Syukur! Bomba musnahkan sarang tebuan pembunuh kanak-kanak!
Published bySARANG tebuan yang menyebabkan seorang kanak-kanak perempuan meninggal dunia selepas disengat serangga berkenaan akhirnya dimusnahkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Paka, Terengganu. Anggota bomba terpaksa melakukan kerja-kerja memusnahkan sarang tersebut pada waktu malam bagi mengelak tebuan yang masih aktif menganggu orang ramai terutama kawasan rumah kediaman keluarga mangsa. : KitaReporters
Anggota Bomba dari Paka, Terengganu siap sedia untuk melakukan kerja memusnahkan sarang tebuan
Dalam kejadian 3 petang pada 29 Mei 2020, Nur Nazihah Mohd Sabri, 8, dan adiknya, Muhammad Azib, 6, disengat tebuan ketika bermain bersama seorang lagi kakak mereka berusia 11 tahun di kawasan semak berhampiran kediaman mereka di Felda Kerteh 4.
Mangsa, Nur Nazihah disahkan meninggal jam 1.35 pagi 31 Mei 2020 ketika
diberi rawatan di Hospital Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.
Bagaimanapun, adiknya masih menerima rawatan di hospital yang sama dan keadaannya dilaporkan stabil.
Anggota bomba melakukan kerja pemusnahan sarang tebuan
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Paka, Mohd Rezuan Adnan berkata, kerja memusnahkan sarang tebuan terbabit dilakukan kira-kira 10 malam pada Isnin, 1 Jun 2020.
Menurutnya, seramai empat anggota ditugaskan menjalankan kerja pemusnahan terbabit dan dilakukan pada waktu malam bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.
"Sebelum itu, kita menjalankan pemeriksaan di sekitar kawasan kejadian dan mendapati hanya terdapat satu sarang tebuan dan kita musnahkan," katanya.
Beliau berkata, kejadian itu adalah yang pertama
berlaku di Paka yang membawa kematian.
Katanya, sepanjang Januari hingga Mei tahun ini,
pihaknya memusnahkan lima sarang tebuan.
"Sepanjang tahun lalu, kita berjaya memusnahkan
16 sarang, manakala 25 sarang dimusnahkan pada 2018.
"Kita meminta orang ramai segera melaporkan
kepada bomba apabila terjumpa sarang tebuan bagi memudahkan pihak kami
bertindak dengan pantas," katanya.
Nur Nazihah, yang disengat tebuan pada 29 Mei 2020, merupakan kes kematian kedua yang berlaku terhadap kanak-kanak di Dungun.
Sarang tebuan yang menyebabkan seorang kanak-kanak perempuan terbunuh disengat tebuan di Felda Kerteh 4, Terengganu
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, kematian Nur Nazihah adalah kes ketiga menyebabkan kematian disengat tebuan berlaku di daerah Dungun.
Katanya, kes pertama yang berlaku pada Ogos 2017, membabitkan kematian dua beradik.
"Dua kes (kematian) berlaku di Dungun, babitkan kematian tiga kanak-kanak.
"Kejadian sebelum ini dilaporkan berlaku pada 8 Ogos 2017 mengorbankan Iffah Darwisha Abdul Wahab, 3, dan kakaknya, Irdina Batrisyia, 8.
"Kedua-dua beradik itu diserang ratusan tebuan ketika sedang bermain di hadapan rumah mereka di Kampung Batu Tiong, jam 6.30 petang.
"Bagaimanapun, Iffah Darwisha disahkan meninggal
dunia pada malam itu ketika diberi rawatan kecemasan di Hospital Dungun,"
katanya.
Katanya, manakala kakak mangsa, Irdina Batrisyia yang
kritikal dan menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur
Zahirah HSNZ Kuala Terengganu pula meninggal dunia dua hari selepas itu.
"Selain kes kematian dua beradik terbabit, kes
sengatan tebuan itu juga turut mengorbankan seorang mandor ladang Risda, Mohd Taufik
Jusoh, 26.
"Kejadian itu berlaku pada Mei 2011 ketika mangsa
menunggang motosikal diserang tebuan ketika dalam perjalanan ke tempat kerjanya
di Ladang Risda Kampung Sedang, jam 8.30 pagi," katanya.
Baharudin berkata, mangsa yang berasal dari Kampung Batu 48 itu disengat di kepala dan badan sebelum dikejarkan ke Hospital Dungun dan meninggal dua jam kemudian. - KitaReporters