Tak hadir kelas online? Tak boleh online? Kenapa? Tunggu cikgu datang rumah! Terima kasih cikgu!
Published by
KitaReporters
--title--
TUGAS guru bukan sekadar mengajar di sekolah tetapi juga komited dalam memastikan anak muridnya tidak ketinggalan dalam pelajaran terutama ketika penularan wabak pandemik Covid-19 yang masih belum berakhir.
Maka profesion perguruan bukan sekadar menjadi guru malah lebih daripada itu. Guru sanggup berkorban apa sahaja demi anak didiknya malah sanggup mengenepikan kepentingan diri bagi memastikan pelajarnya berjaya dalam pelajaran.
Tugas mendidik pelajar semakin bertambah ketika negara sedang berdepan dengan wabak pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak lebih setahun yang lalu.
Sesi persekolahan juga bertukar kaedah penyampaiannya. Dari proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di sekolah beralih kepada kaedah PdP di Rumah (PdPR) iaitu secara dalam talian.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan guru-guru
Hafizan Azmi menggunakan aplikasi Google Classroom mengajar muridnya di SK Paka III, Paka, Terengganu. - Kredit foto: Facebook Ezann Azmie
Timbul pelbagai masalah berkaitan talian internet dan penggunaan gajet serta isu lain yang sedikit sebanyak membantutkan usaha belajar untuk menyertai kelas online. Macam-macam hal!
Bagi seorang guru, Hafizan Azmi, 38, usaha gigihnya menemui anak muridnya yang gagal mengikuti sesi PdPR membuahkan hasil apabila berjaya merungkai masalah yang dialami muridnya itu.
Menerusi video yang dimuat naik oleh suaminya, Kamaszeli Besah, 40, dalam akaun Facebook miliknya, kelihatan Hafizan bertemu muridnya yang menetap di Jalan Telaga Emas, Paka, Terengganu yang terletak kira-kira tiga kilometer dari rumahnya.
Hantaran dalam FB oleh suami Hafizan, Kamaszeli Besah ketika berkunjung ke rumah Hamad Akmal Zaim bagi menyelesaikan masalah penggunaan gajet untuk kelas PdPR.
Pautan video: https://www.facebook.com/kamaszeli.besah/videos/254114159856231
Rakaman video itu sehingga kini mendapat 7,300 tanda suka, 258 komen, 5,300 tanda kongsi dan 218,000 dilihat.
Dia yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Paka III, mengambil inisiatif ke rumah Hamad Akmal Zaim, 12, untuk mengatasi masalah dialami.
"Pada peringkat awal, ibunya ada maklumkan kepada saya yang dia sudah belikan anaknya telefon bimbit bersekali dengan data namun masih gagal masuk Google Classroom.
"Saya beri panduan dengan tutorial tetapi masih tidak berjaya kerana mungkin ibunya tidak mempunyai pengetahuan meluas berkenaan IT," katanya ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApps di rumahnya Perumahan Taman Raya, Paka, pada 21 Julai 2021.
Berikutan itu, selepas mengadakan perbincangan dengan ibu murid terbabit, Hafizan yang juga ibu kepada dua cahayamata berusia lapan dan 12 tahun itu bersetuju ke rumahnya dan mengajar muridnya cara-cara mengikuti kelas online.
"Murid ini sebenarnya komited menyiapkan kerja sekolahnya yang dipelajari secara WhatsApp sebelum ini. Semoga sedikit ilmu yang saya berikan menjadikannya lebih mudah mengikuti PdPR.
"Kalau saya biarkan sahaja masalah ini, berkemungkinan murid ini tidak dapat mengikuti kelas online dan ia merugikan kerana kerana miliki gajet baru dibelikan ibunya," katanya.
Ditanya mengapa dia begitu komited sehingga sanggup ke rumah anak muridnya ketika musim pandemik, Hafizan yang mempunyai 13 tahun pengalaman mengajar berkata dia mengambil tanggungjawab itu bagi memastikan anak muridnya tidak ketinggalan dalam pelajaran.
"Menjadi tanggungjawab saya untuk selesaikan masalah yang timbul kerana sebagai guru, saya ingin melihat mereka berjaya dalam pelajaran.
"Guru hari ini bukan sekadar mengajar dan menyampaikan ilmu tetapi turut membantu apa sahaja masalah dihadapi murid.
"Kebiasaannya, sebelum ke rumah murid, saya akan hubungi mereka dahulu (menerusi aplikasi WhatsAppp) manakala yang tidak memberi sebarang maklum balas, saya akan senaraikan nama dan berbincang dengan guru kaunseling mengenai tindakan yang akan diambil," katanya.
Hafizan juga bersetuju jika kelas bersemuka diadakan kembali bagi menggantikan PdPR ketika ini.
"Kami dah 'imun' dengan PdPR. Bagaimanapun, saya bersetuju kelas bersemuka diadakan kembali selepas kes Covid-19 kembali reda dan kerajaan menamatkan PdPR," tegasnya.
Guru bukan sahaja berperanan sebagai pendidik tetapi juga sebagai ibu dan bapa pelajar untuk tempoh beberapa jam ketika di sekolah dalam menunaikan tanggungjawab menyampaikan ilmu untuk bekalan pada kemudian hari.
Terima kasih, cikgu!! - KitaReporters
Hafizan Azmi ketika mengadakan sesi PdPR di rumahnya di Perumahan Taman Raya, Paka.
30
2
1
0
0