“KETIKA itu saya terasa seperti berada di hujung tebing dan langsung terdetik, adakah saya `akan habis`? Kata YouTuber Korea Selatan, Daud Kim, mengimbas dugaan dihadapinya baru-baru ini yang disifatkan sebagai tersangat getir. Menjadi figura media sosial bukannya mudah, akuinya. : KitaReporters 

Daud Kim yang dulu. Kredit Foto - YouTube Daud Kim 


Kepada yang belum mengenali Daud Kim, dia adalah YouTuber yang popular dengan konten Islam melalui salurannya, Daud Kim, asalnya Jay Kim

Berlatarkan anak seni dari bidang muzik, Daud Kim memeluk Islam setelah jatuh hati dengan agama itu yang mula dikenali sewaktu membuat persembahan di Indonesia. Di situ dia menyedari Islam bukanlah agama keganasan seperti dilabel oleh media.


Sejak memerhati pergaulan masyarakat Muslim di Indonesia, dia mulai kagum dengan falsafah kehidupan Islam yang dirasakan berupaya memberi ketenangan. Sedikit demi sedikit kefahamannya terhadap Islam meningkat, yang kemudian dikongsi dalam maya, melalui saluran YouTubenya. 

Sejak fokus terhadap konten Islam, salurannya semakin popular terutama selepas dia menerima agama itu dan mengucap dua kalimah syahadah pada September 2019.

Menyebarkan kebaikan mengenai Islam dalam masyarakat majoriti bukan Muslim di Korea Selatan, tentu sekali banyak cabaran terutama apabila Islam tidak dikenali di sana kerana dikaitkan dengan keganasan. 

Di samping mengumpul ramai pengikut, terkini 2.28 juta dari serata dunia, dia juga berdepan dengan haters (pembenci) dalam kalangan netizen.

Daud Kim ketika berjumpa Iman Abdullah Al-Khory buat pertama kali. - Kredit foto: YouTube Daud Kim


Tercetus sahaja isu negatif berkait dirinya, pantas sahaja dihentam. 

Situasi menjadi sangat sensitif apabila isu Daud Kim dikaitkan dengan Islam, sedangkan kejadian yang mencetuskan isu itu, berlaku sewaktu dia belum Muslim, yang diungkit kembali. Apabila dipersalahkan dan dikecam bertubi-tubi, justeru dia pun menyepi.

Turut terkesan dari isu Daud Kim adalah Imam Korea, Abdullah Al-Khory (Imam). Mengetahui Imam selalu berhubung dengan Daud Kim, telefon bimbitnya, dihujani mesej pertanyaan tanpa henti, di samping mesej negatif daripada orang yang tidak dikenalinya.

Melalui siaran live, Imam mengakui rasa buntu, dilanda`kesakitan' sehingga tidak dapat tidur, tidak dapat berceramah, hatta terhalang daripada melakukan kerja rutin. Hatta isterinya sendiri tidak dapat mengirim pesanan, disebabkan telefon bimbitnya sesak dengan mesej pertanyaan daripada entah siapa.

Ketika masalah itu sampai di kemuncak, Imam tidak dapat bersuara lalu merayu melalui tulisan supaya orang ramai jangan lagi mengirim mesej pertanyaan kepadanya berkait isu itu.

Dalam pada itu, Imam tidak lepa daripada mengikuti perkembangan Daud Kim, di samping sentiasa memberi kaunseling kepadanya.


Imej Daud Kim sekarang dalam YouTube. - Kredit foto: YouTube Daud Kim


Alhamdulillah, sejak minggu lalu, Daud Kim kembali aktif dalam salurannya.  Dia muncul dengan roh baru sebagai seorang Muslim. Berpenampilan lebih islamik, dan berkeyakinan

Kemunculan semula, dengan raut wajah lebih kemas, tanpa sehelai rambut terjuntai di dahi seperti dulu. Ternyata dugaan itu mengubah dirinya menjadi seorang yang lebih baik.


“Ya (baru-baru ini) saya menyepi, tapi saya okey dan masih Muslim. Saya tahu Allah masih sayang saya,” katanya membuka rahsia, sewaktu dalam kesusahan, Iman Korea, Abdullah Al-Khory, sentiasa bersamanya.

"Imamlah yang menolong sewaktu saya dalam kesusahan," ujarnya. Ternyata Allah mengirimkan Imam sebagai penyelamat, menghulurkan tangan ketika Daud Kim dipukul badai.

Dalam pada ramai rakan berpaling daripadanya termasuk kawan-kawan sendiri, Iman berusaha memberi bimbingan Islam khusus untuk mualaf muda itu.

“Sewaktu menyepi, saya belajar Islam, belajar Quran dan Bahasa Arab dengan Imam. Saya amat berterima kasih kepada Imam. "Alhamdulillah. Kini hidup saya adalah untuk Allah. Saya tahu Allah pilih saya, saya orang  bertuah, saya sayang Allah, saya sayang keluarga dan semua adik-beradik saya,” ujar Daud Kim dalam salah satu videonya. Namun beberapa video pengakuannya yang dimuat naik, dipadam, atas nasihat Imam, katanya.

Iman Korea, Abdullah Al-Khory sangat mengambil berat terhadap Daud Kim. - Kredit foto: YouTube Abdullah Al-Khory


Sebagai Muslim kata Daud lagi, dia tidak terkecuali daripada melakukan kesalahan.  

“Tapi saya akan terus memperbaiki diri, mendalami Islam. Saya akan terus belajar, berminggu, berbulan bertahun, hatta sehingga ke hujung nyawa. Saya akan terus mencari ilmu, agar kelak, dapat berdakwah.” 

Imam Abdullah Al-Khory yang juga seorang YouTuber, mengadakan konten khas mengajar Islam khusus untuk Daud Kim. 

Dalam siri bimbingan itu, Daud Kim sebagai murid dan Imam sebagai guru, kuliah berlangsung dalam talian dengan konsep langsung (live), justru setiap siaran dapat ditonton dalam maya dalam saluran YouTube masing-masing. 

Sudah 10 rakaman siri kuliah bersama Daud Kim dengan pelbagai tajuk dimuat naik, antaranya kupasan mengenai maksud syahadah dan al-Fatihah. Imam gembira dengan perkembangan Daud Kim, beliau mahu Daud Kim belajar mengenai Islam dengan jujur, sebelum menyampaikan mesej kepada umum.

https://www.youtube.com/c/JaehanKim66/videos


Kalau dulu, konten Daud Kim, lebih kepada dakwah secara tidak rasmi, kini lebih rasmi, dengan penyampaian ilmu daripada al-Quran dan hadis yang dipelajari secara bersungguh-sungguh. 

Apa berlaku kepada Daud Kim seiring kenyataan, “ujian itu tanda Allah sayang”. Setiap ujian mampu menjadikan seorang insan lebih kuat dan tabah, ini juga menepati kenyataan, "ada hikmah di sebalik ujian Allah".

Allah berfirman yang bermaksud “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan hanya dengan mengatakan: “Kami telah beriman” sedang mereka tidak diuji lagi. Dan demi sesungguhnya Kami telah menguji orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian) Allah pasti mengetahui orang yang sebenarnya beriman dan orang yang berdusta.” (Surah al-Ankabut, ayat 2-3).

Semoga Imam Abdullah Al-Khory dan Daud Kim terus iltizam dalam usaha-usaha dakwah mereka. Semoga Allah permudah semua urusan, Amin!! - KitaReporters

8
0
0
0
0

Copy Link: