Tolong kami! Bantu didik anak-anak Orang Asli etnik Bateq!
Published byCABARAN pendidikan kanak-kanak Orang Ali Bateq di pedalaman Taman Negara Kuala Tahan dan Hulu Tembeling daerah Jerantut sememangnya umum sudah pun mengetahui apatah lagi kehidupan masyarakat itu diwarisi dengan kemiskinan relatif sejak dahulu. : KitaReporters
Sebahagian anak-anak Orang Asli etnik Bateq masih tinggal di bangsal binaan kayu hutan beratap rumbia masih asimilasi dengan kemiskinan relatif di Kampung Dedari, Taman Negara Kuala Tahan, Jerantut. - Kredit foto: FB Ratu Bako.
Lagi kisah-kisah berkaitan Orang Asli:
https://kitareporters.com/search?search=orang+asli
Walaupun ada sesetengah penempatan masyarakat minoriti itu agak selesa dengan tempat tinggal, bekalan elektrik,
air dan sebagainya disediakan oleh kerajaan di tempat lain, tetapi sebilangan besar yang tinggal di pedalaman Hulu Tembeling masih lagi berdepan kesusahan sehingga ini.
Bagi seorang kanak Orang Asli Bateq Kampung Teresek berdekatan Taman Negara Kuala Tahan, Khairul a/l Ameng, 10, kehidupannya tidaklah seindah seperti rakan kaum lain kerana masih berada di pelantar kemiskinan.
Tetapi, kemiskinan keluarga yang tinggal di bangsal kayu hutan dan atap rumbia begitu sinonim sebagai tempat berteduh siang dan malam bagi penduduk Orang Asli etnik Bateq yang tinggal di hutan tropika Taman Negara tidak membantutkan semangat Khairul untuk belajar.
Pada musim cuti persekolahan (diberi cuti awal berikutan penularan pandemik COVID-19) akhir tahun ini, Khairul tidak mensia-siakan masa senggang untuk belajar dan mengulang kaji pelajaran.
Khairul a/l Ameng mengulang kaji pelajaran di bawah sinaran cahaya lampu solar di sebuah bangsal sebagai kediaman keluarganya di Kampung Teresek, Taman Negara Kuala Tahan, Jerantut. - Kredit foto: Roslan Abu Kassim
Murid Tahun Empat, Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Tahan dekat sini tekun mengulang kaji pelajaran walaupun berdepan dengan serba kekurangan.
Ibarat kata orang-orang tua, 'jauh panggang dari api', lantaran itu dia juga tidak pernah menikmati kemudahan peralatan peranti dan belajar secara dalam talian (maya) di rumah seperti rakan dari kaum lain menikmati pembelajaran secara maya yang diperkenalkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) awal tahun ini.
Khairul mengulang kaji pelajaran dan membaca buku di ruang tengah bangsal ruang tidur keluarga yang sempit tanpa kemudahan meja dan kerusi.
'Alah bisa, tegal biasa' ... Khairul kelihatan 'ceria' mengulang kaji pelajaran di dalam bangsal kediaman keluarganya di Kampung Teresek, Kuala Tahan. - Kredit foto: Roslan Abu Kassim
Kata Khairul, pada waktu cuti persekolahan, dia mula mengulang kaji pelajaran waktu pagi, manakala membaca pada waktu malam selama sejam sebelum tidur di bawah sinaran cahaya lampu solar yang disumbangkan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Bapanya, Ameng a/l Kapak, 40, berkata, anak keduanya itu sangat rajin belajar dan tidak pernah ponteng sekolah sejak bersekolah tiga tahun lalu.
"Saya beri sokongan dan berkorban sepenuhnya supaya Khairul selesa belajar dan setiap hari sebelum cuti, saya menghantarnya ke SK Kuala Tahan dengan menaiki bot penambang.
"Minat Khairul belajar sejak mula memasuki Tahun Satu pada 2018 apabila apabila anak kami diambil serta dihantar ke sekolah oleh sebuah pertubuhan sukarela di Kuala Tahan," katanya di Kampung Teresek, Taman Negara.
Ameng seorang pencari gaharu dan sumber hutan Taman Negara berkata, dia yakin Khairul akan berjaya dalam pelajaran apabila melihat ketekunan anaknya belajar sambil berharap dapat mengubah nasib keluarga pada masa akan datang.
ROSLAN ABU KASSIM
Sementara itu, Pengerusi Bird Group Taman Negara (BGTN), Roslan Abu Kassim berkata, Khairul antara 40 orang murid Orang Asli merupakan produk program Chup Badui Sikulah yang berjaya boleh menguasai membaca, menulis dan mengira sehingga ini meneruskan pelajaran di SK Kuala Tahan.
"Sejak cuti persekolahan, saya kerap melihat Khairul mengulang kaji pelajaran di bawah bangsal yang sesak dan tidak selesa. Dia merupakan anak Orang Asli yang rajin serta suka membaca serta mengulang kaji pelajaran.
Roslan yang juga seorang pemandu alam sekitar (nature guide) berkata, menerusi program Chup Badui Sikulah, BGTN dengan bantuan Prof. Dr Makateb Mohamed dan NGO luar seperti Yayasan Salam Malaysia, MyCorp dan Small Change datang memberikan motivasi dan menyediakan keperluan alat tulis, manakala Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) memberikan kemudahan pengangkutan.
ABDUL JALIL ABD RAHMAN
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kemakmuran Kampung (JKKK) Kuala Tahan yang juga penggiat BGTN, Abdul Jalil Abd Rahman menambah program itu juga dibantu oleh Pejabat Pendidikan Jerantut dengan memberikan kemudahan tempat belajar dan usaha gigih serta bersungguh guru SK Kuala Tahan, manakala Jabatan Pendaftaran mengeluarkan surat kelahiran dan kad pengenalan membuahkan kejayaan program Chup Badui Sikulah.
GAMBAR FAIL... Murid Orang Asli etnik Bateq sedang mengikuti pelajaran di kelas Chup Badui Sikulah, Sekolah Kebangsaan Kuala Tahan, Jerantut. - Kredit foto: FB Chup Badui Sikulah
"Kita berharap semoga lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) luar dapat membantu kemudahan peralatan belajar termasuk barang keperluan dapur anak Orang Asli ketika musim cuti persekolahan ini kerana mereka (anak Orang Asli) tinggal di pondok yang serba kekurangan," ujarnya.
Tambahnya, para dermawan dan NGO yang ingin membantu kanak-kanak Orang Asli di lima buah penempatan Taman Negara Kuala Tahan bolehlah menghubungi sukarelawan BGTN menerusi talian 014 6051663 (Roslan Abu Kassim) dan 019 9965263 (Abdul Jalil Abd Rahman). - KitaReporters
Seorang kanak-kanak Orang Asli etnik Bateq 'gembira dan ceria' apabila menerima beg sekolah sumbangan badan amal dari Kuala Lumpur, Kechara Soup Kitchen di Kampung Yong, Kuala Tahan, Jerantut pada 8 November 2020. - Kredit foto: FB Kechara Soup Kitchen