Tular mengenai kisah usahawan kosmetik popular, Rita Sosilawati atau nama sebenarnya Erni Dekritawati Yuliana Buhari yang dikurniakan susu badan yang banyak sehingga membolehkan dia berkongsi dengan wanita lain.

Menerusi hantaran dikongsikan dalam platform TikTok, Rita yang juga merupakan anak sulung pengasas kosmetik Nouvelles Visages, Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya turut menunjukkan peti sejuk beku miliknya yang dipenuhi dengan stok susu badan. 

Malah, turut kelihatan seorang wanita yang dilihat sedang mengambil stok susu tersebut lalu dimasukkan ke dalam sebuah beg.


 



Isu tersebut mendapat perhatian pendakwah bebas yang juga bekas peserta Pencetus Ummah (PU), Syed Mohd Bakri Syed Ishak. Menurut PU Syed dalam Instagram miliknya, niat baik usahawan tersebut merupakan langkah yang bagus. Namun, dia mengingatkan agar orang ramai berhati-hati melakukannya kerana tidak mahu timbul masalah pada masa hadapan.

“Satu usaha yang baik apabila memberikan stok susu badan anda kepada pihak lain untuk diberikan kepada anak-anak mereka yang mungkin kekurangan susu badan.

"Namun perlu diingati dengan sejelas-jelasnya, jika sekiranya ia bertepatan dengan syarat-syarat anak susuan yang telah ditetapkan syarak, maka anak yang menerima susu tersebut sekali gus menjadi anak susuan kepada wanita terbabit.

"Sudah pasti akan berlaku larangan yang telah Islam gariskan seperti pengharaman perkahwinan antara sesama saudara sepenyusuan, bahkan anak susuan sesama mereka adalah mahram bahkan begitu juga dengan ibu susuannya,” jelasnya.



PU Syed Mohd Bakri Syed Ishak menasihatkan agar orang ramai berhati-hati ketika memberi susu badan kepada pihak lain.


Selain itu, PU Syed juga berkongsi cara atau langkah yang perlu diambil sekiranya ada pihak yang mahu memberi susu badan kepada wanita lain untuk menyusukan anak mereka.

“Satu lagi hal utama yang perlu diberi perhatian adalah menyimpan rekod sendiri. Ini bagi kes ibu yang mempunyai ramai anak susuan seperti kes di atas, yang mana stok susunya diberikan kepada orang lain.

"Catatkan nama bayi berkenaan, nombor surat beranak, nama ibu bapa kandungnya, alamat dan maklumat-maklumat lain yang dirasakan berkaitan. Sebaiknya, dokumen ini turut ditandatangani saksi. Ini penting untuk mencegah hubungan terlarang pada masa depan,” ujarnya.


Daripada segi hukum syarak, seseorang perempuan menyusu atau memberi susunya kepada bayi yang bukan anaknya adalah harus. 


Sementara itu, kalau dilihat hukum dan penjelasan yang diberikan oleh laman website Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP), ada menegaskan mengenai perkara seorang wanita menyusukan bayi lain atau memberi susu badannya kepada wanita lain untuk menyusukan bayi mereka. 

Dari segi syarak, hukum bagi seseorang perempuan menyusukan bayi yang bukan anaknya adalah harus dan telah dimaklumi sebelum kedatangan Islam lagi.

Islam memperakui dan tidak mengharamkannya. Hal ini adalah kerana dalam sesetengah keadaan, penyusuan mempunyai kepentingan dan memenuhi keperluan tertentu.

Contohnya, ibu kepada bayi tersebut meninggal dunia atau menghidap penyakit yang menghalang penyusuan. Dalam keadaan ini, perempuan yang lain perlu menyusukannya demi kelangsungan hidup anak tersebut. 

Hal ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan (sebaliknya) jika kamu (daripada kedua pihak) mengalami kesulitan, maka bolehlah perempuan lain menyusukannya.” (Surah al-Talaq, 65:6)



Justeru, PMWP merumuskan bahawa ulama fiqh kebelakangan ini menyatakan bahawa seorang perempuan makruh menyusukan kanak-kanak yang bukan anaknya sendiri tanpa sebarang keperluan yang mendesak.

Begitu juga, makruh bagi seorang lelaki dan perempuan susuan bergaul bebas sesama mereka. 

Keadaan ini adalah kerana ia berkemungkinan boleh mendorong seseorang kepada pelbagai keburukan dan perkara haram akibat lemah pegangan agama dan tidak wujud rasa kasih sayang secara semula jadi dalam kalangan keluarga susuan tersebut. - KitaReporters

13
11
0
12
0

Copy Link: