Macklin Amzah @ Uncle Mack: Perginya Komandan Kem MSN! Pembentuk waja diri! Mesra atlet negara!
Published byMACKLIN Amzah ketika menjadi Komandan Kem Bina Semangat Sukan SEA Korat 2007. - Kredit foto: MSN
MANTAN pegawai Majlis Sukan Negara (MSN), Macklin Amzah telah kembali ke rahmatullah kira-kira pukul 1.06 pagi Isnin, 24 Mei 2021. Allahyarham yang lebih dikenali sebagai Abang atau Uncle Mack, turut pernah ditugaskan sebagai Komandan Kem program-program latihan atlet MSN bagi menghadapi temasya pelbagai sukan besar antarabangsa.
“Arwah meninggal dunia di Hospital Serdang, Selangor akibat komplikasi penyakit lain setelah pernah dijangkiti Covid-19 sebelum Hari Raya Aidilfitri, baru-baru ini.
“Allahyarham dan keluarganya yang turut dijangkiti, selesai menjalani proses kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 MAEPS, Serdang,” kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan MSN
AHMAD SHAPAWI ISMAIL. - Kredit foto: MSN
MACKLIN ketika majlis sambutan Maulidur Rasul anjuran MSN dan Institut Sukan Negara (ISN). - Kredit foto: MSN
MACKLIN berdiri bersebelahan Mr. Universe bina badan 10 kali, Sazali Abd. Samad (kanan) dalam Kem Bina Semangat Sukan SEA Filipina 2005. - Kredit foto: MSN
Uncle Mack sepanjang hayatnya begitu rapat dengan atlet-atlet negara sepanjang perkhidmatannya dengan MSN.
Beliau yang meninggal dunia pada usia 74 tahun, merupakan anak jati Sabah dan bertugas dengan MSN dari 1991 hingga 2014.
Antara pembabitannya sebagai Komandan Kem ialah Sukan Asia Hiroshima 1994, Sukan SEA Chiang Mai 1995 dan Sukan Olimpik Atlanta 1996.
“Beliau juga pernah berkhidmat sebagai jurulatih jasmani Tentera Darat dan pegawai waran ATM sebelum bertugas di MSN sebagai instruktor kecergasan dan komandan kem kebanyakan program waja diri dan bina negara untuk atlet-atlet negara,” kata Shapawi.
MACKLIN melaungkan sorakan berjaya sambil memegang kertas yang bernombor 64, sasaran pingat emas Malaysia dalam Sukan SEA Korat 2007. - Kredit foto: MSN
Jenazah Allahyarham telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, Kuala Lumpur.
“MSN telah menyelaraskan jadual pengurusan dengan Unit Amal Hospital Serdang dan pengebumian jenazah dengan keluarga Allahyarham.
“Seorang daripada keluarga Allahyarham dibenarkan mewakili mereka yang bukannya kontak rapat untuk turut menguruskan jenazah.
“Walau bagaimanapun, kakitangan MSN dan atlet-atlet negara tidak dibenarkan menghadiri majlis pengebumian itu berasaskan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan,” kata Shapawi.
"Ya Allah, ya Tuhanku, ampunilah dia, rahmatilah dia, maafkanlah dia, muliakanlah kematiannya, lapangkanlah kuburnya, jadikanlah syurga sebagai ganti tempat tinggalnya dan berilah kesabaran kepada ahli keluarganya.
"Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman," tambahnya. - KitaReporters
MACKLIN bersama atlet-atlet negara menadah tangan berdoa kepada Allah dalam Kem Bina Semangat ke Sukan Olimpik Beijing 2008. - Kredit foto: MSN