Video| Bukan kucing biashe-biashe! Che Potek suka merempit! Mampu berdiri di bahagian depan motosikal!
Published byTempat duduk Che Potek direka khas oleh tuannya supaya selesa apabila "merempit".
Kucing jantan campuran baka Parsi dan Siam ini sebenarnya adalah "mat rempit". Mana tidaknya, dia adalah peneman setia kepada tuannya, Azizan Musa, 62 pada setiap kali keluar menunggang motosikal.
Bagaimanapun tidak semudah itu Che Potek berkemahiran apabila mampu berdiri pada bahagian depan motosikal yang sedang ditunggang oleh tuannya.
Jelas Azizan, Che Potek yang dibeli dengan harga RM500 semasa berusia dua bulan itu telah diberikan latihan secukupnya terlebih dahulu.
"Saya mula latih Che Potek berdiri pada motosikal selepas dia berusia dua tahun," katanya yang tinggal di Sungai Repoh, Kangar, Perlis.
Bekas pesara Jabatan Kerja Raya (JKR) ini memberitahu dia mengambil masa selama enam bulan untuk melatih Che Potek sehingga cekap berdiri semasa motosikal bergerak.
Azizan juga meletakkan sebuah papan khas berspan di atas raga motosikal bagi memudahkan Che Potek berdiri atau duduk.
Beliau akui, pada awalnya memang penat juga melatih Che Potek kerana asyik terjun dari motosikal. Bagaimanapun katanya, lama kelamaan, Che Potek mula biasa apabila semakin tenang ketika berada di atas motosikal.
"Bermula dengan sekitar rumah, Che Potek sudah tidak kekok lagi sebaliknya boleh dibawa "merempit" sehingga ke Padang Besar iaitu lebih 30 kilometer dari Kangar," katanya.
Che Potek kucing suka "merempit"
Katanya, ada kala Che Potek akan berdiri atau duduk apabila merasa letih, sambil tangan memaut bahagian depan motosikal.
Beritahu Azizan, Che Potek juga sudah biasa menunggu beliau membeli barang di Pasar Sena pada setiap pagi.
"Che Potek kekal berada di atas motosikal sehingga saya selesai memberi barang," katanya. Katanya, Che Potek juga dibawa bersiar-siar pada waktu petang ataupun malam.
Azizan berkata, beliau akan memberi Che Potek makan daging tempatan selang sehari, selain setiap hari makan ayam goreng, ayam rebus dan makanan kucing.
“Saya akan mandikan Che Potek seminggu sekali menggunakan besen besar,” katanya yang mengaku Cik Potek memang tidak berpisah dengannya termasuk berkongsi bantal tidur.
Kek meraikan ulangtahun Che Potek ke-9.
Baru-baru ini, Che Potek diraikan oleh Azizan sempena hari kelahiran yang sembilan tahun.
Azizan berkata, Che Potek juga telah mempunyai 20 koleksi baju Hari Raya setakat ini termasuk baju Melayu. Selain itu, katanya, Che Potek juga mempunyai tiga cermin gelap yang dipakai semasa "merempit".
Jelas Azizan, Che Potek juga tidak takut atau marah jika ada sesiapa yang mahu memegang sekalipun baharu pertama kali berjumpa. - KitaReporters
Antara koleksi baju Melayu Che Potek pada Hari Raya baru-baru ini.
Che Potek diraikan ulangtahun ke-9 oleh tuannya, Azizan dan cucu-cucunya.