"KETIKA banjir besar di Pantai Timur pada 2014, saya dan suami membawa barangan seperti beras, sardin, tepung, gula, kelambu dan tilam toto menggunakan kenderaan sendiri dari ibu kota, tak ada perancangan apa. 

"Kami tergerak hati untuk membantu apabila melihat orang ramai terpaksa berpindah, ada rumah yang tenggelam sehingga ke bumbung dan pelbagai penderitaan lagi.

"Hati kami tersentuh dan saya berbincang dengan suami lalu bergerak ke Kelantan walaupun kami tak tahu apa-apa di hadapan, terpaksa mengelak banyak laluan yang dinaiki air sehingga tiba di satu kawasan yang saya pun tak pasti tempat itu sebab keadaan gelap dan kami pun dah letih.

"Saya berhenti pun sebab nak buang air selepas melihat di kawasan itu ada klinik dan beberapa khemah, lalu meminta izin menggunakan tandas. 

"Tidak lama kemudian, kami diberitahu tempat yang disinggahi itu digunakan sebagai tempat transit untuk memasak dan menyediakan makanan untuk mangsa banjir. 


Sebahagian ahli Pertubuhan Amal dan Kebajikan Insaniah Selangor termasuk dari Brunei yang singgah di pejabat pertubuhan untuk mengambil bahagian dalam aktiviti amal di beberapa kawasan di Selangor.


"Saya memberitahu hajat kami dan meminta izin membantu. Alhamdulillah, kami diterima dengan  baik, jadi sebahagian bekalan yang dibawa, saya gunakan untuk memasak di situ dan sebahagian lain diagihkan kepada mangsa banjir.

"Selepas itu, kami berulang alik beberapa kali membawa bekalan yang sama selain kelambu dan tilam toto kerana pada musim banjir, nyamuk banyak dan mangsa banjir amat memerlukan bekalan itu untuk tidur terutama anak-anak mereka.

"Masa itu, tidak ramai yang tahu aktiviti amal yang saya dan suami lakukan kecuali adik beradik dan rakan-rakan di pejabat dan setiap kali keluar menghantar bantuan, ramai menghulurkan sumbangan termasuk kawan-kawan di pejabat dan bos sendiri yang memberi bekalan air mineral dan kata-kata semangat," kata Biro Penggerak Pertubuhan Amal dan Kebajikan Insaniah Selangor, Ustazah Norhayati Sulaiman. 

Ustazah Norhayati Sulaiman


Sebelum melakukan kerja-kerja amal, beliau mengadakan aktiviti khatam al-Quran selama tiga bulan di pejabat pertubuhan itu di Bandar Baru Bangi, Selangor kerana jumlah ahli pun tidak ramai dan bantuan yang diberikan dalam skala yang kecil.

Tapi, gelodak jiwanya meronta-ronta untuk memberi bantuan kepada lebih ramai orang, lalu selepas perbincangan dengan suaminya, Ustaz Shamsulbahri Ahmad dan beberapa ahli, mereka setuju bergerak ke luar kawasan Bangi dan mendaftar pertubuhan itu bagi memudahkan kerja-kerja kebajikan dan sumbangan orang ramai diuruskan dengan baik.  

"Sumbangan orang ramai ada tapi tak banyak, jadi kami menggunakan dana sendiri untuk menyantuni ibu-ibu tunggal, anak-anak yatim, asnaf dan penduduk miskin. Apabila kami melakukan aktiviti itu, ramai yang tertarik dan meminta untuk ikut sama dan kata-kata positif daripada ustaz dan masyarakat memberi semangat untuk meneruskan kerja-kerja murni itu.   

"Apabila jumlah yang turut sama ramai, kami perlu berhati-hati kerana menguruskan dana yang disumbangkanoleh  orang ramai perlu diselenggara dengan baik dan berhemah, jadi kami dengan jumlah ahli yang kecil ketika itu, kami mengambil keputusan mendaftar misi amal itu dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS)

"Aktiviti pertama selepas didaftar ialah mencari golongan asnaf di sekitar Nanding, Hulu Langat dan kami turut mengadakan projek amal di Mesir dengan menjelajah beberapa kampung yang dikenal pasti ada penduduk miskin dan kebetulan anak saya belajar di sana, jadi aktiviti kami lebih mudah," kata Ustazah Norhayati lagi. 


Ustazah Norhayati (dua dari kanan) dan ahli Pertubuhan Amal dan Kebajikan Insaniah Selangor menyantuni ibu tunggal dan golongan miskin di Kelantan.


Ustazah Norhayati berkata, pertubuhan itu turut mempunyai ahli-ahli dari negara Brunei dan mereka pernah berganding bahu menghantar bantuan kepada penduduk miskin di Mesir dan Turki pada Oktober 2019 kerana ketika itu musim sejuk dan bantuan diberikan ialah baju tebal dan makanan kering.   

Bagi memastikan pertubuhan itu ada dana sendiri, setiap ahli memberi sumbangan RM10 sebulan dan mereka juga menanam sayur-sayuran seperti kangkung untuk dijual kepada orang ramai melalui koperasi seorang rakan di USJ, Selangor. Dan, hasilnya amat menggalakkan kerana sayur-sayuran yang ditanam tidak menggunakan racun serangga atau bahan kimia terlarang.

Katanya, pertubuhan itu mempunyai 628 ahli tapi kira-kira 200 orang tidak aktif dan berharap mereka kembali aktif bagi menambah dana pertubuhan itu kerana kos pengurusan kira-kira RM5,000 sebulan. Ia ditampung melalui sumbangan zakat dan fidyah.


Aktiviti pertanian terutama tanaman sayur-sayuran antara sumber utama dana bagi membantu golongan miskin, asnaf dan anak-anak yatim


Ditanya kepuasan yang diperolehi daripada aktiviti amal itu, beliau yang berasal dari Desa Putra, Sungai Merab, Selangor dan mempunyai 16 adik beradik mengakui pekerjaan itu memenatkan tapi kepenatan yang dilalui diubati dengan keseronokan melihat usaha yang dilakukan membantu ramai golongan miskin dan asnaf mencapai kejayaan. 

"Saya puas dan lega melihat insan-insan yang menerima sumbangan dari pertubuhan ini menguntum senyuman dan mengucapkan terima kasih selain berdoa moga usaha yang kami lakukan berterusan dan terus istiqamah.

"Saya datang dari keluarga yang susah, apa yang kami lakukan hari ini juga untuk diinfaqkan pahala kepada ibu bapa yang meninggal dunia selain diri sendiri malah inilah amal jariah yang saya bawa hingga ke liang lahad nanti, sekurang-kurangnya saya dan suami ada jawapan di hadapan Allah apa yang kami lakukan sesama manusia," katanya.  

Mengenai cabaran, katanya dugaan kecil-kecil tu adalah tapi insya-Allah dipermudahkan. 

"Sumbangan yang diberikan pun ikut kemampuan kerana kami tidak mendapat tajaan daripada syarikat korporat. Jika ada bajet besar, kami dapat mengagihkan kepada jumlah lebih banyak tapi jika dana tiada, kami perlahankan sikit sumbangan," katanya.


Sebahagian hasil sayur-sayuran yang dibungkus untuk dihantar ke koperasi di USJ, Selangor untuk dana membantu golongan memerlukan


"Tapi, sekarang pertubuhan ini amat memerlukan kenderaan sendiri bagi mengangkut barangan kerana jumlah yang perlu diagih-agihkan besar, tidak cukup menggunakan kenderaan sendiri atau meminjam daripada rakan-rakan. Jika ada pihak yang sudi menderma atau menginfaqkan kenderaan pacuan empat roda, kami amat mengalu-alukan.    

"Keutamaan bantuan ialah kepada golongan asnaf terutama yang betul-betul daif, guna lampin pakai buang, terlantar di rumah, makan guna tiub dan tidak mampu beli susu walaupun dapat bantuan JKM. Itu keutamaan kami. 

"Walaupun ada yang memberi info golongan yang memerlukan bantuan, kami siasat dulu dan sahkan kebenaran baru memberi bantuan kerana ada juga kes yang maklumat tidak betul.  

"Sekalipun bantuan "one off" tapi kami akan menghantar lagi sumbangan ke tempat yang sama jika penerima masih memerlukan bantuan. Kebanyakan maklumat kita dapat melalui nazir masjid atau ketua kampung," katanya. 

Ditanya harapan terhadap misi amal itu, katanya walaupun kadangkala ada beberapa dugaan kecil tapi alhamdulillah bantuan yang diberikan berterusan dan ramai mendapat manfaat kerana kerjasama dalam kalangan AJK selain suami yang memahami.  


Beberapa ahli misi amal menyantuni anak-anak yatim dan murid sekolah pondok di Pattani, Thailand.


"Saya berharap pihak tertentu yang mempunyai banyak wang dapat membantu kami melalui sumbangan dan infaq supaya bantuan yang diuruskan dapat disalurkan kepada lebih ramai golongan memerlukan dan aktiviti dapat diaturkan setiap minggu. Jika mereka dapat menyertai kami, ia lebih baik.

"Moga usaha yang dicetuskan ini dapat diteruskan sampai bila-bila sekali pun kami sudah tiada di dunia ini, mungkin ada orang lain yang mengambil alih tapi yang penting ia dapat diteruskan, selain mengadakan kelas mengaji, fekah dan dhuha.

"Dalam melakukan aktiviti ini, saya cuba mengelak diri daripada terlalu bermegah dan riak, kadangkala kami bergambar bukan untuk tujuan itu tapi memberitahu pihak yang memberi sumbangan, inilah duit yang mereka beri dan kepada yang mempunyai wang, bantu lah kami dan hasilnya akan lebih baik dinikmati golongan memerlukan.    

"Kadangkala dalam perjalanan menghantar sumbangan, kami singgah di hentian rehat menyantuni pekerja yang mencuci tandas dan cuci longkang. Ramai gembira dan tersenyum menerima sumbangan kami dan doa mereka juga, urusan dan perjalanan kami dipermudahkan.  


Anak-anak yatim di sekolah pondok di Pattani, Thailand sabar berbaris untuk menerima sumbangan daripada misi amal Malaysia.


"Untuk mereka yang masih seronok duduk dalam zon selesa dan terlalu sayang dengan duit, sekali sekala cuba ikut kami menyantuni golongan miskin, asnaf, ibu tunggal dan anak-anak yatim. Mudah-mudahan apabila anda melihat wajah gembira mereka, anda pasti puas walaupun dalam keletihan dan perut yang lapar.

"Insya-Allah, apabila kita mengeluarkan harta untuk golongan yang memerlukan, ia tidak akan habis dan rugi malah Allah akan melipatgandakannya, itu janji Allah. Dan, itulah falsafah dan slogan kami iaitu "buat baik sampai mati! Jom jadi orang baik!," katanya sebagai mengakhiri perbualan. 

Ustazah Norhayati boleh dihubungi menerusi talian 017-2606062 jika mahu maklumat lanjut. 

Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun, Pertubuhan Amal dan Kebajikan Insaniah Selangor, bernombor 562263560241 (Maybank). Anda juga boleh datang sendiri ke pejabat pertubuhan di Sungai Ramal Dalam, Bangi, Selangor.  - KitaReporters


Penulis (kiri) bergambar kenangan bersama Ustazah Norhayati (dua dari kanan) dan suaminya, Ustaz Shamsulbahri Ahmad (kanan sekali) di pejabat Pertubuhan Amal dan Kebajikan Insaniah Selangor di Bandar Baru Bangi, Selangor.

21
16
0
8
0

Copy Link: