Video| Yang benar dan yang palsu! Menyingkap kelebihan Mat Kilau daripada sumber umum dan jurucakap!

Published by
KitaReporters

.

Temu bual Bahagian Satu Apa Kata Cucu Mat Kilau, Cikgu AlHamadi Mengenai Datuknya, Mat Kilau. - Kredit video: YouTube Azmaidi Abidin


Orang yang tidak hidup bersama kita memanglah kita tidak tahu secara pasti bagaimana sifat, kelebihan dan kekurangannya, apabila individu itu telah tiada. Kita hanya dapat mendengar cerita yang meniti dari mulut ke mulut atau melalui catatan sejarah.  

Lanjutan daripada kisah mengenai Pahlawan Mat Kilau yang saya kutip daripada Galeri Mat Kilau di Pulau Tawar, Jerantut dan penyelidikan dalam talian, ternyata banyak sekali hal menarik mengenai sosok bernama Mat Kilau ini baik dari segi peribadi, kekuatan fizikal dan batin, kepahlawanan mahupun agama.

Tersohor sebagai pahlawan handal, Mat Kilau juga terkenal dengan sifat berani, tangkas serta licik iaitu pandai membuat helah demi tujuan tertentu seperti untuk perlindungan diri. 

Paling menarik Mat Kilau dikatakan boleh menghilang sepantas kilat dan tidak lut senjata, di bawah nanti akan diterangkan antara peristiwa berkaitan. 

Cerita yang boleh diyakini mengenai Mat Kilau antaranya daripada temu bual dengan Cikgu Mohd AlHamadi Abu Bakar, (salah seorang cucu Mat Kilau) dalam saluran YouTube Azmaidi Abidin yang dipaparkan menerusi tajuk, Apa Kata Cucu Mat Kilau, Cikgu Al-Hamadi Mengenai Datuknya, Mat Kilau (Part 1 dan Part 2).



Penulis sebenarnya tidak mahu berkisah lebih-lebih mengenai Mat Kilau, bimbang tersalah fakta kerana cerita yang banyak bertebaran mengenai Pahlawan Pahang yang terbilang itu, bukan semua disahkan oleh warisnya dan perkara ini ada diluahkan oleh Mohd Al-Hamadi dalam video berkenaan.

Seandainya terlalu banyak cerita yang ditokok tambah mengenai Mat Kilau, tidak mustahil kelak bertukar menjadi mitos, iaitu kisah legenda yang ditokok tambah. 

Apatah lagi kisah-kisah mengenai kehebatannya yang dianggap luar biasa bagi kita orang biasa-biasa. Tidak ramai dianugerah kelebihan unik seperti dimiliki Mat Kilau, orang ramai tentulah teruja ingin tahu.

Namun tidak ramai daripada kalangan waris yang muncul bercerita. Komen panjang lebar daripada seorang waris Mat Kilau dalam ruangan komen video Part 2, memberitahu bahawa mereka memilih untuk berdiam. 

"Kami warga asal Pulau Tawar Jerantut, waris-waris @ cicit galur arwah aki Omar (daripada isteri pertama Mat Kilau), tak nak tonjolkan diri dalam media sosial, takut timbul fitnah."

Mohd Al-Hamadi, adalah anak daripada isteri ketiga yang tinggal di Kuantan, tampil sebagai jurucakap kerana menurutnya, keluarganya lebih lama bersama Mat Kilau. 

Ibu dan ayahnya menjaga Mat Kilau selama 30 tahun sewaktu pahlawan itu berada dalam penyamaran, dan hidup berkeluarga di Batu 5 Jalan Kuantan-Gambang dengan nama Mat Siam, lebih dikenali Pok Mat Siam. 

Sewaktu pengakuan datuknya sebagai Mat Kilau, Mohd Al-Hamadi masih kanak-kanak.

Antara kelebihan Mat Kilau ditemui daripada catatan dalam talian, yang tidak bersumber adalah seperti berikut;

  • "Mat Kilau seorang yang sangat pantas seperti kilat, beliau boleh pergi dari satu ke satu musuh dalam sekelip mata. Yang sempat dilihat musuh hanya bayang seperti kita melihat cahaya dari kilat. Itulah kelebihan Mat Kilau, pantas seperti kilat dan lincah." 
  • "Mat Kilau boleh pergi ke sesuatu tempat dengan cepat, dia boleh hilang sekelip mata.
  • Dua cerita di atas, mungkin boleh dikaitkan dengan amalan Pencepat Gerak Geri terkandung dalam Kitab Mat Kilau. "Ketika pergi ke Kuantan bersama menantunya, Mat Kilau menyuruh agar menantunya balik dahulu kerana dia ingin berjumpa Dato Bahaman@Tok Peramu tetapi apabila menantunya sampai di rumah, didapati Mat Kilau telah pun berada di rumah." 
  • "Mat Kilau kalau bertarung dia boleh bunuh dan libas sembilan orang musuh dengan parang dalam sekelip mata." (Berkait amalan berani, kuat), dan ungkapan lain;
  • "Mat Kilau pernah merampas seekor kucing daripada mulut harimau dengan sekelip mata dan menengking harimau itu." (kelebihan dengan haiwan); dan
  • "Mat Kilau tu orang handal, sepelepah daun nyior (kelapa) gugur, dia dah tahu berapa banyak regisnya (lidi)."


Temu bual Bahagian Kedua Apa Kata Cucu Mat Kilau, Cikgu Al-Hamadi Mengenai Datuknya, Mat Kilau. 


Selain itu, banyak lagi kelebihan yang Allah berikan kepada Mat Kilau sebagai mana cerita berikut. 

  • "Pernah seekor lembu jatuh dalam telaga, Mat Kilau menaikkan lembu itu dengan sebelah tangannya sahaja." 
  • "Pernah seorang pendekar yang bernama Awang Kelana ingin menguji kehandalannya. Ketika Mat Kilau sedang mandi embun, Awang Kelana merejam lembingnya dari belakang dan lembing Itu tepat terkena pada belakang badan Mat Kilau tetapi tiada apa pun yang terjadi ibarat merejam lembing ke batu yang besar." 
  • "Ketika pihak Inggeris tahu kelemahan kuasa Mat Kilau adalah emas, mereka pun membuat peluru emas tetapi peluru yang ditembak hanya mengenai kulit Mat Kilau, bukan dagingnya." (berkait amalan penangkis, kunci bedil, kalis peluru).

Mohd Al-Hamadi bagaimanapun menolak kebanyakan cerita yang bertebaran dalam media sosial, terutama dakwaan mengenai Mat Kilau kebal dan sebagainya.

Pada masa sama beliau mengakui ada kesan peluru pada badan Mat Kilau , dan berkata, "mungkin dari situ orang membuat andaian kebal sedangkan terpijak duri pun rasa sakit," katanya dalam temu bual itu.



Difahamkan, masih banyak lagi hal kelebihan yang tidak didedahkan. Yang tahu sahaja tahu. 

Apa pun hanya Allah Maha Berkuasa dan Maha Hebat. Dia empunya segala kehebatan dan keilmuan yang diberikan kepada hamba-Nya yang soleh. 

Menariknya, rahsia amalan kepahlawan Mat Kilau ada didokumentasikan dalam Kitab Mat Kilau. Diterbitkan oleh Utusan Melayu pada 1970, yang mana kandungannya merupakan ambilan semula daripada tiga kitab asal oleh Ustaz Wan Alim Wan Hassan.

Meneliti bab-bab dalam kandungan Kitab Mat Kilau, kelihatan seakan Kitab Hang Tuah, yang memperkata mengenai amalan kepahlawanan, perlindungan, termasuk juga untuk perawatan dan kehidupan, berteraskan ilmu tradisional dan Islam, iaitu bergantung kepada doa dan perlindungan daripada Allah SWT.

Dalam persembunyian daripada buruan Inggeris, Mat Kilau dikatakan berguru dengan seorang wali Allah iaitu Tokku Paloh, ulama terbilang di Terengganu. 

Sebagai pahlawan Melayu yang berlatarbelakankan agama (Islam), Mat Kilau adalah pejuang agama, bangsa dan tanah air dengan memanfaatkan doa dan zikir serta seni silat untuk mempertahan diri, menewaskan musuh dan mengharungi kehidupan. 


Ramai menemu bualnya sebagai jurucakap mengenai Mat Kilau, Cikgu Mohd Al-Hamadi  juga Yang Dipertua Pertubuhan Silat Tapak Setia Suci (TSS) Warisan Mat Kilau. - Kredit foto: Mohd Al-Hamadi


Semasa mudanya Mat Kilau mengajar ilmu silat yang turut diwariskan kepada generasi terkini antara lain menerusi Pertubuhan Silat Tapak Setia Suci (TSS), Warisan Mat Kilau, yang mana Mohd Al-Hamadi yang juga Guru Besar SK Padang Garuda, Paya Besar, Kuantan adalah Yang Dipertuanya.

Sebagai waris, Mohd Al-Hamadi mengingatkan agar masyarakat berhati-hati menerima maklumat mengenai Mat Kilau, terkejut juga dalam satu ucapan, beliau berkata, 90 peratus cerita dalam media sosial mengenai Mat Kilau adalah tidak betul. 

Jadi tontonlah video temu bual dengan beliau sebagai jurucakap, untuk perbandingan cerita dengan sumber lain.

Pelbagai fakta penting bersabit Mat Kilau seperti mengenai sejarah nama, keluarga, pertempuran dan sebagainya boleh dengar dalam video temu bual berkenaan. 


Gambar hiasan... Mat Kilau sangat handal bersilat menggunakan senjata keris dan parang. Ilmu persilatannya boleh dipelajari dengan menyertai pertubuhan Silat Tapak Setia Suci (TSS), Warisan Mat Kilau. - Kredit foto: Pexel

10
11
0
9
0

Copy Link: