Mahabbah Bahagian Dakwah JAIS! Anjur program Ziarah Mahabbah! Bagi santuni warga emas Nur Hasanah!

Published by
KitaReporters

Mohd Zainudin Wan Yusuf menyampaikan tazkirah ringkas pada majlis perasmian Program Ziarah Mahabbah.


MAHABBAH bermaksud pengorbanan, perjuangan, takwa, keadilan, kejujuran, amanah dan bertanggungjawab. Mahabbah itu ada dalam jiwa setiap manusia, tidak kira seseorang itu Muslim, bukan Muslim, baik atau pun jahat sekali pun.

Mahabbah boleh berlaku menerusi beberapa cara iaitu ucapan, percakapan, hati, niat dan perbuatan. Kasih sayang sesama manusia akan membuahkan mahabbah yang boleh memandu serta membimbing mereka ke arah kebahagian dunia dan akhirat.

Justeru, Program Ziarah Mahabbah kelolaan Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), seolah-olah menelusuri maksud bersamaan dengan usaha untuk menyantuni mereka iaitu warga emas yang ditimpa musibah apabila terdampar di pusat jagaan.


Mohd Zainudin melakukan gimik penyerahan sumbangan yang diinfak orang ramai kepada Mohiadin Bahado.


Penolong Pengarah Kanan bahagian berkenaan, Mohd Zainudin Wan Yusuf menzahirkan rasa terharu apabila Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH), Beranang, Selangor menerima kedatangan beliau bersama-sama pegawai bahagian berkenaan untuk berukhuwah dengan warga emas di situ. 

Menurutnya, dia kagum dengan sikap mahabbah ditunjukkan oleh petugas serta sukarelawan PJNH yang menyantuni serta menjaga kebajikan warga emas dengan baik kerana tidak semua orang boleh melakukan tugas sedemikian apatah lagi jika bukan ibu atau bapa sendiri.

Tambahnya, memulia, merahmati dan seterus mengurus dan menghormati mereka yang memerlukan bantuan dan sokongan meneruskan kehidupan sehingga akhir hayat akan mendapat balasan pahala daripada Allah SWT.


Mohd Zainudin (kanan) mengagihkan sumbangan cenderamata kepada warga emas sambil diperhatikan Mohiadin.


“Daripada Anas bin Malik RA, dikatakan bahawa Nabi SAW bersabda maksudnya; ‘Tidaklah orang yang muda itu apabila dia memuliakan orang yang tua disebabkan usianya, melainkan Allah akan menetapkan pada usia tuanya nanti akan ada orang yang memuliakannya’,” katanya ketika berucap dan menyampaikan tazkirah ringkas pada program berkenaan di PJNH, 29 Oktober 2024.

Mohd Zainudin berkata, JAIS menerusi Bahagian Dakwah akan terus menyantuni rumah kebajikan, anak yatim dan pusat jagaan dengan menghulurkan sumbangan yang diinfakkan oleh orang ramai di samping membuat perancangan untuk mewujudkan kelas pengajian agama.

Tambahnya, dengan ada kelas pengajian agama sedemikian akan memberi peluang kepada warga emas untuk memanfaatkan masa terluang melakukan amal ibadat kepada Allah SWT di samping mengingati mereka supaya tidak meninggalkan solat dan sentiasa berdoa kerana Allah SWT akan memakbulkan doa itu.


Mohiadin memberi penerangan kepada Mohd Zainudin mengenai operasi PJNH serta gambar warga emas yang sudah meninggal dunia.


Jelasnya, sehubungan itu juga warga emas hendaklah sentiasa bertakwa kepada Allah SWT dengan mengikuti perintah-Nya dan meninggalkan terus segala larangan-Nya disamping memberi kerjasama serta menghormati petugas atau sukarelawan yang membantu mengurus mereka.

“Saya berjanji akan cuba membantu PJNH ini untuk menyelesaikan masalah mengebumikan jenazah warga emas yang meninggal berikutan ada masjid atau surau berdekatan yang enggan memberi kerjasama sebagaimana yang dimaklumkan oleh pihak pengurusan,” ujarnya.


Seorang warga emas yang uzur menerima sumbangan cenderamata daripada Mohd Zainudin.


Sementara itu, Pengerusi PJNH, Mohiadin Bahado, berkata pusat jagaan itu sudah wujud sejak 18 tahun lalu dengan memberi perlindungan kepada warga emas tersisih pelbagai bangsa dan agama yang dirujuk oleh hospital, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pelbagai pihak berkuasa lain. 

Menurutnya, PJNH sentiasa bersikap terbuka malah terpaksa menerima warga emas yang uzur kerana penyakit kronik seperti kencing manis, sakit jantung, strok (angin ahmar) dan sesetengah pula menghadapi masalah nyanyuk apabila tidak sanggup dijaga oleh keluarga atau saudara mara rapat.


Pegawai wanita Bahagian Dakwah JAIS menyiapkan hidangan makan tengah hari untuk diagihkan kepada warga emas.


“Disebabkan tidak mengenakan sebarang bayaran kepada warga emas terbabit, PJNH terpaksa bergantung kepada infak dan sumbangan orang ramai, korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya bagi menampung kos operasi serta mendapatkan bekalan barangan keperluan asas.

“Bagaimanapun saya berasa bangga dan terharu apabila ketua kampung, pemimpin masyarakat dan penduduk kampung berdekatan sentiasa memberi kerjasama serta menghulurkan bantuan terutama memastikan nasib warga emas terus terbela,” katanya. - KitaReporters


Mohd Zainudin menerima cenderamata sambil disaksikan oleh pengurus PJNH, Kairul Anuar Ahmad (kanan).

11
19
0
8
0

Copy Link: