Muhammad Faiz Fadzil (tiga dari kiri) menyerahkan bantuan hari raya kepada seorang anak nelayan pada Majlis Rahmah Mesra Madani Ramadan Pengerusi LKIM Bersama Nelayan PNK Sungai Tinggi, dekat Trong.


Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) tidak melupakan golongan nelayan dengan memberikan bantuan engin sangkut 30 kuasa kuda kepada empat nelayan dengan harapan produktiviti mereka dapat ditingkatkan.

Pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadzil berkata, bantuan peralatan penangkapan ikan (Touch Point) berjumlah RM60,000 itu diberikan dengan tujuan membantu meningkatkan pendapatan nelayan golongan B40 yang terlibat dalam aktiviti menangkap ikan.

Selain meningkatkan taraf hidup dan kualiti hidup mereka. Bantuan ini juga bagi meningkatkan kecekapan serta kemahiran nelayan ke arah peningkatan produktiviti perikanan.

“Perak merupakan penyumbang jumlah tangkapan ikan terbesar di negara ini. Ini membuktikan sumbangan nelayan amat dihargai,” katanya pada Majlis Ramah Mesra Madani Ramadan Pengerusi LKIM Bersama Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Sungai Tinggi di Dewan Serbaguna Sungai Kerang, di Sungai Tinggi dekat Trong pada 16 Mac 2025.

Muhammad Faiz juga mengingatkan nelayan supaya tidak terbabit dengan penjualan minyak diesel subsidi yang merugikan mereka.

“Nelayan hendaklah mempastikan pusat jualan diesel tidak berlakunya ketirisan,” katanya.


Muhammad Faiz (tiga dari kiri) menyerahkan replika cek kepada Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Sungai Tinggi, Abu Salim Karim (dua, kanan).


Selain itu, Muhammad Faiz memberikan jaminan bekalan ikan untuk musim perayaan Aidilfitri adalah mencukupi kerana LKIM mempunyai stok simpanan  dengan lebih 2,000 tan metrik.

“Kita membukti Tahun Baharu Cina lalu bekalan cukup dan harga adalah terkawal,” katanya.

Sementara itu seorang penerima engin sangkut, Sharulnizam Jaafar, 48, bersyukur mendapat bantuan engin sangkut 30 kuasa kuda itu.

“Dengan adanya engin sangkut ini, ia dapat membantu saya mendapatkan pendapatan lebih kerana boleh pergi jauh untuk menangkap ikan,” katanya.

Beliau yang sebelum ini menggunakan engin sangkut 15 kuasa kuda tidak dapat pergi jauh untuk menangkap ikan.

Sementara itu, Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Sungai Tinggi turut memberikan sumbangan zakat kepada nelayan asnaf berjumlah RM12,000 dan sumbangan hari raya kepada anak nelayan sebanyak RM7,000 pada majlis itu.

Sumbangan itu diberikan kepada 60 nelayan dan 70 anak nelayan dengan hasrat agar dapat menceriakan sambutan Hari Raya.

Selain itu, Persatuan Nelayan Negeri Perak (PENGGERAK) turut menyampaikan sumbangan zakat Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) berjumlah RM72,000 kepada PNK di seluruh Perak. - KitaReporters


Muhammad Faiz Fadzil (belakang) bergambar dengan sebahagian penerima bantuan pada majlis Ramah Mesra Madani Ramadan Penguri LKIM Bersama Nelayan Kawasan (PNK) Sungai Tinggi, dekat Trong. 

16
11
0
13
0

Copy Link: