Abdul Kadir lelaki hebat! Pesara ingin terus berbakti! Baik pulih pusat tahfiz dan jagaan warga emas!
Published byAbdul Kadir Sulaiman akan membaik pulih bangunan surau di Kampung Teluk Belengu untuk dimajukan kembali sebagai pusat tahfiz dan pusat jagaan warga emas selepas terbiar sekian lama.
SEORANG pesara kerajaan daripada pasukan beruniform ingin meneruskan hajat beliau untuk memberi khidmat bakti kepada masyarakat terutama membela nasib warga emas yang terpinggir bagi menghabiskan kelansungan hidup dengan mengikuti pengajian agama.
Bagi memenuhi hasratnya itu, beliau kini bersungguh dengan bantuan beberapa rakan untuk mengubah suai dan memperbaharui semula sebuah bangunan surau yang dijadikan pusat tahfiz terbiar selepas negara dilanda wabak Covid-19 lebih lima tahun lalu.
Terletak di tanah seluas 1.2 hektar yang diwakafkan di Kampung Teluk Belengu, Bera, Pahang, bangunan surau yang dijadikan pusat tahfiz dengan dilengkapi pelbagai kemudahan asas seperti tandas, dapur, dewan, asrama dan sebagainya itu perlu dibaik pulih semula termasuk mengecat bangunannya.
Abdul Kadir (kanan) memberi penerangan mengenai keadaan bangunan surau berkenaan tidak diuruskan dengan sempurna yang akan dibaikpulih semula.
Pesara berkenaan, Abdul Kadir Sulaiman, berkata walaupun
menghadapi pelbagai masalah termasuk pelajar tahfiz yang ada pada masa itu
terpaksa pulang ke pangkuan keluarga kerana bencana wabak Covid-19, tidak
pernah melunturkan semangatnya untuk menghidupkan semula bangunan surau
berkenaan supaya dapat berbakti kepada masyarakat khusus penduduk kampung
berkenaan.
Menurutnya, dengan mendapat sokongan serta saranan penduduk
kampung itu supaya beliau membangunkan semula bangunan surau berkenaan sebagai
tempat pengajian agama seperti sebelumnya, dia bertekad untuk melengkapkan pula
dengan menjadi salah satu pusat jagaan warga emas yang disisih oleh keluarga.
Jelasnya, sebelum wabak Covid-19 melanda, bangunan itu selain menjadi surau, pusat tahfiz turut didiami sembilan warga emas yang menumpang di beberapa bilik yang menjadi asrama pelajar untuk meneruskan kelangsungan hidup dengan mengikuti pengajian agama.
Abdul Kadir (dua dari kanan) membawa Ustaz Alias Ahmad (kiri), Azhar Ahmad dan Mohiadin Bahado meninjau sebuah bilik yang menjadi tempat menyimpan tilam dan katil apabila bangunan surau berkenaan terbiar selepas negara dilanda wabak Covid-19 lima tahun lalu.
“Bagaimanapun hasrat itu tidak kesampaian apabila wabak
Covid-19 melanda negara dan seperti pelajar tahfiz juga sesetengah daripada warga
emas ini terpaksa pulang ke pangkuan keluarga saudara mara untuk menumpang
hingga sekarang.
“Selepas bangunan ini selesai diubah suai semula, pelbagai
kemudahan asas dibaik pulih dan dibersihkan sepenuhnya warga emas itu termasuk
pelajar tahfiz akan dimaklumkan untuk kembali seperti sebelumnya supaya dapat
mengimarahkannya sebagai tempat pengajian agama serta perlindungan warga emas
berkenaan,” ujarnya ketika membawa Pengerusi Pusat Jagaan Nur Hasanah,
Beranang, Selangor, Mohiadin Bahado dan penceramah bebas, Ustaz Alias Ahmad
untuk meninjau di samping mendapatkan nasihat serta langkah menghidupkan semula
bangunan surau itu sebagai pusat tahfiz dan pusat jagaan warga emas pada 6
Julai 2024.
Turut hadir dalam tinjauan itu, Pegawai Sosial Perubatan, Hospital Bera, Pahang, Azhar Ahmad yang turut memberi pandangan serta cadangan bagi memperelokan pembangunan semula bangunan surau berkenaan terutama bagi memastikan kelengkapan untuk warga emas yang boleh guna pakai.
Abdul Kadir menemui seorang warga emas yang mendiami sebuah rumah kosong bersebelahan bangunan surau berkenaan.
Abdul Kadir berkata, semua urusan dengan pihak berwajib bagi
menjadi bangunan itu yang dilengkapi surau, asrama untuk pusat tahfiz dan
tempat perlindungan warga emas sudah lama selesai serta mendapat kebenaran
sebagaimana yang perlu dipatuhi.
Menurutnya, walaupun banyak kemudahan yang rosak selepas
terbiar bukan menjadi masalah kepada dia untuk melakukan kerja pemulihan kerana
sentiasa mendapat kerjasama serta sokongan daripada rakan-rakan khusus penduduk
kampung itu kerana mereka ingin melihat tempat berkenaan hidup semula dengan
kemeriahan sebagai tempat pengajian agama serta perlindungan warga emas atau
yang hidup sebagai gelandangan.
“Saya amat berharap bangunan surau ini akan menyediakan kemudahan yang selesa untuk warga emas berlindung dan dapat mengikuti pengajian agama bersama-sama pelajar tahfiz yang mampu menyantuni mereka sebagai seorang anak terhadap ibu bapa.
“Di samping itu di daerah Temerloh sendiri belum ada pusat jagaan yang boleh mengurus dan menjaga warga emas secara sukarela selepas diabaikan keluarga kerana masalah keuzuran dan sebagainya termasuk terbiar di hospital kerana tiada siapa yang ingin membawa pulang selepas discaj,” katanya.
Ustaz Alias, Azhar dan Razali melihat geran tanah bangunan surau berkenaan yang sudah diwakaf.
Sementara itu Mohiadin berkata, dia yang sudah 20 tahun terbabit dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terutama mengurus dan mengendalikan pusat jagaan sentiasa berlapang dada dan bersikap terbuka untuk memberi bimbingan dan nasihat kepada mereka yang ingin membuka pusat berkenaan.
Tambahnya, bersama rakan NGO yang terbabit dengan pengurusan pusat jagaan itu, dia sudah banyak memberi pandangan, panduan dan tunjuk ajar mengenai pelbagai perkara selok-belok berkaitan penjagaan warga emas, kemudahan yang bersesuaian serta paling penting cara menyantuni mereka ibarat anak terhadap ibu atau bapa.
“Nampak pada mata kasar orang seolah ia satu kerja yang
mudah tetapi adalah sebaliknya dan disebabkan itu ramai anak enggan mengurus
ibu atau bapa yang bermasalah khusus keuzuran dengan menghidap pelbagai
penyakit kerana itu mereka lebih suka menyerahkan pusat jagaan untuk
bertanggungjawab,” ujarnya.
Manakala seorang penduduk, Razali Ahmad, berkata dia amat
mengalu-alukan usaha membaik pulih bangunan surau itu bagi dijadikan pusat
tahfiz seperti sebelumnya dan tempat perlindungan warga emas yang disisih oleh keluarga atau hidup sebatang kara.
“Kami sebagai penduduk ingin juga menabur bakti kepada mereka yang ditimpa musibah sebaliknya dapat mengakhiri kehidupan dengan aktiviti bermanfaat walaupun tidak dipeduli ahli keluarga atau sanak saudara,” ujarnya. - KitaReporters
Ustaz Alias (kanan) membaca doa semoga usaha murni Abdul Kadir mendapat keberkatan dan keredaan daripada Allah swt selepas membuat tinjauan.