Sembang-Sembang| Iktibar daripada kisah anak yang baik! Kutip botol, tin minuman! Untuk bantu ibu!
Published byMelentur buluh biar daripada rebung. Sayangkan anak bagi teguran. Mereka umpama kain putih. Pada tangan ibu bapa terletak coraknya.
Sejuk perut ibu mengandung. Bila anak terdidik sempurna. Akhlak terbina, budi tersemai. Semoga membesar dalam bahagia.
Demikian inti pati perkongsian kali ini. Kisah daripada Amira yang mencuit rasa. Cerita tentang hero kecil bernama Amin, 12 tahun.
Murid darjah enam ini ditemui Amira sedang mengutip botol dan tin minuman di sebuah taman permainan. Lincah dia bekerja sambil mengheret guni berisi botol dan tin.
Melihat kegigihannya, Amira menyapa. Niat bertanya kenapa dia mengutip botol dan tin. "Saya nak tolong mak cari duit belanja." Jawapan yang meruntun hati Amira.
Amin, anak sulung 3 beradik tinggal bersama ibu dan 2 adiknya di sebuah flat berhampiran. Ibunya bekerja di sebuah restoran dengan gaji cukup makan untuk menyara mereka berempat. Sementara ayahnya baru setahun meninggal dunia.
Kata Amin walau pendapatan tak seberapa, sekurang kurangnya dia dapat meringankan beban ibunya untuk belanja dapur dan sekolahnya.
Daripada buang masa, dia keluar ke kawasan taman di situ mengutip botol setelah balik sekolah. Anak yang sangat matang sebelum usia.
Kata Amira, Amin anak yang baik. Hormat orang. Pandai ibunya mendidik dia menjadi anak yang bertanggungjawab. Anak yang ada hati dan perasaan.
Amira bersyukur kerana berpeluang berkenalan dengan ibu Amin dan adik-adiknya. Benarlah sekali. Ibu Amin seorang wanita yang baik, berbudi bahasa dan mendidik anak-anaknya dengan didikan yang baik.
“Kakak tak suruh pun Amin kutip botol. Dia yang rela hati nak bantu kakak cari rezeki," kata ibunya yang hanya mahu dipanggil Kak Ngah.
Semoga Allah merahmati Amin dan keluarga serta memurahkan rezeki mereka.
Terima kasih Amira berkongsi kisah Amin. Moga kisah Amin membuka mata masyarakat akan golongan yang perlu dibantu seperti keluarga Amin ini.
Iktibar daripada kisah ini:
Didikan untuk anak-anak bermula dari rumah. Sikap ibu bapa cerminan anak-anak, apa ibu bapa buat anak-anak akan ikut.
Jangan manja anak berlebihan. Ajari mereka dengan kepayahan agar mereka belajar untuk hidup. Bagi didikan dunia dan akhirat. Semaikan aura positif ke dalam diri mereka. Tegur apabila mereka buat silap.
Kenali kawan-kawan mereka, ke mana mereka pergi dan dengan siapa. Sentiasa habiskan masa berkualiti dengan mereka. Sokong minat mereka. Lebihkan berkomunikasi dengan mereka supaya mereka rasa disayangi.
Kisah Amin jadikan contoh. Satu dalam seribu!
Bahagia anak bahagia ibu. Gembira anak, gembiralah ibu. Hati anak, dibaca ibu. Hati ibu, hanya Allah yang tahu.
Mengingatkan diri saya dan anda juga tentang tiga perkara yang perlu dicari.
Ilmu yang bermanfaat, rezeki yang halal dan anak yang soleh dan solehah. - KitaReporters