Kontroversi misi Ebit Lew di Gaza! Semuanya mengenai duit! Guna wang sendiri, kena kawal belanja!
Published bySaya pakai duit sendiri untuk hantar bantuan. - Kredit foto: FB Ebit Lew
"SAYA mulanya diminta membayar RM40,000 untuk satu kepala atau hampir RM400,000 untuk 10 orang bagi `tiket` untuk masuki Gaza, sebelum dibantu oleh syarikat kendalian seorang ejen perisikan yang hanya mengenakan RM10,000 seorang ($2,500)," demikian kata pendakwah negara, Ustaz Ebit Lew (UEL).
Bayaran itu katanya mencakupi kos perkhidmatan pengangkutan selama 21 jam yang melalui 21 pusat pemeriksaan dengan dibantu oleh 12 kereta kebal mengiringi mereka sepanjang perjalanan ke Palestin.
Syarikat yang membantunya, Lucky Tour itu milik seorang ejen perisikan Mesir yang diperkenalkan oleh kerajaan negara itu selepas usahanya hampir menemui kegagalan.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Ustaz Ebit Lew
Beliau berkata demikian ketika menolak tuduhan dikatakan membayar wang ratusan ribu dolar kepada sebuah syarikat bernama Hala untuk menguruskan kemasukan rombongannya ke Gaza.
Pada 22 Julai 2021, UEL membuat laporan polis berhubung dakwaan yang dikatakan dibuat terhadap beliau oleh beberapa individu.
Dalam laporan polis tersebut, beliau menamakan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamamrulzaman @ Nadir Al-Nuri, penyanyi rap Caprice dan beberapa individu lain. Nadir, seorang rakyat Malaysia yang berkahwin dengan bekas isteri pejuang Palestin, Reen Al-Minari.
Ekoran tuduhan-tuduhan yang dilemparkan terhadapnya, UEL menghuraikan semua isu dengan bukti lengkap untuk menyangkal segala tuduhan yang dilontarkan terhadapnya dan menyerahkan kepada peguamnya untuk memutuskan tindakan selanjutnya.
UEL buat laporan polis dan kemudian menghurai semua kekalutan dan tuduhan yang menjadi kini menjadi kontroversi. - Kredit foto: FB Ebit Lew
UEL juga menjelaskan dia tidak tahu wujudnya Syarikat Hala itu kerana sebelum ini dia hanya berhubung dengan sebuah syarikat lain yang dikenali sebagai Miles of Smiles. Itulah pada mulanya dia cajkan dengan harga RM400,000 itu. Malah khidmat itu pula diuji masalah teknikal yang melengahkan usaha (kemasukan) mereka.
Katanya Syarikat Miles of Smiles sudah berkhidmat sejak berpuluh-puluh tahun dan terkenal sebagai syarikat yang membawa ramai orang ternama dengan kadar bayaran RM50,000 satu kepala.
Akhirnya dengan bantuan Kedutaan Malaysia dan Kerajaan Mesir untuk melancarkan urusan dia memasuki Gaza dan menggangapnya sebagai rezeki kerana menjadi rombongan pertama memasuki wilayah itu dengan mudah.
Selain itu, UEL turut menjawab alasan dia memilih tawaran pek bungkusan makanan yang berharga RM80 ($20) seunit berbanding sebelum itu RM160 ($40) untuk barangan yang sama yang mungkin menyebabkan ada pihak yang marah.
Sebaliknya kata UEL, dia sudah mendapat 30 tawaran harga sebelum membuat pemilihan bagi memastikan lebih banyak bekalan yang dapat disalurkan kepada penduduk Gaza.
Sebagai peniaga beliau memilih untuk mendapatkan kos barangan yang lebih murah kerana semua belanjawan dan menguruskan bekalan untuk misi bantuan kemanusiaan di Gaza itu menggunakan duit poketnya sendiri.
UEL juga mengesahkan dia tidak pernah menubuhkan sebarang tabung derma untuk membiayai rombongannya ke Palestin.
Beliau menjawab tuduhan di hadapan 11 media utama negara yang disifatkan sebagai fitnah yang melampau, kejam dan sangat melukakan hatinya.
"Jika mempertikaikan kerja saya selama ini tidak kisahpun. Tetapi bila anak, isteri menangis dan arwah ayah yang sedang nazak sampai terluka hatinya apabila membacanya dalam WhatsApp. Dan ada pula pihak yang menuduh saya tidak mengendahkan SOP ketika melawat ayah. Saya buat laporan polis dan tindakan saman susulan terhadap pihak yang tidak berhenti," katanya.
Beliau juga terkilan kerana orang ramai menyangka dia membawa duit kerajaan dan sumbangan penderma negara ini, menyebabkan dimaki hamun dengan kata-kata seperti "dajal, setan, babi, penunggang agama sehingga ada anak-anak muda memintanya menanggalkan kopiah, jubah serta doa agar mati dipanah petir".
Sebaliknya, UEL meminta rakyat negara ini mendesak Nadir Al-Nuri menjelaskan dan memberi dokumen rasmi tentang peruntukan RM20 juta yang diterima setiap tahun.
"Saya tujukan soalan pada Nadir Al-Nuri di mana duit RM20 juta dibelanjakan dan adakah dia mempunyai bukti seperti resit. Kerana dalam satu siaran videonya, dia hanya memberitahu RM500,000 hingga RM1 juta dibelanjakan untuk makanan. Mana pergi baki duit yang lain. Dia ada tunjuk pelan pembangunan. Saya pun ada. Tu soalan saya pada Nadir Al-Nuri." katanya.
Kredit foto: FB Ebit Lew
UEL berkata, sebenarnya proses memasuki ke Gaza hanya perlu dapat dua kebenaran, Kerajaan Mesir dan pihak tentera negara itu. Manakala Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir menjadi badan khas yang diiktiraf untuk menguruskan semua bantuan dari seluruh dunia ke Gaza.
Mengenai tuduhan beliau membeli barangan di Mesir dan bukannya di Gaza, UEL menegaskan, beliau hanya membeli barangan terutama perubatan termasuk kerusi roda kerana sukar diperolehi di wilayah itu.
"Penduduk Gaza ada yang menunggu sehingga enam bulan untuk memperolehi perubatan dan peralatan kesihatan dan kami membeli empat lori - dua lori dan dua treler barangan dari Mesir yang sudah pun selamat dihantar ke Gaza bersama barang-barang sumbangan Dubai dan Qatar," katanya bersyukur kerana dibantu sepenuhnya oleh Kerajaan Mesir dan Kedutaan Malaysia dan Wisma Putra.
Mengenai tuduhan bersikap biadab, UEL meminta penonton membayangkan dia yang tegak kaku selama 21 jam dalam kenderaan dengan tidak sempat makan, minum dan hendak ke tandas, menjadikan mereka mengalami keletihan melampau dan dalam fikirannya untuk solat jamak saja.
Mengenai tuduhan dia mencium kaki seorang menteri di Mesir dan membeli sijil penghargaan sebagai duta muhibah, UEL berkata dia tidak sesekali berbuat demikian kerana itu membabitkan akidahnya. - KitaReporters