Nak beli pakej umrah? Pastikan anda ikuti panduan elak ditipu! Sentiasa berwaspada dan buat semakan!
Published byMenunaikan umrah adalah impian setiap umat Islam, namun malangnya, terdapat kes penipuan pakej umrah yang menyebabkan ramai jemaah kehilangan wang dan peluang menunaikan ibadah tersebut.
Bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan pakej umrah disarankan pilihlah agensi pengendali umrah yang mempunyai lesen sah dari Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dengan merujuk sesawang mereka.
Wartawan KitaReporters mengadakan wawancara bersama pengendali umrah yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam pakej umrah dan haji iaitu Pengasas As Safa Travel & Tours yang juga Pengarah Eksekutifnya, Ustaz Md Roslan Mohammad Jaafar.
Ustaz Md Roslan Mohammad.
Dalam temu bual itu Ustaz Md Roslan berkata, bakal Jemaah perlu lakukan semakan dengan MOTAC untuk memastikan agensi tersebut diiktiraf dan berdaftar sebagai pengendali umrah termasuk mengakses sama ada agensi yang dipilih itu mempunyai rekod yang baik.
Bagi memastikan perjalanan umrah tidak tergendala jangan terlalu percayakan dengan tawaran harga murah, sebaliknya hati-hati dengan harga yang ditawarkan munasabah dengan kos umrah yang melibatkan tiket penerbangan, penginapan, pengangkutan, dan perkhidmatan lain, jadi harga yang terlalu murah mungkin petanda penipuan.
Manakala ketika berurusan dengan pengendali umrah atau ejen jualan pastikan anda menandatangani perjanjian yang lengkap dan terperinci mengenai semua aspek pakej, termasuk jadual perjalanan, penginapan, dan kos tambahan.
"Elakkan membuat pembayaran jika dokumen tidak lengkap atau mencurigakan termasuk gunakan kaedah pembayaran yang selamat, seperti pindahan bank ke akaun rasmi agensi, dan pastikan anda menerima resit sebagai bukti pembayaran dan elakkan pembayaran ke akaun peribadi individu yang mewakili agensi," sambung beliau lagi.
Dengan teknologi yang ada masa kini, anda juga dinasihatkan melakukan penyelidikan terhadap reputasi agensi tersebut termasuk membuat semakan ulasan pelanggan dalam media sosial, laman web rasmi, atau forum perbincangan untuk mengetahui pengalaman orang lain dengan agensi berkenaan.
Beliau menambah bakal Jemaah juga perlu memastikan visa umrah yang dikeluarkan oleh kerajaan Arab Saudi mempunyai semua butiran lengkap seperti pasport dan lain-lain.
Hati-hati dengan individu yang mendakwa sebagai ejen umrah tetapi tidak mempunyai pejabat atau dokumen sah kerana takut mereka mengambil kesempatan terhadap keinginan anda untuk menunaikan umrah.
Laporkan segala penipuan dengan segera kepada pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta MPTAC agar mendapat pelindungan dan pembelaan anda nanti.
Moga tip yang dikongsi ini dapat membantu bakal jemaah umrah dan haji dapat melakukan perjalanan ibadah dengan lancar dan selamat. - KitaReporters
Perjalanan umrah akan berjalan lancar sekiranya memilih syarikat yang berdaftar.