KEMERDUAN suara Pak Cik Ariffin Omar, 75, mengalunkan lagu Bimbang Serumpun Kasih Terbuang yang meruntum jiwa menghilangkan tekanan perasaan warga emas di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, di Semenyih, Selangor, yang menunggu giliran suntikan vaksin Covid-19, pada 28 Jun 2021 lalu.

Suara serak serak basah Pak Cik Ariffin yang juga penghuni pusat itu menyebabkan rakan sepenghuni beliau tenang seketika malah ada sesetengah pula mengesat air mata yang bergenang apabila sayu hati mendengar lagu itu.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pusat jagaan

Pak Cik Ariffin sedang menyampaikan lagu Bimbang Serumpun Kasih Terbuang.


Pak Cik Ariffin dijemput oleh Pengerusi Persatuan Kebajikan Mahmudah Malaysia, Azman Rasman untuk menghiburkan hati penghuni dan petugas pusat berkenaan sementara menunggu pasukan Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Langat membuat penyiapan serta penyediaan sebelum memulakan tugas menyuntik vaksin berkenaan.

Azman berkata, Pak Cik Ariffin memang selalu dijemput ke pentas untuk mengalunkan lagu apabila ada majlis di pusat itu kerana beliau memiliki suara yang merdu sesuai dengan usia warga emas dan sentiasa mendapat sokongan daripada penghuni di situ.


Azman Rasman mengedarkan pelitup muka dan sanitizer sumbangan YaPEIM Selangor kepada penghuni Pusat Jagaan Mahmudah sementara menunggu giliran suntikan vaksin.


Menurutnya, apabila melihat keadaan warga emas yang resah dan berkerut air muka menunggu giliran untuk menerima suntikan berkenaan dia mengambil inisiatif itu bagi memujuk serta menenangkan hati mereka supaya bersabar seketika.

“Bagaimanapun saya tidak menyangka pula lagu popular yang dinyanyikan vokalis Kumpulan EYE , Izam ini, meruntum jiwa sesetengah warga emas dan petugas apabila ada yang mengesat air mata,” kata Azman yang hadir bagi membantu menyeliakan program suntikan vaksin di pusat berkenaan.


Kakitangan PKD Hulu Langat dengan dibantu NGO Usiamas melakukan proses suntikan vaksin kepada penghuni Pusat Jagaan Mahmudah.


Beberapa anggota pasukan PKD berkenaan yang diketuai Dr N Anusia Nallanathan hadir bersama-sama enam sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Usiamas bagi menyempurnakan suntikan vaksin untuk warga emas di pusat jagaan dan rumah kebajikan sekitar daerah Hulu Langat.

Menerusi program itu seramai 55 warga emas dan petugas Pusat Jagaan Mahmudah menerima suntikan vaksin, manakala 44 orang lagi di Pusat Jagaan Nur Hasanah, Beranang, Selangor.


Seorang penghuni Pusat Jagaan Mahmudah menerima suntikan vaksin.


Pengerusi Pusat Jagaan Nur Hasanah, Mohiadin Bahado, berkata program itu memberi banyak manfaat khusus kepada warga emas yang menghadapi masalah kesihatan dan pergerakan jika terpaksa ke pusat pemberian vaksin (PPV).

Menurutnya, selain itu pusat jagaan pula menghadapi masalah untuk menghantar serta membawa pulang warga emas ke pusat kerana kekurangan kemudahan pengangkutan terutama untuk membawa mereka yang terpaksa berkerusi roda ditambahi pula dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan lockdown sekarang.


Seorang penghuni di Pusat Jagaan Nur Hasanah menerima suntikan vaksin.


“Dengan adanya pasukan  bergerak sebegini memang satu kemudahan yang amat menyenangkan khusus kepada warga emas yang memang bersemangat dan tiada masalah mematuhi arahan kerajaan untuk menerima suntikan vaksin Covid-19,” kata Mohiadin.


Seorang NGO Usiamas membantu seorang penghuni di Pusat Jagaan Nur Hasanah untuk disuntik vaksin.


Sementara itu, Penyelaras Luar Khidmat Bantu Di Rumah (KBDR) NGO Usiamas, Samsiah Samsi, berkata beliau bersama ahli yang lain melaksanakan tugas membantu proses dokumentasi serta menyelaras proses suntikan vaksin di pusat jagaan warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) sekitar daerah berkenaan.

“Kami akan membantu dari segi mengisi borang, membuat pendaftaran serta mengawasi pergerakan warga emas dan OKU seperti menyorong kerusi roda mereka terbabit untuk melancarkan proses suntikan dilakukan oleh kakitangan PKD ini,” katanya. - KitaReporters


Mohiadin Bahado (tiga dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada kakitangan PKD Hulu Langat.

22
6
0
0
0

Copy Link: