Kegembiraan berakhir tragedi! Warga emas lemas ketika kutip hasil tangkapan ikan yang banyak!
Published byKredit Foto : Ihsan Pembaca
KEGEMBIRAAN seorang warga emas memperolehi hasil tangkapan ikan yang banyak berakhir dengan tragedi apabila dia mati lemas selepas dipercayai tergelincir daripada bot ketika mangsa sedang mengutip ikan pada pukatnya di laut pada kira-kira pukul 10 pagi, Sabtu, 27 Februari 2021.
Ketika kejadian itu, mangsa, Mohd Mahmud, 72, seorang diri bersama sebuah bot gentian kaca mengutip ikan pada pukatnya yang dipasang di laut Teluk Ketapang, Kuala Nerus, Terengganu.
Namun secara tiba-tiba arwah yang tinggal di Kampung Seberang Takir, Kuala Nerus itu dipercayai tergelincir daripada botnya sebelum mangsa terjatuh ke dalam laut.
Lagi kisah-kisah duka berkaitan mati lemas:
https://kitareporters.com/search?search=mati+lemas
MAYAT Mohd Mahmud dibawa oleh anggota polis untuk dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu pada 27 Februari 2021. - Kredit foto: Ihsan Pembaca
Menurut adiknya, Harun, 63, semasa kejadian itu berlaku dia juga sedang menangkap ikan yang berada tidak jauh dari lokasi abangnya.
Beliau berkata, sebaik sahaja melihat Mohd terjatuh ke dalam laut dan tanpa membuang masa dia bersama botnya terus ke tempat kejadian tersebut.
``Saya sempat menyelamatkan abang saya yang lemas itu dengan kedua-dua tangannya terkapai-kapai di permukaan air berhampiran botnya.
``Ketika itu keadaan tubuhnya sudah lemah dan saya bawa dia ke tepi pantai, tetapi arwah sudah meninggal dunia sebaik sahaja bot tiba di tepi pantai Teluk Ketapang,’’ katanya.
MAYAT Mohd diletakkan di tepi pantai Teluk Ketapang, Kuala Nerus. - Kredit foto: FB Seberang Takir Comey
Harun berkata sebelum itu, abangnya dengan gembira ada memberitahunya bahawa tangkapan ikan pagi tadi banyak sedikit berbanding beberapa hari lalu dan di dalam botnya didapati ada ikan yang banyak.
Mayat Mohd yang juga seorang pesara kerajaan itu dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu untuk dibedah siasat. - KitaReporters