Pelepasan Banduan Secara Lesen di Terengganu berjaya! Hampir 100% dapat teruskan kehidupan normal!
Published by
PROGRAM Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) di Terengganu berjaya membantu banduan meneruskan kehidupan biasa di luar 'jeriji besi' setelah dibebaskan.
Pengarah Penjara Terengganu, PKK Hamid Taha berkata, menerusi program itu hampir 100 peratus dapat meneruskan kehidupan normal manakala hanya lima prospek yang masuk kembali daripada jumlah banduan dibebaskan setakat ini.
"Sehingga kini, Penjara Marang, Terengganu merekodkan lebih 1,500 orang mengikuti program ini. Alhamdulillah statistik hanya menyatakan lima orang sahaja yang masuk penjara kembali," katanya.
Katanya, faktor utama yang menjayakan program ini adalah peluang pekerjaan. "Kita lihat, walaupun peluang pekerjaan di Terengganu agak terbatas, namun, kerjasama majikan dan keluarga memberi ruang untuk syarikat-syarikat luar ambil mereka bekerja," jelasnya.
Hamid Taha
Hamid berkata demikian selepas menyempurnakan program PBSL Ihsan Madani (Kepulangan Yang Dinanti) sempena Hari Raya Aidiladha di Penjara Marang.
Tambahnya lagi, lebih 40 majikan di Terengganu memberikan
kerjasama dalam 'membina' semula kehidupan para banduan.
"Alhamdulillah, lebih 90 peratus dari mereka bekerja dan dapat peluang menyara keluarga," ujarnya.
Sempena program itu, seramai 118 orang prospek dari seluruh negeri Terengganu mendapat pembebasan secara lesen dari keseluruhan 882 orang di seluruh Malaysia dengan Terengganu merekodkan jumlah pembebasan tertinggi sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini (2024). - KitaReporters