Sembang-Sembang| Siapa kita melawan takdir! Jodoh rahsia Allah! Perancangan Allah tak pernah salah!

Published by
KitaReporters


Yakin dengan takdir Allah. Dibuang oleh keluarga kerana suami. Mereka lupa manusia boleh berubah. 

Bukan niat melawan ibu bapa. Jauh sekali menderhaka. Nawaitu ingin hidup bersama. Mengejar impian hidup bahagia. Bersama insan yang dicinta. 

Perancangan Allah tak pernah salah. Sudah takdir jodohnya hanya seorang kerani biasa. Walau ada ijazah, bukan penghalang untuknya bahagia dengan lelaki pilihan yang seadanya.

Biar ibu bapa pandang hina, tetapi dia sangat istimewa, luah Zeti tentang kisah cinta dan rumah tangganya.

Kata Zeti, ibu bapanya menghalang cintanya dengan Zaki, sejak mereka di bangku sekolah lagi. Alasannya mereka sudah ada calon menantu yang mereka berkenan.

Tapi Zeti dan Zaid nekad melawan ujian yang datang demi cinta mereka. 



Nasib tidak menyebelahi Zaki apabila dia gagal melanjutkan pelajaran ke universiti selepas keputusan SPM diumumkan. Zeti pula diterima masuk universiti. Namun hubungan  mereka tak pernah putus.

Zaki mendapat kerja di sebuah bank. Dia bekerja keras untuk mengumpul duit bagi melamar buah hatinya itu setelah Zeti tamat belajar. Sayangnya dua kali pinangannya ditolak atas alasan tidak setaraf.

Pelbagai cara dibuat namun semua buntu. Pada hal keluarga Zeti bukan ternama pun, biasa sahaja, entah kenapa mereka tak suka Zaki. Dan Zeti perasan keadaan ini sejak dari awal lagi 

Jalan lain tidak ada, kes dirujuk ke pejabat agama. Beberapa kali bapanya dipanggil tetapi dia tidak hadir, akhirnya Zeti bernikah menggunakan wali hakim. Allah bantu permudahkan. Alhamdulillah. 

Syukur keluarga Zaki menerima Zeti dengan baik. Dilayan bagai anak sendiri. Bahagianya sampai kini dengan dua orang cahayamata. 

Keluarga Zeti? Sampai sekarang tak berubah. Sudah 12 tahun kisah berlaku. Mereka tetap tak boleh terima Zakii. Mereka lupa masa berlalu, manusia berubah. 

Menantu yang mereka benci itu sekarang seorang pegawai bank yang terlatih. Zaki sambung belajar untuk membuktikan kepada keluarga Zeti yang dia juga boleh berjaya. 

Yang tak berubah ibu bapa mentuanya. Semoga Allah buka hati mereka untuk menerima Zeti dan Zaki serta cucu mereka. 



Iktibar daripada kisah ini:

Siapalah kita untuk melawan kehendak Allah. Soal jodoh adalah rahsia Dia. Reda dan restulah. Perkara baik, jangan persulitkan. 

Anak-anak berhak menentukan masa hadapan mereka sendiri. Kita sebagai ibu bapa doakan yang terbaik untuk mereka. Tidak salah memilih menantu. Tapi jangan keterlaluan dan mengaibkan orang. 

Ketepikan pangkat dan darjat. Ia bukan jaminan bahagia. Yang penting, keikhlasan hati. Sepatutnya bersyukur kerana ada orang sayang anak kita. 

Buang ego. Jangan perlekeh orang. Buang sikap negatif, ingat nasib kita, anak cucu kita Allah yang tentukan! 

Jangan rosakkan impian anak-anak kerana ego kita sebagai ibu bapa. Sempurnakan tanggungjawab untuk bahagiakan mereka di dunia dan akhirat. - KitaReporters

16
13
0
6
0

Copy Link: