Sembang-Sembang| Wahai kawan! Berhenti raih perhatian! Hidup bukan pertandingan! Tapi satu perjalanan!
Published bySikap kita peribadi kita. Ada suka ada tak suka. Demikian ragam manusia. Sebelum melarat, jom cermin diri.
Tak payah nak menunjuk-nunjuk sangat kalau kita itu hidup mewah. Simpan sikap riak itu. Allah tak suka orang yang suka berlagak. Lagipun apa yang kita ada hanya pinjaman. Bila-bila Dia boleh ambil balik. Maaf!
Ini tidak! Berjaja sana sini kisah sendiri. Konon nak kongsi bahagia tapi tak sedar orang tak suka. Riak tak bertempat. Sudahnya kawan semua lari, letih melayan orang syok sendiri.
Demikian inti pati perkongsian kali ini.
Perkongsian daripada seorang hamba Allah yang hanya mahu dikenali sebagai Alia (bukan nama sebenar).
“Sudah lama saya pendam. Harap perkongsian ini memberi manfaat kepada orang di luar sana tentang pentingnya menjaga adab dan hati sesama manusia,“ kata Alia.
Jom kita ikuti kisah yang dikirim oleh Alia.
Kisah orang suka meninggi diri. Suka bangga diri. Cakap ikut sedap mulut. Tak kisah perasaan orang.
Maslina namanya. Bukan nama sebenar. Seorang eksekutif vogue katanya. Pakai barang berjenama, rumah mewah, kereta menjalar. Dari pandangan orang luar, dia memang hebat.
Pada mata kami yang kenal dia, tiada yang istimewa, kata Alia membuka bicara.
Bukan niat mengata. Cuma nak berkongsi rasa. Tentang sikap manusia. Yang pentingkan dunia. Asyik mengejar harta. Sampai lupa segala.
Mana tidaknya, ujar Alia. Kalau bercakap tak mahu kalah. Dia tahu semua. Dia ada segala. Sebut tempat, dia juga dah pergi ke sana. Sebut barang, dia pun ada. Tak pernah mengaku tak ada. Hebatnya dia.
Menurut Alia, gaya hidup dia memang mewah. Shopping, melancong, spa, dan gim jadi rutin. Kalau cerita bab ini memang 7 hari 7 malam tak habis. Megah cerita, macam orang lain tak pernah merasa.
Sakit telinga dibuatnya. Tak mahu dia kecil hati, dengar juga tapi masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.
Saudari serba tahu ini memang bijak. Tahu sahaja dia cara nak beli jiwa bos. Hadiah sentiasa ada. Tak perlu tunggu birthday bos.
Jadi kalau tak buat kerjapun boss tak bising. Selalu terlepas daripada kena marah.
Boss nampak yang baik-baik sahaja. Kalau kita cerita pun kelemahan dia, orang tak percaya, kita pula dikata cemburu, iri hati.
Duhai teman. Berubahlah jika terbaca status ini. Jom sama sama kita muhasabah diri. Cukuplah jadi hipokrit.
Berbalik pada realiti. Cermin diri, pinta Alia. Tidak ke manapun harta dunia dan kemewahan jika disalah guna. Ingat hidup ini sementara. Sebelum terlambat baik beringat. Cari pahala, kejar berkat. Insya-Allah selamat.
Iktibar daripada kisah ini.
Buang sikap riak. Ingat kita semua tidak sempurna. Rezeki juga berbeza. Jangan sakiti orang kerana kata-kata kita. Kan manis berbudi bahasa.
Perasaan orang pun kena jaga, tak semua bernasib baik macam kita. Fikirkan juga susah mereka, bantu jika reda. Dapat pahala, Allah pun suka.
Dalam hidup, jangan penting diri. Kita tak tahu nasib kita. Sebelum Allah bagi ujian, berdoalah semoga dipermudah segala urusan. Urusan sesama manusia, urusan dengan Allah.
Seperti kata Alia, indah kata kerana bahasa, indah budi kerana hati.
Ingat, hidup ini bukan pertandingan tapi satu perjalanan.
Jadilah seperti air sungai yang sentiasa mengalir walau ada kayu atau batu yang menghalang, dinginnya tetap terasa. - KitaReporters