Lulusan pertama PISMP terbaik IPG KPM! Patri etos guru cemerlang! Gigih laksana PdP dan PdPR
Published byLEBIH 10 tahun lalu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi Institut Pendidikan Guru (IPG) berjaya mengeluarkan lulusan pertama Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP) yang mendapat pengiktirafan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan membawa perubahan besar dalam bidang perguruan.
Lulusan kumpulan pertama PISMP itu dianggap produk terbaik, mantap serta berwibawa dikeluarkan oleh KPM kerana berjaya membentuk etos guru yang tinggi dengan menyerapkan kepelbagaian kemahiran pengajaran dan pembelajaran (PdP) selepas lima tahun setengah berada di IPG.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan IPG:
https://kitareporters.com/search?search=IPG
Suasana sayu mengiringi Cikgu Mohd Shafizan yang terpaksa berpisah dengan muridnya dan ibu bapa yang menghantar beliau ke pangkalan bot untuk pulang ke Semenanjung selepas enam tahun mengajar di SK Sungai Amang, Kapit, Sarawak.
Beberapa guru daripada kumpulan pertama PISMP yang dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp baru-baru ini, melahirkan rasa terharu selepas sedekad mereka bertebaran seluruh tanah air dari Perlis sampai ke Sabah dan Sarawak mendidik anak bangsa demi amanah yang dipertanggungjawabkan selepas tamat pengajian 2010.
Guru Subjek Sains Sekolah (SK) Bukit Rokan (LKTP), Gemencheh, Negeri Sembilan, Cikgu Mohd Shafizan Omar, berkata PISMP melahirkan guru berkualiti kerana kurikulumnya mengikut acuan mereka yang bukan sekadar ‘menyemai’ malah ‘mematri’ terus semangat serta citra seorang guru kepada lulusan.
Menurutnya, beliau dan rakan-rakan IPG Kampus Darul Aman (KDA), Jitra, Kedah bersikap terbuka apabila menerima arahan untuk bertugas di Sarawak walaupun mengetahui pelbagai dugaan serta cabaran yang akan ditempuhi di negeri berkenaan kerana banyak sekolah masih kekurangan kemudahan asas selain terletak di pedalaman.
Katanya, selama enam tahun mengajar di SK Sungai
Amang, Kapit, keadaan adalah sebaliknya apabila masyarakat di daerah berkenaan termasuk
murid amat menghormati dia dan rakan-rakan sebagai seorang guru walaupun
berlainan agama.
“Disebabkan itu kami guru-guru PISMP berasa bertuah apabila dapat mempelajari budaya dan adat masyarakat di situ yang rata-rata berbangsa Iban dan beragama Kristian, manakala murid-murid menganggap guru sebagai ‘bapa’ mereka,” jelas Cikgu Mohd Shafizan yang boleh bercakap bahasa Iban.
Cikgu Mohd Shafizan bersama Pasukan Bicara Berirama Alam Sekitar Peringkat Kebangsaan di Selangor pada tahun 2016.
Cikgu Mohamad Tarmizi berkongsi ilmu PdP dengan rakan guru di sekolahnya.
Guru Subjek Bahasa Inggeris, SK Ulu Muanad, Beluran, Sabah, Cikgu Mohamad Tarmizi Mohamad, pula berkata selepas menamatkan PISMP di IPG KDA, dia ditukarkan terlebih dahulu untuk mengajar di SK Jaya Bakti, Beluran (SKJBB) pada Februari 2011.
Menurut beliau, semangat yang berkobar-kobar ketika itu untuk melaksanakan tugas seorang guru menjadi pendorong utama walaupun terpaksa berpisah jauh daripada ibu bapa dan sebaliknya berasa terharu apabila masyarakat di Beluran menyambut baik kedatangan guru dari Semenanjung.
Cikgu Mohamad Tarmizi (tengah) bersama rakan guru dan murid yang menyertai kegiatan kokurikulum.
Katanya, dia dan rakan-rakan yang lain berasa seronok sepanjang mengajar di pedalaman Sabah terutama apabila murid dan masyarakat begitu peramah serta amat menghargai sumbangan dan tugas guru mengajar anak mereka.
“Walaupun
menghadapi pelbagai kesulitan termasuk kemudahan Internet bukanlah penghalang
dalam proses PdP sebaliknya kami mempraktikkan sebaik mungkin ilmu yang diajar
sepanjang PISMP itu,” kata Cikgu Mohamad Tarmizi yang mengajar subjek Bahasa
Inggeris, Sains dan Pendidikan Jasmani untuk kelas Tahun Dua hingga Tahun Enam.
Cikgu Abdullah menggunakan loghat Kedah untuk menarik perhatian murid dalam melaksanakan PdP yang turut diterima baik ibu bapa di SK Melati, Tawau dan SK Kampung Pokas, Semporna, Sabah.
Bagi Cikgu Abdullah Abu Bakar yang mengajar SK Melati, Tawau, Sabah, berkata masalah kekurangan pelbagai kemudahan asas seperti bekalan air dan elekterik di pedalaman negeri itu sedikit pun tidak menjadi penghalang untuk dia melaksanakan amanah sebagai seorang guru apatah lagi apabila sudah disemaikan kekuatan fizikal dan mental dalam PISMP.
Menurutnya, dia berasa bertuah apabila rakan-rakan guru di negeri itu banyak memberi sokongan serta membantu terutama membimbing dan mengajar cara untuk memahami kebudayaan masyarakat di tempat beliau mengajar yang berada dalam ladang kelapa sawit.
Cikgu Abdullah (berdiri empat dari kanan) bersama rakan guru dan murid SK Melati yang menyertai salah satu pertandingan dalam kegiatan kokurikulum.
“Saya mengajar Subjek Pendidikan Islam termasuk untuk prasekolah dan Bahasa Arab dari Tahun Satu hingga Enam dan berasal dari utara tanah air selalu menggunakan kelebihan loghat utara untuk menarik tumpuan murid dalam proses PdP yang ternyata terima baik termasuk dalam kalangan ibu bapa,” katanya yang terlebih dahulu mengajar di SK Kampung Pokas, Semporna selepas menamatkan PISMP di IPG KDA.
Sementara itu, guru SK Tunku Raudzah, Alor Setar, Kedah, Cikgu Syed Yusri Syed Isa, menyifatkan kumpulan pertama PISMP di IPG KDA adalah produk terbaik yang dikeluarkan KPM kerana di mana sahaja guru-guru berkenaan berjaya membuktikan prestasi cemerlang dalam PdP dan sekarang ini, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kesan daripada merebaknya pandemik Covid-19.
Cikgu Syed Yusri gigih melatih anak muridnya dalam kegiatan kokurikulum walaupun mengajar jauh di pedalaman Sarawak.
Menurut beliau, dia dan rakan-rakan hanya berlapang dada apabila di tempatkan di SK Kuala Tutoh, Baram, Sarawak selepas menamatkan pengajian di IPG KDA 10 tahun lalu, dengan hati yang terbuka berserta semangat jadi diri didorong sikap dedikasi mereka akur arahan itu demi mendidik anak bangsa.
“Walaupun sudah berpindah mengajar di Semenanjung beberapa tahun lalu saya masih terbayang kemesraan dan keramahan masyarakat di Baram terutama murid-murid yang begitu menghormati guru dan begitu tekun menimba ilmu,” katanya yang mengajar Subjek Sains dan English dari Tahun Satu hingga Enam.
Walaupun sudah pulang mengajar di Semenanjung, Cikgu Syed Yusri masih terbayang kenangan indah dan kemesraan serta keramahan rakan guru, ibu bapa dan murid di SK Kuala Tutoh, Baram, Sarawak.