Video| Terbaiklah kakitangan iCIMB! Ganding bahu santuni warga emas! Jayakan program Sentuhan Kasih!
Published by.
Meruntun hati dan perasaan 60 kakitangan iCIMB dari Ibu pejabat iCIMB (Malaysia) Sdn Bhd di Kuala Lumpur apabila melihat pandangan sayu serta senyuman tawar warga emas di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor menyambut kedatangan mereka pada 24 Februari 2025.
Kehadiran mereka pada awal pagi itu adalah bagi menjayakan Program Sentuhan Kasih, EPICC iCIMB Credit Support Administration, Community Sosial Responsibility, untuk menyantuni warga emas dan menghulurkan sumbangan barangan keperluan asas harian kepada PJMM.
Azman Rasman (kiri) memberi taklimat ringkas mengenai sejarah penubuhan PJMM dan aktiviti yang dianjurkan kepada kakitangan iCIMB.
Emosi jiwa mereka bertambah terusik dan bergenang air mata
tatkala Pengerusi PJMM, Azman Rasman dalam ucapan alu-aluannya mengisahkan
warga emas itu disisihkan oleh ahli-ahli keluarga kerana menghidap pelbagai menyakit
kronik, hidup sebatang kara sebagai gelandangan, tidak diambil anak selepas
discaj dari hospital dan sebagainya.
Sebagai tanda simpati dan rasa bertanggungjawab, menurutnya,
PJMM dengan hati terbuka menerima kehadiran warga emas terbabit selepas dirujuk oleh pihak berkuasa berkenaan untuk dijaga serta disantuni serupa seorang ibu atau
ayah selagi nyawa mereka itu dikandung badan.
“PJMM terpaksa bersusah payah setiap hari mencari sumbangan dana serta punca kewangan untuk memastikan pusat jagaan ini mampu terus beroperasi demi warga emas itu kerana mereka tidak dikenakan sebarang bayaran,” ujarnya.
Azman dan Sim Chin Ming (tengah) bersama-sama kakitangan iCIMB menunjukkan antara barangan keperluan asas harian yang disumbangkan
Seorang kakitangan iCIMB yang temui, Danial Aliff Najmi Mohd
Azrul, berkata program itu merupakan pengalaman pertama dia berkunjung ke rumah
orang tua dan berasa tersentuh hati melihat keadaan warga emas yang uzur hidup
bersama-sama kawan senasib.
Jelasnya, melihat keadaan warga emas di depan mata itu
memberi kesedaran kepadanya untuk menghargai golongan berkenaan sebagaimana
menyantuni ibu dan ayah yang banyak berkorban bagi membina kebahagiaan hidup
seorang anak.
“Sebagai orang muda terutama yang berjaya dalam kehidupan dan berkerjaya cemerlang seharusnya memberi sokongan membantu operasi pusat jagaan untuk meringankan bebanan mereka mencari sumbangan dana dan sebagainya,” ujarnya yang ditugaskan sebagai pengacara dalam program berkenaan.
Chin Ming (kiri) berganding bahu bersama-sama kakitangan iCIMB membersih sampah dalam bilik warga emas.
Pada program yang diketuai Ketua CSA iCIMB, Sim Chin
Ming, kakitangan bank terbabit melakukan kerja bergotong-royong membersih
persekitaran PJMM, menyuci bilik warga emas, surau, menukar sarung tilam dan
bantal, menyapu sampah, mengemop lantai, mengelap kemudahan asas, mencuci
pinggan mangkuk dan sebagainya.
Mereka juga menyantuni warga emas dengan menyediakan sarapan, makan tengah hari dan menghulurkan sumbangan barangan keperluan asas harian seperti beras, pampers, minyak masak, gula, air mineral dan sebagainya.
Berucap pada majlis perasmian program itu, Chin Ming berkata, program itu memberi peluang kepada kakitangan iCIMB untuk bekerjasama membantu pusat jagaan disamping menzahirkan rasa simpati nasib yang menimpa warga emas tersisih daripada ahli keluarga.
Tambahnya, program itu juga membuktikan kakitangan iCIMB dari pelbagai jabatan dapat berganding bahu serta bersatu hati dalam menjayakan program amal kebajikan untuk turut bersama membantu mereka yang amat memerlukan bantuan.
“Semoga pusat jagaan ini dapat terus beroperasi membela nasib warga emas kerana membuktikan masih ada mereka yang sanggup bersusah payah untuk kesenangan orang lain yang diabaikan,” katanya.
Chin MIng (tiga dari kiri) dan kakitangan CIMB bertanya khabar dan berbual mesra dengan seorang warga emas yang uzur.
Manakala seorang lagi kakitangan iCIMB, R Ranjini, berkata dia berasa hairan pada zaman sekarang masih ada saudara mara atau anak tidak boleh bertimbang rasa untuk menjaga ibu atau ayah sendiri terutama yang sudah uzur bagi meneruskan kehidupan.
Menurutnya, apabila melihat raut wajah warga emas itu beliau berasa amat sedih dan tersentuh hati dengan keadaan mereka yang terpaksa berkerusi roda atau bertongkat untuk bergerak kerana menghidap penyakit kronik termasuk ada sebelah kaki terpaksa dipotong.
“Saya berharap kehadiran kami semua ini dapat menceriakan mereka dan dapat berasa selesa apabila bilik mereka sudah dibersihkan, sarung tilam dan bantal bertukar baharu yang menyenangkan hati untuk berehat,” katanya.
Chin Ming (tengah) melakukan gimik penyerahan sumbangan barangan keperluan asas harian kepada Azman.
Rakan beliau, Nuraqilah, Nurul Syakila dan Nur Syasya Izzati pula sependapat apabila berasa seronok dapat turun padang bersama-sama rakan iCIMB yang lain ke pusat jagaan bagi menyantuni dan menceriakan warga emas yang sebahagian mereka amat merindui disantuni dengan penuh kasih sayang.
Menurut mereka, timbul keinsafan dalam hati apabila mendengar pelbagai cerita serta keluhan warga emas terbabit yang sudah lama terkesan apabila disisihkan oleh ahli-ahli keluarga malah tiada saudara mara sudi datang menjenguk untuk bertanya khabar.
“Kami amat berharap barangan yang disumbangkan ini dapat dimanfaatkan untuk warga emas di samping mengurangkan bebanan pengurusan PJMM mendapatkan barangan keperluan asas harian,” ujar mereka. - KitaReporters
Duduk dari kiri, Penasihat PJMM, Mohiadin Bahado; Azman; dan Chin Ming bersama-sama kakitangan iCIMB merakamkan gambar bersama-sama warga emas selepas program Sentuhan Kasih.