Keluarga Malaysia tabik sukarelawan hospital! Wira-wira tak didendang! Ikhlas gigih bantu pesakit!

Published by
KitaReporters



SUKARELAWAN hospital ibarat wira yang tidak didendang kerana usaha murni mereka yang tidak dibayar untuk menjalankan kerja secara sukarela bagi membantu petugas di hospital dalam menyantuni pesakit khususnya.

Mereka itu yang datang daripada pelbagai peringkat usia, gembira dan ikhlas membantu pihak hospital melayani pesakit atau membimbing orang ramai yang mungkin kali pertama hadir bagi mendapatkan rawatan dan sebagainya.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan sumbangan sukarelawan

Wakil pelbagai jabatan dan sukarelawan Hospital Kajang, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta wakil kelab merakam kenangan bersama-sama Dr Mardiah Masharuddin dan Mahat Tumin.


Pengarah Hospital Mesra Ibadah, Hospital Kajang, Selangor, Dr Abdul Ghani Abdul Jalil, berkata kebanyakan masyarakat  sering berfikir serta mengaitkan derma daripada orang kaya atau berpendapatan dalam bentuk kewangan sahaja untuk melakukan kebaikan.

Jelasnya, namun anggapan sedemikian kurang tepat kerana pelbagai kebaikan boleh dilakukan dalam banyak perkara  kerana paling penting niat melakukan tugas itu dengan ikhlas serta jujur kerana sekecil mana pun usaha berkenaan pasti besar maknanya.

“Inilah contoh terbaik ditunjukkan sukarelawan hospital yang boleh menawarkan bantuan dalam pelbagai segi kemahiran termasuklah memotong rambut dan kuku pesakit, menolak kerusi roda pesakit yang hadir untuk janji temu di klinik pakar dan sebagainya.

“Ibarat seorang wira sukarelawan berkemahiran ini sentiasa bersedia berkhidmat yang memberi banyak manfaat kepada pesakit serta masyarakat memerlukan bantuan dan kita seharusnya sedar akan kewujudan mereka membantu pihak hospital,” katanya dalam teks ucapan perasmian Sambutan Minggu Sukarelawan 2022 Peringkat Hospital Kajang, Selangor pada 7 Disember 2022 lalu. 

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Pengarah Perubatan 1, Hospital Kajang, Selangor, Dr Mardiah Masharuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sukarelawan Hospital Kajang.  

Turut hadir pada majlis itu Presiden Sahabat Hospital Selangor, Mahat Tumin; wakil pelbagai jabatan dan sukarelawan Hospital Kajang; pertubuhan bukan kerajaan (NGO); serta wakil kelab. 


Dr Mardiah melakukan gimit perasmian Sambutan Minggu Sukarelawan 2022 Peringkat Hospital Kajang, Selangor mewakili Dr Abdul Ghani Abdul Jalil.


Dr Abdul Ghani berkata, Hari Sukarelawan Antarabangsa yang disambut pada setiap 5 Disember adalah merupakan pengiktirafan pada peringkat antarabangsa yang ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak 1985.

Tambahnya, tujuan sambutan itu adalah untuk menghargai jasa dan sumbangan yang diberikan sukarelawan di samping meningkatkan kesedaran orang awam mengenai pengorbanan petugas sukarela kepada masyarakat, justeru inisiatif diambil dengan menganjurkan sambutan peringkat Hospital Kajang. 

Tegas beliau, Jabatan Kerja Sosial Perubatan Hospital dan sukarelawan tidak dapat dipisahkan kerana menerusi pegawai terbabit penilaian biopsikososial ke atas pesakit dilakukan dengan mendapat bantuan daripada sukarelawan.

“Sukarelawan ini memainkan peranan dalam membantu perkara yang bukan membabitkan bidang sains perubatan bagi memberi sokongan dalam aspek sosial, kebajikan dan emosi pesakit serta keluarga ketika menjalani rawatan atau pemulihan,” ujarnya.


Dr Mardiah (duduk dua dari kiri) dan Mahat (kanan) beramah mesra dengan sukarelawan yang bertanya khabar selepas majlis perasmian Sambutan Minggu Sukarelawan 2022 Peringkat Hospital Kajang, Selangor, pada 7 Disember 2022.


Sementara itu beberapa sukarelawan Hospital Kajang yang ditemui melahirkan rasa bertuah dan seronok dapat melakukan tugas sukarela di hospital berkenaan sejak beberapa tahun lalu tanpa berasa jemu atau pun bosan.

Azuan Hassan, 38, berkata dia menjadi sukarelawan lebih sembilan tahun lalu sebagai salah satu kegiatan yang bermanfaat pada masa terluang membantu meringankan bebanan pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital.

Jelasnya, daripada tugas yang dilakukan itu dia dapat mempelajari erti kesabaran melayan karenah mereka yang datang ke hospital bagi mendapatkan rawatan atau menguruskan saudara mara termasuk ahli keluarga berurusan di klinik pakar.


Sukarelawan Hospital Kajang, Selangor, Wan Faridah (dua dari kanan), Azuan (empat dari kanan) dan Arbakyah (tengah) bersama-sama rakan gembira dapat berkhidmat secara sukarela di hospital itu.


Bagi Wan Rafidah Osman, 72, berkata sebagai sukarelawan setiap mereka seharusnya bersikap ringan tulang membantu sesiapa sahaja yang mungkin kali pertama berada di hospital dan tidak mengetahui peraturan untuk berurusan bagi mendapatkan rawatan. 

Menurutnya yang sudah 13 tahun menjadi sukarelawan, dalam situasi sebegitu dia akan memberikan tunjuk ajar dan membawa ke jabatan terbabit untuk berurusan yang sudah pasti akan menyenangkan hati mereka kerana mendapat tunjuk ajar tanpa bersusah payah tercari-cari.

Rakan beliau, Arbakyah Asmony, 78, pula berkata dia ikhlas melakukan apa sahaja tugas membantu mereka yang hadir ke hospital bagi mendapatkan rawatan dan sebagainya termasuk pengurusan jenazah supaya dapat disegerakan.

“Kita tetap akur kepada peraturan pihak hospital dan melakukan tugas membantu mengikut prosuder ditetapkan untuk memastikan tugas sukarelawan yang dilaksanakan ini banyak memberi manfaat kepada mereka yang hadir ke hospital,” katanya yang sudah lebih 40 tahun sebagai sukarelawan. - KitaReporters


Mahat menyampaikan ceramah bertajuk 'Every Volunteer Is A Hero' selepas majlis perasmian Sambutan Minggu Sukarelawan 2022 Peringkat Hospital Kajang, Selangor. 

27
13
2
10
0

Copy Link: