DARIPADA seorang ibu tunggal yang bergelut dengan kehidupan sehingga menjadi penstrim langsung (live) popular era moden, wanita penuh inspirasi dari Malaysia ini menggalas tanggungjawab sebagai ayah dan ibu kepada keluarganya, malahan turut melakukan pelbagai pekerjaan dalam sehari, semuanya demi memberi kehidupan yang lebih baik buat keluarga.

Sejak kebelakangan ini, semakin ramai wanita menceburi pelbagai bidang yang mereka minati dan kisah hebat mereka mencuri perhatian orang ramai. 

Bersempena dengan Hari Wanita Antarabangsa pada 8 Mac 2022 ini, seorang penstrim langsung wanita yang menggunakan gelaran “Madder Winnn” (Bigo ID: Ladyzvogue1808) telah ditemu bual oleh Bigo Live. 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan penstriman


Menurut satu kenyataan media, Madder Winnn, yang juga merupakan seorang ibu tunggal ini mempunyai cerita tersendiri yang penuh inspirasi dan pastinya diterima baik oleh penonton.

Selain menjadi seorang personaliti berjaya, Madder Winnn yang cukup bergaya ini juga merupakan penstrim langsung bangsa Melayu yang aktif dan fasih berbahasa Mandarin. Ramai yang menyangkakan tuah menyebelahinya, tetapi sebenarnya beliau bekerja keras mengharungi pelbagai cabaran untuk sampai ke tahap ini.

Tujuh kali kau jatuh, kali kelapan kau harus bangun.” Inilah falsafah yang dipegang oleh Winnn untuk terus bangkit pada kala menghadapi kegagalan.




Winnn yang bekerja sebagai pakar kecantikan ini juga merupakan ibu kepada seorang anak perempuan. Sebagai seorang yang berperwatakan ceria, tidak ramai yang tahu kesusahan yang pernah dialami Winnn. 

“Saya pernah mengharungi hari tanpa duit dan kereta juga pernah ditunda,” kongsinya. Walaupun kehidupannya penuh ranjau dan onak duri, beliau tetap teguh dan terus berjuang demi keluarga yang amat dicintainya.

Sejak berpisah dengan bekas suami, beliau melakukan segala yang termampu untuk menyara keluarga. Turut pernah menjaja di pasar malam Uptown Sarawak, beliau terus bekerja sehingga ke pagi tanpa mengira cuaca. 

Cukup tabah orangnya! Kepayahan yang dialami membentuknya menjadi seorang wanita yang kuat. Malahan, beliau turut belajar untuk bercakap dalam bahasa Mandarin. 

“Saya pandai bercakap Bahasa Mandarin,” ujar Winnn dengan lancar dalam bahasa itu. Kebolehannya itu menarik ramai pelanggan Cina kerana komunikasi tanpa halangan.



Sewaktu pandemik melanda, banyak perniagaan yang terjejas termasuklah situasi yang dialami Winnn. Oleh kerana mata pencariannya yang terganggu, Winnn mencari peluang lain dengan beralih ke Bigo Live. Beliau mula mempelajari selok belok menggunakan aplikasi ini dan akhirnya berjaya.

Pendekatan Winnn yang mesra dan kelakar menarik ramai peminat, manakala kebolehannya untuk bercakap dalam bahasa Mandarin pula menarik perhatian masyarakat Cina. Penonton strim beliau mula menghantar banyak hadiah. 

Pada mulanya, ibu Winnn tidak bersetuju dengan penglibatan beliau dalam platform tersebut, namun apabila beliau mula menjadi popular dan menempa kejayaan demi kejayaan, ibunya mula menyokong sepenuh hati.



Beliau kemudiannya mula membuka agensi penyiaran sendiri dengan mempelawa ibu-ibu tunggal untuk menyertai agensinya, dan mengajar mereka pelbagai kemahiran seperti solekan dan nyanyian

Menerusi kemahiran yang dipelajari, mereka akan dapat berdikari dan ia turut diharap dapat membantu mereka dari segi kewangan.

“Sesusah-susah mana pun kita, kita kena teruskan hidup kita,” katanya dalam kenyataan media itu. Kisah perjuangan hidup Winnn ini ternyata menjadi teladan, dan lihatlah bagaimana beliau terus berdiri teguh ke hari ini. 

Sejak temu bualnya menjadi tular dalam Facebook, ia telah mencapai lebih 300 ribu tontonan dalam masa empat hari. - KitaReporters


16
8
0
9
0

Copy Link: