Terbaiklah penduduk Taman Greenhill U10! Usahakan pusat kumpul minyak terpakai! Juga tanam Nanas MD2!
Published by
Seramai 180 Penduduk Taman Greenhill U10, di Shah Alam, Selangor mengubah suai rumah sampah menjadi pusat pengumpulan minyak masak terpakai secara pandu lalu dan memberi manfaat kepada penduduk Greenhill U10 dan kawasan sekitarnya.
Pengerusi Persatuan Taman Greenhill U10, Mohamad Zailani Johari berkata, idea tersebut tercetus bagi menyelesaikan isu vandalisme di rumah sampah tersebut di samping memberikan didikan kepada masyarakat menguruskan pembuangan sisa minyak masak terpakai dengan cara betul.
Katanya, atas kesesedaran itu, Persatuan Taman Greenhill U10 mengambil inisiatif mengeluarkan modal sendiri bagi menyediakan kemudahan tersebut yang dianggap merupakan satu keperluan pada masa kini dan juga memberi peluang kepada penduduk untuk menjana pendapatan sampingan.
"Kami mendengar rintihan persatuan penduduk terutama kaum ibu yang berdepan dengan masalah untuk membuang minyak terpakai ini.
"Sebelum ini kaedah digunakan adalah dengan membungkus sisa berkenaan sebelum dibuang ke pusat pengumpulan sampah.
"Akibat daripada pengunaan botol kaca yang diisikan minyak itu akan pecah apabila dimampatkan dalam lori sampah seterusnya membahayakan kepada kontraktor pembersihan," kata Zailani pada Program Kebuniti Pusat Kitar Semula Minyak Masak Sabtu.
Menurutnya lagi program ini dianjurkan dengan kerjasama MPP Zon 20 dan KDEB Waste Management.
Mohamad Zailani menambah konsep pandu lalu yang diperkenal ini juga bagi memudahkan pengguna membuang terus sisa tersebut melalui corong disediakan tanpa memerlukan bantuan tenaga kerja untuk melakukan pengawasan secara 24 jam.
Justeru katanya, pembinaan pusat kitar semula minyak terpakai itu diharap dapat digunakan oleh penduduk Greenhill serta sekitarnya termasuk Kampung Budiman, Puncak Alam, Meru, Ijok dan Alam Budiman.
Moga dengan penganjuran ini juga dapat mendidik masyarakat khususnya kaum ibu untuk mengumpul dan membuang minyak masak terpakai di tempat sepatutnya.
Dalam pada itu melalui projek tanaman Nanas MD2 pula yang diusahakan oleh Persatuan Penduduk Residence dijangkakan sebanyak RM15,000 setahun akan dapat dikutip berdasarkan hasil pasaran sekarang.
“Nanas MD2 berjumlah 3,500 pokok juga telah ditanam bagi membantu penambahan hasil pendapatan persatuan melalui aktiviti kemasyakatan ini,” sambung Zailani lagi. - KitaReporters