Zainal Azman Abu Seman (kiri) menyerahkan sijil kepada peserta pemukiman.

Jenayah siber boleh membawa ancaman kepada keselamatan dalam talian negara dan masyarakat. Ia perlu ditangani dengan segara dan berkesan.

Begitulah Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) memaklumkan daerah Kuala Kangsar mencatatkan jumlah jenayah siber paling tinggi di Perak berbanding dengan daerah lain.

Sehubungan itu, MCPF Perak memperhebat pelbagai program bagi mengenal pasti langkah berkesan untuk menangani jenayah keselamatan dalam talian tersebut.

Pengerusi MCPF Perak Datuk Zainal Azman Abu Seman berkata, pihaknya memandang serius supaya kesedaran kepada orang ramai terhadap jenayah siber perlu ditingkatkan.

Beliau berkata, penyediaan peluang pekerjaan yang meluas hendaklah disediakan kepada mereka yang menamatkan pengajian daripada universiti dan kolej.

"Ini dapat membantu mengurangkan jenayah siber kerana golongan muda terdedah dengan perlakuan tersebut. Jenayah siber adalah jenayah yang agak tinggi. 

"Selain itu, buli juga merupakan perlakuan jenayah yang perlu ditangani. Kita terkejut kerana jenayah siber berlaku di kawasan yang kecil,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penutup Pemukiman (Retreat) MCPF Perak pada 19 Januari 2025.

Turut hadir merasmikan majlis pemukiman itu ialah Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, SAC Zaharudin Rasip.


Zainal Azman Abu Seman (tiga dari kiri) menyerahkan cenderahati kepada Zagarudin Rasip (tiga dari kanan)

Zainal Azman berkata, program itu bertujuan mendedahkan sukarelawan supaya mereka dapat melaksanakan tugas dengan lebih baik dan mematuhi undang-undang negara.

Selain itu, katanya, pihaknya juga memberikan perhatian kepada komuniti untuk membantu pencegahan jenayah dalam kalangan remaja dan  pelajar sekolah yang juga perlu diberikan perhatian.

“Program berkala itu hendaklah disampaikan pada semua peringkat masyarakat terutama di kawasan  luar bandar terhadap jenayah siber atau jenayah dalam talian yang semakin berleluasa,” katanya.

Zainal Azman berkata, program pendidikan kepada generasi muda amat diperlukan supaya mereka tidak terjerumus dalam gejala tersebut.

Menurutnya, ciri-ciri jenayah telah berubah daripada konvensional kepada menggunakan teknologi itu yang membimbangkan pihak orang ramai dan pasukan keselamatan.

Katanya, pihaknya sedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang mahu berkolaborasi dengan MCPF bagi meningkatkan pencegahan jenayah. - KitaReporters


7
6
0
12
0

Copy Link: