Azraai Khor buka rahsia peribadi! Jurulatih ‘double treble’ Kedah dedahkan semuanya dalam buku!
Published byMOHD Azraai Khor Abdullah dikenang sebagai jurulatih yang membawa pasukan bola sepak Kedah menjulang tiga piala utama serentak selama dua musim berturut-turut (double treble) pada 2007 dan 2008, namun tidak ramai peminat mengenali beliau secara lebih dekat.
Carian melalui media sosial juga tidak menemui maklumat mendalam mengenai Azraai terutama perjalanan kariernya sebagai pemain sebaliknya lebih diperkatakan sebagai jurulatih.
Menyedari hakikat itu, Azraai melalui kerjasama dengan Edusage Consultant mengambil inisiatif menghasilkan sebuah buku yang menghidangkan maklumat lengkap mengenai dirinya.
“Ia lebih berupa biografi saya yang mana melalui buku ini peminat bola sepak akan lebih mengenali siapa itu Azraai Khor. Selain mencatatkan perjalanan karier saya sebagai pemain dan jurulatih, ia juga menceritakan kisah peribadi saya dari kanak-kanak hingga sekarang.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Azraai Khor
Azraai mendedahkan banyak kisah peribadi dalam buku biografinya.
“Ramai yang tidak tahu kesusahan hidup yang perlu saya lalui pada zaman kanak-kanak dan bagaimana sukarnya saya hendak memenuhi impian untuk menjadi pemain bola sepak sehingga mewakili negara.
“Antara pengalaman yang saya ceritakan adalah bagaimana saya terpaksa bekerja sebagai buruh kasar semata-mata mahu mengumpul wang untuk membeli kasut bola.
“Banyak lagi kisah zaman kanak-kanak yang tidak diketahui ramai kecuali kalangan keluarga dan rakan-rakan rapat sahaja.
“Malah perjalanan karier saya sebagai pemain juga bukan mudah, banyak cabarannya. Pada ketika itu amat sukar untuk mendapatkan tempat dalam pasukan kebangsaan kerana banyak nama besar seperti Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, Datuk Shukor Salleh, Ali Bakar, Isa Bakar dan ramai lagi.
“Tapi, akhirnya saya mampu juga mendapat tempat dalam pasukan kebangsaan dan bermain di sisi Mokhtar, satu pengalaman yang turut saya kongsi dalam buku ini,” kata Azraai.
Azraai menandatangani buku yang dipesan oleh peminatnya.
Selain itu, melalui buku berkenaan Azraai yang lahir dengan nama Khor Sek Leng, turut mendedahkan bagaimana beliau boleh terpikat dan akhirnya memeluk agama Islam.
Bagi Azraai penghasilan buku itu juga merupakan satu penghormatan kepada dirinya serta menjadi cenderahati kepada penyokong bola sepak khususnya di Kedah.
Buku berjudul ‘Azraai Khor Abdullah, Jurulatih Legenda Bola Sepak’ (AKAJLBS), setebal 136 halaman itu itu sudah dipasarkan secara dalam talian dengan harga RM20 senaskhah, tidak termasuk kos pos.
Sementara itu, salah seorang tenaga produksi buku itu, Mohd Shukran Saad berkata, beliau bersama tiga rakan kongsinya; Nazhiyah Saad, Mohd Ruhezat Rusle dan Nur Amilia Ismadi tertarik untuk membukukan kisah hidup Azraai kerana kagum dengan ketokohan jurulatih itu.
“Beliau bukan sahaja boleh dianggap sebagai ikon malah legenda bola sepak bola sepak. Bagi kami, memang selayaknya kisah hidup serta kejayaannya dibukukan sebagai warisan kepada generasi akan datang.
Tawaran pra-cetak mendapat sambutan menggalakan daripada penyokong bola sepak.
“Malah, kami dapati generasi sekarang pun masih ramai yang belum benar-benar mengenali siapa Azraai Khor kecuali sebagai jurulatih yang berjaya membawa Kedah menjuarai double treble sedangkan banyak kisahnya belum dipaparkan.
“Melalui buku ini, orang akan kenal siapa Khor Sek Leng pada zaman kanak-kanaknya sehingga menjadi pemain bola sepak kebangsaan dan kemudian dikenali sebagai Azraai Khor yang mencipta nama sebagai jurulatih,” kata Shukran.
Menurut Shukran, walaupun trend pasaran buku kini agak perlahan namun beliau tetap berkeyakinan AKAJLBS akan mendapat sambutan terutama dalam kalangan penyokong bola sepak.
“Kami dapati Azraai mempunyai pengikut yang ramai bukan sahaja di Kedah malah di negeri-negeri lain. Jenamanya memang kuat untuk memasarkan buku ini.
“Setakat ini, permintaan semasa pracetak yang tamat pada 30 Julai 2021 lalu sangat menggalakkan dan mulai minggu ini kami memasarkan secara dalam talian. Berdasarkan sambutan setakat ini, saya jangka ia perlu diulang cetak tidak lama lagi,” katanya. - KitaReporters
Seorang peminat bangga dapat memiliki buku mengenai kisah hidup Azraai Khor.