Hakan Sukur (jersi no.9) menenangkan pemain tuan rumah Korea Selatan selepas pertemuan antara Turki dan Korea Selatan di temasya Piala Dunia 2002 di Korea Selatan. - Kredit foto: AFP 


PEMINAT bola sepak hari ini mungkin tidak begitu mengenali susuk Hakan Sukur, tetapi bagi peminat bola sepak lewat tahun 90-an dan awal tahun 2000 nama bintang penyerang Turki tersebut tentunya tidak asing kepada mereka.

Aksi luar biasanya pemegang rekod penjaring gol terpantas dalam sejarah Piala Dunia yang hanya memerlukan 10.8 saat selepas wisel permulaan untuk menewaskan penjaga gol Korea Selatan dalam saingan tempat ketiga pada temasya Piala Dunia 2002 masih kekal hingga ke hari ini dan sudah pasti sukar untuk dilupakan oleh peminat bola sepak era tersebut.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan legenda bola sepak

Hakan Sukur legenda bola sepak Turki yang pernah mencipta nama di beberapa kelab ternama di Eropah. - Kredit foto: The Indian Express

Selain itu, beliau turut mencatat nama sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman bola sepak Turki selepas meledak 51 gol sepanjang 112 penampilan untuk pasukan kebangsaan Turki.

Malah sepanjang kariernya sebagai pemain bola sepak sepanjang tempoh 1987 hingga 2008, Hakan pernah menyarung jersi beberapa kelab ternama seperti Parma, Blackburn Rovers, Inter Milan dan Galatasaray

Bersandarkan rekod cemerlangnya sepanjang tempoh begelar pemain bola sepak sebelum bersara pada tahun 2008 ketika berusia 36 tahun, tiada siapa akan  menyangka Hakan Sukur kini terpaksa menjalani liku kehidupan yang mencabar sebagai pemandu Uber dan penjual buku di bumi asing berbanding kehidupan mewah yang sepatutnya dinikmati beliau ketika ini.


Hakan Sukur bersama isterinya kini menetap di Amerika Syarikat dan menjalani kehidupan sebagai pemandu Uber. - Kredit foto: Time 24 News.


Selepas bersara sebagai pemain profesional, Hakan menjadi pengulas sukan sebelum terjun dan bergiat aktif dalam  dunia politik dengan menyertai Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) pimpinan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan yang menjadi titik tolak kejatuhannya.

Kemuncak kerjayanya dalam dunia politik adalah pada tahun 2011 apabila memenangi pilihan raya dan diangkat sebagai Ahli Parlimen Turki sebelum meletak jawatannya dalam parti dan menjadi Ahli Parlimen bebas sehingga tamat penggal pada tahun 2015 kerana kemelut politik yang melanda Turki ketika itu.

Hakan Sukur ketika itu dikatakan mempunyai hubungan baik dengan tokoh ilmuwan Islam yang lantang mengkritik pentadbiran Erdogan, Fethullah Gulen yang  pernah menjadi sekutu rapat Erdogan yang berpengkalan di Amerika Syarikat.


Hakan Sukur bersama pemain Korea Selatan selepas kejayaan pasukannya menumpaskan pasukan tuan rumah itu dalam saingan penentuan tempat ketiga di Piala Dunia 2002. - Kredit photo:  FIFA.

Pada tahun 2015, Hakan mengambil keputusan untuk berhijrah ke Palo Alto, California dan memulakan hidup baharu dengan membuka kafe di kawasan setempat.

Peristiwa hitam cubaan rampasan kuasa kerajaan pimpinan Edogan oleh tentera yang berpaling tadah pada tahun 2016 yang disyaki dirancang oleh Fethullah Gulen telah merubah kehidupan Hakan sekeluarga kerana beliau dikaitkan dengan Fethullah selain turut dituduh menghina Erdogan dalam Twitter di mana bapanya, Sermet yang masih menetap di Turki ketika itu telah ditangkap dan dipenjarakan hampir setahun lamanya.

Namun pada tahun 2017 sebuah agensi berita Turki pernah mendedahkan kehidupan mewah Hakan Sukur dikatakan menginap di sebuah rumah mewah  berharga RM12.23 juta selain menaiki beberapa kereta mewah dan memiliki cafe di kawasan mewah.

Namun tiada siapa yang tahu apa yang berlaku selepas itu apabila hakikatnya Hakan terpaksa meneruskan kehidupan sukar di bumi asing sebagai pemandu Uber dan penjual buku.

Dalam satu temu bual dengan media Jerman, Welt am Sonntag, beliau pernah dilaporkan mendakwa tiada seorang pun dapat membuktikan peranannya dalam peristiwa cubaan rampasan kuasa di Turki pada tahun 2016 setakat ini.


Wajah Hakan Sukur terbaru sebagai pemandu Uber di Amerika Syarikat. - Kredit foto: Youtube.


"Saya tidak pernah melakukan sesuatu yang melanggar undang-undang dan saya bukan pengganas mahu pun pengkianat.

"Saya mungkin dilabel sebagai musuh kepada kerajaan ini, tetapi saya bukan musuh kepada Turki kerana saya sayangkan negara saya," katanya.

Dia juga mendakwa menerima pelbagai ancaman selepas 'berpisah' dengan Erdogan yang mana kedai isterinya diserang dan anaknya turut diancam selain bapanya ditangkap serta dipenjarakan.

Menurutnya, kafenya juga sering didatangi individu yang mencurigakan sehingga memaksanya 'berubah angin' untuk meneruskan kehidupan menjadi  pemandu Uber dan penjual buku.

"Kini tiada apa lagi yang tinggal pada saya, Erdogan telah mengambil semua hak saya untuk bebas, hak untuk bersuara serta hak untuk bekerja, malah aset saya juga turut dibekukan," katanya kepada akhbar Jerman, Welt am Sonntag.

Walaupun namanya terpahat sebagai legenda bolasepak Turki, namun beliau tidak dapat kembali ke negaranya dan itu sudah pasti bukan perjalanan hidup yang diimpikannya selama ini. - KitaReporters


Hakan Sukur mengatasi  pemain Brazil, Rivaldo dalam saingan separuh akhir Pala Dunia 2002.- Kredit foto: Iluminasi

15
11
0
8
0

Copy Link: