahagiaan seorang pensyarah atau guru yang pernah mendidik pelajar pekak sama ada di peringkat sekolah mahu pun institusi pengajian tinggi termasuk politeknik.


Antara kisah kejayaan salah seorang pelajar Rohamiah, Syed Mohd. Shahidan Syed Mohd Rasidi yang bergelar usahawan.


“Ada yang menjadi designer, ada yang menjadi cef, ada yang membuka restoran  dan ada yang mempunyai syarikat perniagaan sendiri,” jelasnya.

Antara yang telah mencipta nama setelah menamatkan pengajian ialah graduan bernama Nor Adzleen Abdul Karim atau dikenali dengan panggilan Cef Leen dan Syed Mohd. Shahidan Syed Mohd Rasidi. Kedua-dua bekas pelajar Rohamiah ini telah berjaya membuka syarikat sendiri.

Subhanallah. Besar sungguh jasa Rohamiah dalam mendidik anak bangsa. Semoga kisahnya dapat ditauladani para pendidik di luar sana serta diganjari Allah dengan 1001 kebaikan di dunia dan akhirat. - KitaReporters


Rohamiah bersama suami dan tujuh anak mereka yang menjadi pendorong untuknya terus berjaya dalam kehidupan. 

11
3
0
0
0

Copy Link: