Setiap Ramadan, bazar Ramadan penuh sesak dengan orang ramai yang datang membeli juadah berbuka puasa. Berbelanjalah dengan jimat dan tidak gelap mata membeli juadah berlebihan. 


MASA pantas berlalu. Setahun pergi kini Ramadan menjelma kembali. Umat Islam di seluruh dunia menunaikan ibadat puasa, rukun Islam ketiga. Umat Islam di negara ini mula menjalani ibadat tersebut bermula Ahad, 2 Mac 2025.

Syukur kita masih dipanjangkan umur oleh Allah untuk bertemu lagi dengan Ramadan. Oleh itu, jangan disia-siakan rezeki yang diberikan Allah ini, sebaliknya berazam menjadikan Ramadan tahun ini (2025) lebih bermakna berbanding Ramadan lalu.

Ambil sepenuhnya manfaat daripada kemuliaan Ramadan untuk mempertingkat amal ibadat. Kukuhkan taqwa dan keimanan serta lebih khusyuk mengabdikan diri kepada Allah. Semoga dengan itu kita akan mendapat berkat dan rahmat keredaan-Nya.


Bertadarus Al-Quran adalah antara amalan yang baik dilakukan dalam pengisian ibadat di bulan Ramadan.


Ramadan bukan hanya sekadar menahan lapar dan dahaga pada siang hari. Lebih penting ialah pengisian diri menghadapi bulan mulia itu.

Antaranya menunaikan solat fardu dan solat tarawih secara berjemaah di masjid atau surau. Amalan lain ialah bertadarus Al-Quran, memperbanyak sedekah dan derma, juga menyertai qiamullail.

Jangan lupa hadiri majlis ilmu serta ceramah agama untuk menambah kefahaman dan pengetahuan mengenai agama. Ilmu ini sangat berguna sebagai pembimbing dalam kehidupan seharian. Setahun sekali apa salahnya melebihkan ibadat.


Kunjungi masjid atau surau untuk menunaikan solat farddu dan slota tarawih berjemaah di sepanjang bulan Ramadan.


Sentiasa kawal diri dan banyak sabar ketika berpuasa, sekalipun jika menghadapi ujian, cabaran atau provokasi yang tidak menyenangkan daripada pihak-pihak tertentu. Sahutlah cabaran itu dengan kata-kata ‘Aku berpuasa!’

Nafsu makan minum dalam bulan puasa juga mesti dikawal. Jangan menurut kata hati untuk menjamah pelbagai makanan dan minuman kononnya untuk ‘membalas dendam’ setelah berlapar dahaga sehari suntuk.

Perlakuan ini sudah tidak menepati ciri berpuasa yang mahu umat Islam bersederhana dan jimat berbelanja. Berbelanja dan makan minum sekadar yang perlu, bukan mengikut rasa.

Kerana itu jangan sampai gelap mata membeli pelbagai juadah untuk berbuka. Biasalah setiap Ramadan, bazar Ramadan menyediakan pelbagai jenis makanan dan minuman yang menggoda jiwa dan minda.

Jangan terpedaya dengan godaan ini. Pada siang hari ketika lapar memang jika boleh semua mahu dibeli, mahu di makan. Tetapi berapa banyak sebenarnya yang mampu diterima oleh perut? 

Tidak semua juadah mampu dijamah apabila perut sudah kenyang. Ini adalah fenomena ‘lapar mata’.

Lalu apa yang terjadi kepada makanan yang berlebihan? Mungkin boleh disimpan. Tetapi berapa lama hendak disimpan jika pada hari-hari berikutnya masih terus mengangkut segala yang ada di bazar Ramadan?

Selalunya makanan yang tidak habis ini akhirnya menuju ke tong sampah. Membazir sahaja sedangkan membazir itu dilarang dalam Islam. Wajarkah melakukan sesuatu yang ditegah oleh agama, terutama pada bulan mulia?


Pelbagai jenis lauk pauk dan kuih muih dijual di bazar Ramadan. Jimat berbelanja, jangan membazir. Peniaga pula perlu pastikan makanan yang dijual bersih, tidak tercemar.


Penulis juga ingin mengingatkan peniaga di bazar Ramadan agar sentiasa jujur dalam berniaga. Utamakan aspek kesihatan. Jual makanan atau minuman yang bersih dan tidak tercemar, bukan makanan yang sudah tidak elok dan basi.

Sebelum ini kerap terdapat laporan pembeli makanan di bazar Ramadah yang keracunan makanan akibat makanan tercemar. Berhati-hatilah dengan kualiti makanan yang dijual, memandangkan makanan tersebut telah disediakan lebih awal dan mungkin cepat rosak.

Lebih buruk ialah apabila menyedari makanan sudah tidak sesuai dijual tetapi tetap dijual kerana tidak mahu rugi. Penulis harap dan percaya para peniaga lebih amanah. Jangan aniaya orang lain dalam keghairahan mencari untung. - KitaReporters


9
10
0
17
0

Copy Link: