Roket Air DIY! Lahirkan generasi kreatif, inovatif, pintar! Bersemangat tinggi seperti pejuang Hamas!
Published byBayangkan dalam situasi penindasan sejak 75 tahun lalu, rakyat Palestin terutama pejuang Hamas tidak pernah putus asa. Hasilnya, mereka mampu mencipta roket sendiri seperti J80, Al Yassin 195 dan N75. Terbaharu, mereka menghasilkan roket canggih, M-90 yang dikatakan mampu mencabar sistem pertahanan udara, Iron Dome milik Israel buatan Amerika Syarikat.
Dianggap antara sistem pertahanan paling moden dan berkeupayaan tinggi, Iron Dome adalah sistem pertahanan udara bagi mempertahan negara Yahudi itu daripada serangan roket jiran-jirannya.
Tapi pelancaran roket M-90 dalam serangan 7 Oktober 2023 lalu memberi kejutan dan tamparan hebat kepada Angkatan Pertahanan Israel (IDF).
Nurul Norasikin Mohd Nordin (berdiri kiri) bersama Mimi Azlina Razali memberi penerangan kepada peserta mengenai Program Roket Air DIY.
Nurul Norasikin Mohd Nordin
“Kami mahu
mengambil semangat pejuang Hamas yang kreatif, inovatif dan pintar bagi
menghasilkan roket sendiri sehingga menggemparkan Zionis Israel yang tidak menyangka
akan mengalami kemusnahan teruk sedangkan mereka memiliki sistem pertahanan
udara terbaik di dunia,” kata Pengarah Program Roket Air DIY, Nurul Norasikin
Mohd Nordin.
Program itu dianjurkan Laman Nazim ISMA (Ikatan Muslim Malaysia) dengan kerjasama Surau Seri Tanjung, Seksyen 7, Bandar Baru Bangi, Selangor.
Beliau berkata, melalui Program Roket Air DIY itu, peserta akan belajar bagaimana untuk mencipta dan menerbangkan roket ciptaan mereka ke udara.
Ia pasti sesuatu yang menyeronokkan apatah lagi dalam usia yang masih muda, mereka tentu teruja melakukan perkara-perkara baru, katanya.
Jurulatih Program Roket Air DIY, Mohammad Amirul Haziq Waacop memberi panduan bagaimana menghasilkan roket air kepada peserta.
“Kami
berharap semangat perjuangan Hamas itu akan dikutip oleh peserta-peserta yang
berusia lima hingga 12 tahun. Selain mencipta
roket, mereka turut bersolidariti bersama rakyat Palestin.
“Alhamdulillah, ada 56 peserta yang mengambil bahagian dan kebanyakannya anak dari Pangsapuri Seri Tanjung. Kami juga berterima kasih kerana mendapat kerjasama amat baik dari Surau Seri Tanjung yang menaja lokasi dan makanan malah mereka sanggup turun padang memasak makanan kepada peserta.
“Berikutan sambutan luar dugaan itu, kami akan mengadakan siri 2 program ini bagi memberi peluang peserta yang mendaftar tapi tidak dapat ikut serta. Peserta hanya dikenakan yuran RM5 seorang dan kami menyediakan peralatan untuk membuat roket air,” katanya lagi.
Sebahagian peserta tekun membaca panduan yang betul bagi menghasilkan roket air DIY.
Nurul Norasikin berkata, roket itu menggunakan kaedah angin yang dimasuk ke botol dengan pam dan diterbangkan ke udara apabila peserta membuka tudung botol.
Ditanya bagaimana mendapat idea itu, katanya ia melalui pembacaan dan pembelajaran sains di sekolah.
Roket Air DIY membuktikan tiada mustahil untuk mencipta roket sendiri asalkan ada ilmu, kreativiti dan kesungguhan. Ini yang dibuktikan oleh pejuang Hamas.
“Dalam program ini, kami membahagikan peserta kepada sembilan kumpulan dan memilih pemenang di tempat pertama hingga keempat berdasarkan kreativiti dan persembahan. Hadiah ditaja oleh Surau Seri Tanjung dan semua persembahan diadili trainer, Muhammad Amirul Haziq,” katanya.
Salah satu kumpulan peserta lelaki menunjukkan roket air DIY yang mereka hasilkan.
Kumpulan peserta perempuan tidak kurang hebatnya dengan ciptaan roket air DIY mereka.
Beliau
berharap melalui program ini, peserta akan meneruskan semangat pejuang Hamas,
siapa tahu suatu hari nanti, ada di antara peserta ini dapat menghasilkan roket
untuk Malaysia.
“Kami mahu menyampaikan mesej kepada peserta bahawa Islam tidak pernah meminggirkan ilmu termasuk bidang sains dan semoga mereka menjadikan program itu sebagai landasan untuk lebih berjaya sebagai pendakwah dan ilmuan, bukan sekadar alim tapi berilmu,” katanya.
Mahmad Amin Zakaria
Sementara
itu, AJK Biro Pendidikan Surau Seri Tanjung, Mahmad Amin Zakaria, berkata pihaknya sentiasa terbuka dan mengalu-alukan
kerjasama dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO) demi manfaat kepada penduduk pangsapuri
itu.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) Pangsapuri Seri Tanjung berkata, sepatutnya yuran dikenakan ialah RM20 tapi selepas perbincangan dan persetujuan surau dan jawatankuasa penduduk untuk menaja makanan dan hadiah, ia dikurangkan kepada RM5 seorang sahaja.
Antara penghuni Pangsapuri Seri Tanjung yang turun membantu menyediakan makanan kepada peserta Program Roket Air DIY.
“Pengurangan
yuran penyertaan itu membolehkan ramai anak pangsapuri dapat mengambil
bahagian. Ini sesuatu yang menggembirakan kami kerana mereka dapat mempelajari
sesuatu yang baharu dan penduduk dapat menjalin ukhuwah.
“Kami turut turun padang memasak makanan untuk peserta dan ada penduduk yang sukarela menghantar kuih muih untuk juadah kepada kanak-kanak yang mengambil bahagian dalam program itu.
“Saya berharap dapat bekerjasama dalam program seumpama itu pada masa depan, mungkin dengan NGO atau pihak lain kerana melalui program itu, ia memberi manfaat kepada anak-anak penduduk selain mengimarahkan surau dengan pelbagai aktiviti luar selain pengajian kitab,” katanya lagi. - KitaReporters
AJK Program Roket Air DIY
bergambar kenangan bersama sebahagian AJK Surau Seri Tanjung, Seksyen 7, Bandar
Baru Bangi, Selangor.