Think City, sebuah organisasi berimpak tinggi untuk membentuk bandar-bandar lebih mesra rakyat, berdaya tahan,berdaya huni, bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah melancarkan, pada 2 Jun 2023, Program Geran KL Kreatif dan Cabaran Urban KL Kreatif. 

Ia merupakan sebahagian aktiviti dalam Memorandum Persefahaman (MoU) antara Think City dan DBKL yang berfokuskan kepada usaha peremajaan Pusat Bandar Kuala Lumpur (KL). 

Inisiatif ini adalah antara tumpuan utama gagasan Malaysia Madani dalam Belanjawan 2023, seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Penekanan ini menunjukkan komitmen Kerajaan untuk membentuk sebuah bandar yang berdaya huni, berdaya tahan dan mampan selain mengutamakan kesejahteraan dan kualiti hidup untuk seluruh rakyat Malaysia. 



Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh berkata, “Saya teruja dengan pelancaran Program Geran Kreatif KL dan Cabaran Urban Kreatif KL. 

"Inisiatif-inisiatif ini membuka peluang kepada pelbagai lapisan masyarat dalam memainkan peranan penting untuk meremajakan Pusat Bandar KL sebagai daerah kreatif dan kebudayaan. 

"Usaha ini adalah sebahagian daripada MoU ketiga yang ditandatangani baru-baru ini oleh DBKL dan Think City bagi mengukuhkan kerjasama dalam usaha tranformasi Pusat Bandar KL sebagai sebuah destinasi kreatif, meningkatkan daya huni, menambah baik persekitaran awam, meningkatkan aktiviti di ruang-ruang berkenaan dan banyak lagi.” 

Hamdan Abdul Majeed, Pengarah Urusan Think City berkata, "Think City menyedari akan potensi ekonomi kreatif dalam membentuk bandar yang dinamik dengan memanfaatkan kekayaan aset budaya dan warisan Pusat Bandar KL. 

"Sebagai sebuah organisasi berimpak tinggi yang berkomited untuk membentuk bandar-bandar yang berdaya huni, kami percaya bahawa ekosistem serta aktiviti kreatif dan budaya yang rancak adalah amat penting. 

“Peruntukan sejumlah RM15 juta yang diperuntuk dalam Belanjawan 2023 akan terus memangkinkan usaha pemulihan dan peremajaan Pusat Bandar KL serta kawasan penting berhampirannya selain membantu menangani beberapa isu yang berkaitan untuk menjadikan pusat bandar lebih lestari dan berdaya huni." 

"Dianggarkan bahawa inisiatif di bawah peruntukan Belanjawan 2023 ini mampu mewujudkan lebih 1,300 peluang pekerjaan dan menjana 200 aktiviti yang akan memeriahkan lagi pusat bandar. 

"Selain itu, pelbagai program juga dilaksanakan dengan matlamat mempertingkat kehidupan komuniti setempat dan memperkenal kaedah penyelesaian inovatif yang berupaya mempertingkatkan daya huni secara keseluruhan,” tambahnya lagi. 



Skim-skim KL Kreatif ini dibangunkan untuk menarik lebih ramai pelawat ke Pusat Bandar KL dan mewujudkan persekitaran berkembang maju yang berunsurkan kebudayaan, perniagaan kreatif, syarikat pemula, inovasi, penyelidikan dan banyak lagi. 

Ia akan menawarkan sokongan kewangan, sumber dan peluang kepada individu dan organisasi yang terlibat dalam sektor kreatif dan budaya, serta industri-industri lain yang akan menyumbang kepada pertumbuhan Pusat Bandar KL sebagai sebuah destinasi dinamik yang meraikan seni, reka bentuk, muzik serta ekspresi kreatif yang lain. 

Usaha ini selaras dengan Pelan Induk Strategik Daerah Kreatif dan Kebudayaan Kuala Lumpur (KLCCD) yang dibangunkan pada tahun 2019 oleh Think City dan DBKL, dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Jabatan Warisan Negara (JWN) dan Yayasan Hasanah. 

Matlamatnya adalah untuk memulihara dan memaknakan daerah Kuala Lumpur yang bersejarah ke arah pembentukan sebuah hab yang inklusif, kreatif, dinamik dan berkembang pesat buat perniagaan dan penduduk setempat demi meningkatkan daya huni dan tarikan pengunjungnya. 

Usaha-usaha ini didorong oleh pelbagai cabaran yang dihadapi komuniti yang menduduki kawasan bersejarah Pusat Bandar KL. 

Sejak beberapa tahun ini, ramai memilih untuk tinggal di kawasan pinggir bandar walaupun terpaksa berulang-alik ke bandar untuk bekerja, manakala banyak perniagaan dan aktiviti telah beralih keluar dari pusat bandar. 

Ia memberikan impak yang signifikan terhadap aktiviti perniagaan dan pembentukan komuniti secara keseluruhan. 



Program Geran KL Kreatif: 

Sekarang dibuka untuk permohonan, Program Geran KL Kreatif bertujuan memelihara dan menonjolkan kekayaan warisan budaya Pusat Bandar KL selain memulihkan aset warisan budaya yang kurang digunakan, memperkasa komuniti setempat menerusi inisiatif pembangunan kapasiti dan program komuniti, merangsang nod kebudayaan dan kreatif di bandar, serta menggalakkan perkongsian pengetahuan dan kolaborasi antara pelbagai pihak berkepentingan. 

Cabaran Urban KL Kreatif: 

Cabaran Urban KL Kreatif bakal dibuka untuk permohonan pada 19 Jun 2023. 

Program ini (dilaksanakan dengan Proficeo dan OpenAcademy) bertujuan menjadi penghubung kepada para penduduk, graduan universiti, penggiat kreatif, golongan profesional, pereka bentuk, inovator, perancang bandar di samping pemaju dan juruprogram untuk bekerjasama dan mencorak penyelesaian bandar berinovatif yang mampu menambahbaik Pusat Bandar KL dan kehidupan penduduk yang bermastautin dalamnya. 

Program ini juga bertujuan untuk menampilkan solusi bandar yang terbaik dan memposisikan Pusat Bandar KL sebagai pentas serantau bagi usaha peremajaan bandar berasaskan kebudayaan dan memacu pertumbuhan ekonomi budaya dan kreatif untuk bandar-bandar lain di negara dan rantau ini. 

“Menerusi pelaksanaan pelbagai program-program seperti ini, Think City terus komited untuk melestarikan pelbagai aset budaya yang menghiasi Pusat Bandar KL. 

"Dengan sokongan Kementerian Kewangan (MoF), DBKL dan rakan-rakan kongsi, kami menyasarkan matlamat untuk memperkukuh citra ruang dan identiti bandar raya ini, menggalakkan penglibatan komuniti dan penyertaan aktif oleh penduduk, sekali gus mencorakkan masa depan Pusat Bandar KL yang lebih dinamik dan berdaya tahan,” jelas Hamdan. - KitaReporters/Kenyataan Media


6
12
0
14
0

Copy Link: