Doa Untuk Marrakesh! IR Malaysia lancar tabung kecemasan Gempa Bumi Maghribi! Sasar kutipan RM200k!
Published byIslamic Relief Malaysia (IR Malaysia) melancarkan tabung kecemasan ‘Morocco Earthquake’ (Gempa Maghribi) dengan sasaran dana sebanyak RM200,000.
Ketua Pegawai Eksekutif IR Malaysia, Mohd Shukor Tahir berkata, dana tersebut akan disalurkan ke ibu pejabat Islamic Relief (IR) untuk digunakan bagi membantu penduduk Maghribi yang terjejas akibat gempa bumi yang berlaku pada 8 September 2023.
“Pada ketika ini, seluruh pejabat pengumpulan dana IR sedang giat menjalankan kempen bantuan untuk Maghribi bagi mengumpul dana dan membantu mereka yang terjejas di sana.
“Melalui maklumat yang kami terima daripada pasukan IR yang berada di lokasi kejadian, antara keperluan mendesak ketika ini adalah makanan, tempat perlindungan dan penjagaan kesihatan.
“Justeru, IR Malaysia menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang untuk menyokong usaha ini dan menyumbang kepada tabung kecemasan ‘Morocco Earthquake’ demi kelangsungan hidup mereka,” katanya dalam satu kenyataan media pada 11 September 2023.
Gempa bumi bermagnitud 6.8 yang melanda Maghribi pada Jumaat malam (8 September 2023) telah mengorbankan lebih 2,000 nyawa dan angka ini dijangka akan terus meningkat dari semasa ke semasa.
Kejadian itu telah mengakibatkan kemusnahan pada jalan raya dan bangunan termasuk di Tapak Warisan Dunia UNESCO di bandar bersejarah Marrakesh.
Sebagai tindak balas terhadap bencana ini, IR telah berada di lapangan sejak hari kedua kejadian bagi meninjau dan membuat penilaian mengenai keperluan semasa serta bekerjasama dengan pihak berkuasa dan NGO tempatan untuk menyampaikan bantuan.
Secara global, IR melancarkan tabung rayuan kecemasan bernilai RM58.5 juta dan sumbangan akan dikumpulkan melalui pejabat-pejabat IR seperti IR UK, IR USA, IR Canada, IR Australia, IR Spain dan lain-lain termasuk IR Malaysia.
IR mempunyai pengalaman yang meluas dalam menangani bencana di seluruh dunia.
Dalam kejadian gempa bumi yang melanda Turkiye dan Syria pada Februari 2023, IR telah membantu lebih daripada 1 juta orang melalui pelbagai bentuk bantuan.
Orang ramai yang ingin menyumbang untuk ‘Morocco Earthquake’ boleh berbuat demikian dalam laman sesawang www.islamic-relief.org.my atau hubungi 03-8926 3434 untuk maklumat lanjut. - KitaReporters/Kenyataan Media