Wanita hebat! OKU inspirasi! 13 kisah Impian Tanpa Sempadan
Published by‘BUKAN salah ibu mengandung’ atau seperti lirik lagu nyanyian Datuk Freddie Fernandez, "tidak ku minta lahir ke dunia, tidak ku duga cacat begini…" bukanlah kehendak golongan yang digelar orang kurang upaya (OKU), tetapi hakikatnya itulah yang menimpa diri mereka. : KitaReporters
Ras Adiba Mohd Radhi. - Kredit foto: IG @rasadibaradzi
Namun setiap ujian yang dilalui ada hikmah disebaliknya, sebagaimana kehidupan personaliti TV, Ras Adiba Mohd Radzi dan wanita lain yang senasib dengannya.
Ras Adiba yang dahulunya berjaya dalam bidang kewartawanan dan kini aktif dalam sukan menembak serta pertubuhan sukarelawan untuk OKU mampu menjadi inspirasi kepada golongan OKU lainnya apabila perkongsian kehidupannya bakal disaksikan melalui program majalah biografi bersiri ‘Impian Tanpa Sempadan’ mulai 24 September 2020 ini menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM), setiap Khamis, pukul 10 malam di TV1.
Melalui siaran itu, penonton dapat melihat bagaimana Ras Adiba, 51, yang dilahirkan dan membesar sebagai manusia normal lumpuh separuh badan setelah melalui tiga insiden malang dalam hidupnya.
Namun beliau kembali bangkit meneruskan kehidupan setelah 6 tahun menyepikan diri dengan menceburi sukan menembak serta bergiat aktif dalam pertubuhan sukarelawan untuk OKU malah kini bergelar Senator mewakili golongan OKU di Dewan Negara bagi tempoh 3 tahun berkuat kuasa 11 Mei 2020 lalu.
Kisah Ras Adiba bakal disaksikan pada episod ke-8 daripada 13 episod keseluruhannya yang bakal memaparkan mengenai kejayaan 12 orang wanita OKU lain dalam bidang masing-masing untuk dijadikan inspirasi mereka yang mengalami keadaan seumpama.
‘Impian Tanpa Sempadan’ berkongsi tentang kisah hidup dilalui mereka yang dimulakan dengan paparan latar belakang keluarga, pendidikan, perkongsian masalah sebagai seorang OKU, kisah duka dan jalan penyelesaian bagi setiap dugaan serta permasalahan yang mereka depani sehingga berjaya.
Mereka yang dimaksudkan terdiri daripada golongan atlet sukan wanita OKU seperti Norisah Bahrom, Syarifah Raudzah Syed Akil, Siti Nuraisyah Syahrin dan Nur Azlia Syafinaz, manakala OKU dalam bidang lain adalah Pua Gin Chu (sukarelawan); Aliah Talib (pelukis); Nur Samawati Mahmud (usahawan); Nor Adzleen Abdul Karim (cef); Eamienor Zakiah Md Zuki (guru dan penulis buku isyarat); Dr. Aizan Sofia Amin (pensyarah kanan); Norimah Ahmad (pengusaha pusat refleksologi) dan Prof. Dr. Ruzita Mohd Amin (pensyarah).
Episod 1: Norisah Bahrom, atlet sukan tenis
Seorang atlet wanita kurang upaya yang telah mengharumkan nama negara dalam sukan tenis pada peringkat antarabangsa.
Beliau yang menghidap penyakit Spinal Bifida, pernah berputus asa, namun bangkit melanjutkan pelajaran di Pusat Pengajian Orang Cacat, bekerja dan minatnya yang mendalam terhadap sukan tenis berjaya memperoleh gangsa dalam Sukan Asia Beijing (2008).
Episod 2 : Syarifah Raudzah Syed Akil, atlet sukan angkat berat
Beliau mengharumkan nama negara dalam sukan angkat berat (Power Lifting) pada peringkat antarabangsa sejak 2003.
Syarifah Raudzah berkongsi kisah bagaimana beliau yang lumpuh separuh badan akibat demam panas sejak kecil mengharung kehidupan persekolahan dengan kekurangan sumber kewangan.
Seterusnya beliau bangkit untuk meneruskan kehidupan, melanjutkan pelajaran dan minat yang mendalam dalam sukan angkat berat berjaya menempatkan diri ke tempat ke-8 dalam acara angkat berat Sukan Olimpik London pada tahun 2012.
Episod 3 : Pua Gin Chu, sukarelawan
Banyak melibatkan diri dalam usaha sukeralawan membantu masyarakat OKU melalui Yayasan Beautiful Gates kelolaan beliau dan merupakan salah seorang Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya bagi ADUN Bandar Utama.
Pua Gin Chu berkongsi kisah bagaimana beliau yang lumpuh separuh badan akibat darah beku pada saraf tunjang hampir membunuh diri. Tetapi, beliau bangkit untuk meneruskan kehidupan, melanjutkan pelajaran dan kembali menabur khidmat kepada masyarakat OKU yang lain.
Episod 4 : Aliah Talib, pelukis
Berkongsi inspirasi kejayaan hasil lukisan beliau yang banyak dipamerkan pada peringkat antarabangsa. Aliah, yang dilahirkan tanpa kedua-dua belah tangan membuat beliau malu dan rendah diri sehingga tidak mahu bersekolah. Namun, beliau bangkit meneruskan kehidupan dan seterusnya menjadi seorang pelukis berjaya.
Episod 5 : Nur Samawati Mahmud, usahawan
Kejayaan beliau dalam perniagaan dalam talian meskipun dilahirkan dengan penyakit Serebrum Palsi (Cerebral Palsy) membuatkan Nur Samawati merasa malu dan sukar untuk meneruskan kehidupan sebagai manusia normal.
Tetapi demi kelangsungan kehidupan, beliau membantu mempromosikan produk kicap dan sos yang diusahakan oleh kedua ibu bapanya melalui laman sosial dan ternyata tugasannya di sebalik media sosial itu berjaya dimanfaat sepenuhnya.
Episod 6 : Siti Nuraisyah Syahrin, atlet sukan angkat berat
Mula berjinak secara serius dalam bidang sukan angkat berat, Siti Nuraisyah berkongsi kisah bagaimana beliau yang kehilangan kedua-dua belah kaki akibat kemalangan ngeri membuatkannya trauma dan sukar meneruskan kehidupan.
Seterusnya, beliau berkongsi pengalaman bagaimana melibatkan diri secara aktif dalam sukan angkat berat sehingga berjaya meraih pingat emas pertama peribadi beliau di acara Sukan SUKMA 2018.
Episod 7 : Nor Adzleen Abdul Karim, cef
Individu yang menyumbang aspirasi kejayaan dalam bidang perniagaan pastri dan bakeri ini dilahirkan normal tetapi cacat pendengaran akibat demam panas waktu kecil.
Pada episod ini, penonton dapat berkongsi pengalaman bagaimana beliau kembali bangkit meneruskan persekolahan dengan mendapatkan pendidikan khas dan seterusnya dalam bidang pengajian perhotelan.
Tetapi minatnya dalam bidang masakan pastri dan bakeri membuatkan beliau beralih menjadi pengusaha kedai bakeri yang berjaya.
Selepas menyaksikan perkongsian cerita Ras Adiba Radzi pada episod ke 8, episod 9 diteruskan dengan kisah Eamienor Zakiah Md Zuki, guru dan penulis buku isyarat.
Episod 9: Eamienor Zakiah Md Zuki, guru dan penulis buku isyarat
Wanita ini aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan khasnya untuk golongan bisu dan pekak. Eamienor Zakiah berkongsi kisah bagaimana beliau merupakan seorang yang dilahirkan bisu dan pekak mengharungi kehidupan yang sukar.
Namun, beliau kembali bangkit meneruskan kehidupan dan berjaya menamatkan pelajaran di politeknik dalam jurusan Sijil Khas Kemahiran Kejuruteraan Awam sehingga menjadi guru khas dan kini memegang jawatan sebagai Setiausaha Kehormat kepada Persekutuan Orang Pekak Malaysia (Malaysian Federation of the Deaf). Beliau turut aktif dalam menulis buku-buku bahasa isyarat khasnya untuk golongan yang normal.
Episod 10 : Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais, atlet lumba basikal paralimpik
Beliau mengharumkan nama negara dalam acara lumba basikal sukan paralimpik pada peringkat antarabangsa.
Nur Azila berkongsi pengalaman bagaimana beliau kembali bangkit meneruskan kehidupan dengan menerima pendidikan khas dan seterus aktif dalam acara lumba basikal sehingga meraih 4 buah pingat emas dan sebuah pingat perak dalam acara Sukan Para ASEAN pada tahun 2017.
Pencapaian tertinggi beliau adalah di Sukan Para ASEAN pada tahun 2018 dengan menyumbangkan sebanyak 3 buah pingat emas dan sebuah pingat gangsa.
Nur Azila. - Kredit foto: The Star.Episod 11 : Dr. Aizan Sofia Amin, pensyarah kanan
Seorang pensyarah kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusian, UKM, Dr. Aizan bergiat aktif dalam memperkasakan golongan OKU di Malaysia.
Beliau berkongsi kisah bagaimana dilahirkan normal tetapi kehilangan sebelah kaki pada usia 16 tahun akibat kanser tulang, namun bangkit meneruskan kehidupan sehingga berjaya menamatkan pelajaran dalam pengajian peringkat kedoktoran falsafah di Universiti of Glasgow, United Kingdom. Seterusnya Dr. Aizan memulakan kerjaya sebagai pensyarah sehingga kini dan turut bergiat aktif dalam memperkasakan golongan OKU.
Episod 12 : Norimah Ahmad, pengusaha pusat refleksologi
Seorang pengusaha pusat refleksologi yang berjaya, Norimah berkongsi kisah bagaimana beliau merupakan seorang yang dilahirkan dengan masalah penglihatan sehingga membuatkannya sukar untuk meneruskan kehidupan seperti manusia normal.
Beliau berjaya menamatkan pengajian dalam bidang refleksologi walau pun terpaksa melepaskan Sijil Pelajaran Malaysia yang diduduki sebanyak 5 kali demi mendalami bidang itu. Dan, atas usaha gigihnya itu, Norimah berjaya membuka pusat refleksologi serta menerima beberapa anugerah khas.
Episod 13 : Prof. Dr. Ruzita Mohd Amin, pensyarah
Selama 30 tahun sebagai seorang pensyarah di Jabatan Ekonomi, UIAM berkongsi kisah bagaimana beliau merupakan seorang yang dilahirkan normal menjadi lumpuh kedua belah kaki akibat serangan demam panas dan juga perkongsian kisah keperitan hidup beliau dalam keluarga setelah kematian bapa.
Pun begitu, beliau bangkit dan berjaya menamatkan pelajaran dalam pengajian peringkat kedoktoran falsafah di Rensselaer Polytechnic Institute, New York, Amerika Syarikat. Seterusnya, beliau memulakan kerjaya sebagai pembantu profesor di UIAM dan kini bergelar profesor.
Wow! Hebat dan menarik kisah kesemua personaliti OKU ni kan? Memang bagus ditonton dan dijadikan inspirasi kepada mereka yang berhadapan masalah sama.
Apa pun, bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, boleh menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my) malah rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. - KitaReporters
Dr. Ruzita Mohd Amin. - Kredit foto: MRT Corp.