"Di mana ada kesusahan, di situ ada Ustaz Ebit Lew." Mungkin itu ayat yang tepat untuk menggambarkan keprihatinan pendakwah bebas yang juga pemilik rangkaian pasar raya Elewsmart terhadap kerja-kerja amalnya selama ini. Tetapi, jika korang terlepas pandang mungkin boleh saksikannya melalui program ‘Jejak Ebit Lew’ mulai 7 Disember 2020. : KitaReporters 



Lagi kisah-kisah berkaitan Ebit Lew:

https://kitareporters.com/search?search=ebit+lew


“Ramai yang panggil saya ustaz, saya bukan ustaz, sekadar melaksanakan tanggungjawab berdakwah sahaja melalui kudrat saya. Saya bantu selagi mampu,” ujar pemilik nama sebenar Ebit Irawan Ibrahim Lew yang dilahirkan sebagai Lee Yun Pau 35 tahun lalu.

Beliau berkata demikian pada majlis sidang media ‘Jejak Ebit Lew’ yang diadakan secara virtual pada Rabu, 2 Disember 2020, di mana program realiti berbentuk majalah itu bakal bersiaran bermula pada 7 Disember 2020 menerusi saluran Astro Prima (125) dan Astro Prima HD (105) serta boleh distrim melalui aplikasi Astro Go.



Turut bersama pada sidang media itu adalah, Pengurus Saluran Astro Prima, Norzeha Mohd Salleh.

“Uniknya program ‘Jejak Ebit Lew’ ia  bersifat ‘jujur’ kerana tidak terikat dengan sebarang skrip mahukan babak-babak komersial yang perlu disempurnakan. 

“Ini adalah kerana kebanyakan misi bantuan yang perlu disampaikan selalunya bersifat spontan atau ad hoc. 

"Selain itu, terdapat juga di antara kes-kes yang diterima daripada permohonan secara bersurat serta menerusi emel yang turut disertakan dengan paparan aktif sahih dalam media sosial,” ujar Norzeha (gambar bawah) berkaitan program yang merupakan kesinambungan daripada program ‘Door To Door Ebit Lew’ dalam saluran Astro Oasis.



Lebih popular disapa Ustaz Ebit, anak ketiga daripada 11 beradik yang memeluk Islam pada usia 12 tahun ini, mula mendapat perhatian netizen susulan daripada keprihatinannya membantu masyarakat yang kurang berkemampuan tanpa mengira latar belakang, bangsa dan agama semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di seluruh negara pada Mac 2020. 

Meskipun ada sesetengah pihak yang menyalah tafsir niat baik beliau, insan ini bagaimanapun tidak pernah kenal erti berputus asa malah terus giat menjalankan aktiviti kebajikannya tanpa mengira batas dan sempadan bagi memastikan nasib golongan yang kurang bernasib baik terbela dan terjaga. 

Setiap perkongsian beliau dalam menyantuni semua lapisan anggota masyarakat menerusi media sosial juga berjaya mencetuskan gelombang kesedaran yang tinggi dan bermakna. 




Klip sedutan dan kompilasi paparan isi hati Ebit Lew dapat ditonton melalui kapsul ‘Jejak Xtra Ebit Lew’ pada setiap hari Isnin jam 6.55 petang sebelum ‘Jejak Ebit Lew’ bersiaran sepanjang 61 episod pada setiap hari Isnin, jam 9.00 malam.

Berborak seketika dengan Ustaz Ebit dapat dilihat sifat kesederhanaannya di sebalik penampilannya yang berjanggut dan berkopiah waima tetap merendah diri ketika berbicara.

“Walau pun orang melihat saya banyak memberi bantuan, namun sumbangan saya hanya kecil sahaja tidak besar sebagaimana yang dihulurkan menteri, orang kenamaan mahu pun yang bertanggungjawab memang jauh langit dengan bumi,” ujarnya sambil akui tidak terlepas daripada menjadi mangsa viral.

“Ada orang viralkan macam-macam permintaan seperti nak kaki palsulah, nak duit niaga, siapa nak kahwin, nak anak dan  sebagainya untuk hubungi saya. Jadi ia membuat orang jadi tak segan silu nak minta. Tetapi saya hanya dapat membantu setekat mana saya mampu sahaja,” tambah pendakwah yang disayangi ramai ini.



Menyentuh ujian pandemik COVID-19, Ebit mengakui pernah rasa tertekan dan menangis selama tiga hari memikirkan bagaimana nak membantu orang ramai yang terkesan.

“Dan apabila saya diberikan kebenaran bergerak untuk sama-sama membantu, semangat saya semakin kuat jadi jangan bersangka buruk terhadap Allah. Ada rahmat di sebaliknya,” akhiri Ebit Lew yang positif sambil meninggalkan pesanan agar sentiasa solat sunat dua rakaat dan mengadu pada Allah swt supaya hati terasa lapang apabila dilanda keresahan. 

Terbaharu, pada Isnin, 30 November 2020, Ebit Lew dilihat melawat dan membantu pelakon Bob Lokman di  Kelantan yang memerlukan bantuan untuk kos rawatan dan pembedahan jantung bagi pemasangan alat kawal dengupan jantung yang mencecah RM60,000. - KitaReporters



3
1
0
0
0

Copy Link: