.


Kebanyakan ibu bapa mengharapkan anak-anak mereka mendapat pendidikan tinggi dan mempunyai pendapatan selesa, jauh lebih baik daripada mereka.

Justeru, terdapat ibu bapa sanggup bekerja keras untuk membiayai persekolahan anak hingga menamat pendidikan tinggi.

Ada anak yang melupakan jasa dan pengorbanan ibu bapa. Setelah berjaya mendapat pendidikan tinggi dan memperoleh pendapatan selesa, pengorbanan ibu bapa langsung dilupakan.

Tetapi tidak bagi Wenni Jesica Silitonga.



Kisah Wenni, yang hanya berusia 23, perlu dijadikan inspirasi pelajar institusi pengajian tinggi dalam menghormati pengorbanan ibu bapa dalam membiayai persekolahan dan pengajian di universiti. 

Ketika cuti semester, Wenni tanpa segan menjadi penjaga parkir di Jalan Letjen S Parman, Tebingtinggi, Sumatera Utara. 

Ia bagi membantu ibu bapanya Elisa Agustina, 45, dan Saut Silitonga, 60, yang juga menjadi penjaga parkir di kawasan itu.

Wenni adalah pelajar program pengajian geofisik di Universitas Indonesia di kampus utama di Depok, Jawa Barat dan sudah berada pada semester 6.


Seorang lagi adiknya Vania Annica juga penuntut universiti, kini di Fakulti Kedoktoran, Universitas Atma Jaya, Jakarta. 

Elisa Agustina dan Saut Silitonga mempunyai tiga anak. 

Walaupun hidup mereka susah namun kedua-duanya ingin memberikan kesemua anak mereka pendidikan yang baik. Justeru Elisa sanggup bekerja bersama suaminya sebagai tukang parkir.

Walaupun Wenni dan adiknya menerima biasiswa, namun ia tidak cukup untuk menampung kos tempat tinggal dan makanan selain bahan kuliah.

Justeru Elisa Agustina dan Saut Silitonga tetap perlu memberi wang tambahan walaupun membebankan. Dan menyedari pengorbanan ibu bapanya itu, Wenni tanpa malu sedia menjadi juruparkir ketika cuti semester.



/


Dia tidak canggung memakai baju kemeja-t warna hitam, jaket dan topi tulisan parkir dan berjam-jam berpanas untuk mengatur kereta dan motosikal yang diparkir.

Wang yang diperoleh daripada menjadi juruparkir ketika cuti semester itu diguna untuk menampung kegunaan pembelajarannya setiap semester. Dia perlu menghabiskan dua semester lagi untuk mendapat ijazah.

Wenni dan adiknya Vania Annica menyimpan impian untuk membantu ibu bapa mendapatkan kehidupan yang lebih baik setelah kedua-duanya mempunyai ijazah dan pekerjaan selesa. - KitaReporters


12
19
0
18
0

Copy Link: