Kempen Tabung Pahlawan 2020! Ayuh sumbang! Nak kumpul RM10j!
Published byKEMPEN Tabung Pahlawan 2020 telah dilancarkan dan tahun 2020 ini sasaran kutipan ditetapkan pada jumlah RM10 juta. Tabung tersebut diharapkan untuk membantu veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terutama mereka yang berada dalam kategori kurang berkemampuan, veteran kurang upaya (VKU) serta balu dan anak-anak veteran ATM. Ayuh semua sumbang hari ini!!! : KitaReporters
Lagi cerita-cerita berkaitan TV AlHijrah:
https://kitareporters.com/search?search=tv+alhijrah
Sehubungan itu, TV AlHijrah bersama Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV) berganding bahu mengumpul dana bagi membantu veteran ATM terutama mereka yang berada dalam kategori kurang berkemampuan, veteran kurang upaya (VKU) serta balu dan anak-anak veteran ATM.
Majlis pelancaran program rakan strategik yang diadakan secara langsung dalam program bual bicara Assalamualaikum di TV AlHijrah pada 21 Ogos 2020 lalu disertai oleh empat barisan kepimpinan negara iaitu Timbalan Menteri Pertahanan, Dato' Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Malaysia, Dato' Sri Muez Abd Aziz; Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Haji Affandi Buang; dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM, Mejar Jeneral Dato’ Dzulkarnain Ahmad.
Dalam satu kenyataan media, Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata, TV AlHijrah mengambil tanggungjawab penuh dalam memastikan misi mengumpul dana Kempen Tabung Pahlawan ini berjaya mencapai sasarannya.
“Sebagai stesen televisyen Islam utama negara, adalah menjadi tanggungjawab kami untuk bukan saja membantu mewujudkan kesedaran dan menyampaikan berita terkini yang tepat pada masanya, malahan menguar-uarkan usaha pihak kerajaan yang memanfaatkan ummah. Mengumpul dana bagi Kempen Tabung Pahlawan ini adalah salah satu di antaranya.
“Kami berbesar hati menjadi rakan media yang membantu Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV) mengumpul dana bagi membantu veteran ATM yang memerlukan. Justeru, kami pastikan kempen yang dilaksanakan di TV AlHijrah ini bersifat holistik dan bersifat 360 darjah.
“Kami akan menggunakan semua platform yang dimiliki TV AlHijrah sama ada di kaca televisyen mahupun dalam platform digital bagi mencapai demografi sosial yang lebih luas serta merayu untuk bantuan ini.
“Pada 10 Julai 2020 yang lalu, pihak kami telah memeterai perjanjian persefahaman bersama Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM yang ditandatangani oleh Mejar Jeneral Dato’ Dzulkarnain Ahmad sendiri. Bermula saat itu, gerak kerja profesional telah diatur dan dirancang dalam memastikan pihak kami memberikan seratus peratus komitmen yang diperlukan untuk menjayakan kempen ini,” katanya dalam kenyataan tersebut.
NAMANZEE HARRIS
Namanzee Harris berkata, kempen ini secara rasmi akan dijalankan TV AlHijrah sehingga penghujung bulan September 2020.
"Ini adalah antara kempen yang kami rencanakan bagi sambutan Hari Kebangsaan selain daripada barisan rancangan-rancangan istimewa di televisyen seperti rancangan MY #QuranTime, rancangan animasi menerusi slot Anifest, Berita AlHijrah dan banyak lagi.
“Kami akan tayangkan dua kapsul istimewa yang dihasilkan oleh penerbit dalaman TV AlHijrah dalam usaha memberikan kesedaran kepada masyarakat bahawa keamanan yang kita kecapi pada waktu ini merupakan hasil pengorbanan tidak bertepi pasukan keselamatan negara, khususnya Angkatan Tentera Malaysia. Kapsul patriotik yang dilakonkan oleh selebriti terkenal Malaysia seperti Dato’ Jalaluddin Hassan dan Emelda Rosmila akan sentiasa ditayangkan terutama pada waktu puncak.”
"Saya menyeru kepada semua warga Malaysia yang prihatin supaya terus menonton TV AlHijrah bagi mendapatkan maklumat terkini dari semasa ke semasa tentang pencapaian kempen ini dan dapat menghulur sumbangan ikhlas sebagai tanda terima kasih atas hadiah keamanan dan keselamatan yang kita nikmati pada masa ini.”
Katanya, setiap sumbangan sama ada besar atau kecil adalah amat bermakna dan akan disalurkan kepada pihak JHEV.
Penonton boleh melayari laman sesawang rasmi iaitu http://tabungpahlawan.jhev.gov.my bagi mendapatkan butiran langkap tatacara melakukan transaksi sumbangan. - KitaReporters