Terima kasih Skuad Jejak Asnaf Baitulmal MAIWP! Bantu 2 pesakit strok, anak ada sawan kronik!
Published byAbdul Rahman yang mengalami masalah strok terlantar di rumah anaknya di Flat Sri Perak, Sentul, Kuala Lumpur dikunjungi Skuad Jejak Asnaf, Baitulmal, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan untuk mendapatkan butiran maklumat bagi menyalurkan bantuan kepada beliau dan keluarga. - Kredit foto: FB Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.
KEHIDUPAN dua individu penghidap strok (angin ahmar) dan seorang menghidap sawan kronik perlu diberikan perhatian bagi membolehkan mereka meneruskan kelangsungan hidup dalam suasana serba mencabar sekarang.
Ketiga-tiga mereka, dua daripadanya terlantar di pembaringan perlu diberikan suntikan semangat dan rangsangan selain bantuan material atau kewangan untuk menjadikannya terus ceria sekalipun terpaksa menanggung penyakit yang dihidapi.
Lagi kisah-kisah menyentuh jiwa berkaitan Tolong Kami:
https://kitareporters.com/search?search=Tolong+Kami
Mohd Farid Rahmat (kanan) yang mengalami stroke separuh badan memberikan maklumat kepada dua pegawai Skuad Jejak Asnaf semasa berkunjung ke kediamannya di Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Mohd Farid Rahmat yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu pelancong disahkan oleh doktor mengalami penyakit strok separuh badan setelah ia terjatuh tidak sedarkan diri dalam bilik air sejak Oktober 2020 lalu.
Beliau yang tinggal di Jalan Raja Ali, Kampung Baru, Kuala Lumpur pergerakannya agak terbatas sejak mengalami penyakit tersebut dan hanya mengharap bantuan adik dan sepupunya yang tinggal bersama di rumah berkenaan.
Semasa kunjung ziarah Skuad Jejak Asnaf, Baitulmal, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan turut menyampaikan sumbangan bantuan barangan keperluan asas makanan kepada Mohd Farid.
Sebelum dirinya ditimpa ujian, dia tidak dapat menjana pendapatan sejak tahun 2020 ekoran penularan wabak COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mengakibat bidang pelancongan negara terjejas teruk.
Mohd.Farid yang masih bujang kini beransur pulih daripada lumpuh separuh badan dan masih menjalani rawatan rapi secara mingguan di Hospital Kuala Lumpur.
Selain itu dia juga perlu minum susu yang dikhaskan untuknya, di samping ubat-ubatan dicadangkan oleh pihak doktor.
Sementara itu, seorang warga emas yang dikenali sebagai Abdul Rahman, 60, menghidap penyakit darah tinggi yang kronik hingga menjadi masalah strok tinggal bersama menantu dan anak perempuannya di Flat Sri Perak, Sentul.
Beliau yang ditemani isteri tinggal menumpang di rumah anak mereka kini terlantar di atas katil sejak mengalami penyakit tersebut sejak tahun 2004 lagi.
Dia yang mempunyai pencen ilat tetapi masih tidak cukup menampung keperluan perubatannya.
Bagaimanapun anak-anaknya bekerjasama membantu bagi memberi keselesaan antaranya berusaha mengadakan katil yang digunakan sekarang.
Beginilah keadaan Abdul Rahman yang terlantar di atas katil setiap hari dengan ditemani isterinya.
Menantu dan anak perempuannya menghadapi kesukaran dengan pendapatan tidak seberapa ditambah pula menanggung tiga orang anak yang masih kecil, tetapi mereka tidak pernah mengeluh atau merasa terbeban menanggung kedua-dua ibu bapa yang telah tua dan uzur.
Beginilah keadaan dan cara Aryan yang mengalami sawan kronik tidur atau baring setiap hari.
Dalam pada itu, sepasang suami isteri diuji dengan anak sulung mereka dilahirkan kurang sempurna dan menghidap penyakit sawan kronik. Adik Aryan yang kini berusia 4 tahun dikatakan menderita penyakit sawan kronik semasa ia dilahirkan lagi.
Menurut bapanya, Farhan pernah memohon bantuan untuk anaknya dengan sebuah agensi tetapi ditolak dengan alasan beliau tidak layak.
Bekerja sebagai penyelenggara di syarikat penapis air beliau berdepan masalah kewangan untuk menampung perbelanjaan dan keperluan perubatan anaknya itu. Namun dia bersyukur kerana kediaman yang diduduki mereka sekarang adalah rumah pusaka peninggalan milik ibu bapa mentuanya.
Adik Aryan selain memerlukan penggunaan lampin juga turut dinasihatkan mengambil susu khas sebagai nutrisinya.
Farhan (kanan) memberikan maklumat mengenai anaknya Aryan yang menghidap penyakit sawan kepada Skuad jejak Asnaf, Baitulmal, Majlis Agama Islam Wilayah Kuala Lumpur.
Pihak Skuad Jejak Asnaf, Baitulmal, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan yang memperolehi maklumat ketiga-tiga kes daripada Aduan Mobile Jejak Asnaf dan Majlis Perwakilan Penduduk telah melakukan kunjung ziarah selama tiga hari pada Isnin, Selasa dan Rabu (antara 1 hingga 3 Februari 2021) bagi mendapatkan butiran maklumat untuk membolehkan mereka layak menerima bantuan yang sesuai bagi meringankan beban serta meneruskan kesimbungan hidup dalam keadaan sekarang.
Kredit foto: FB Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan
Semasa menemui Mohd Farid, para pegawai Skuad Jejak Asnaf mengisi butiran maklumat borang permohonan Bantuan Kewangan Bulanan dan Bantuan Perubatan Am (susu) untuk keperluan beliau selain sumbangan barangan asas keperluan makanan.
Semoga dengan bantuan tersebut akan mengurangkan beban yang ditanggung.
Bantuan Kewangan Bulanan bagi meringankan beban sekeluarga dicadangkan kepada Abdul Rahman selain lampin pakai buang serta keperluan lainnya. Beliau juga akan dibekalkan tilam khas untuk membolehkan keadaannya lebih baik dan selesa.
Menyedari kesusahan yang dialami keluarga adik Aryan, Bantuan Perubatan Am merupakan lebih sesuai bagi menampung keperluan susu dan lampinnya untuk masa terdekat yang disarankan para pegawai Skuad Jejak Asnaf, Baitulmal, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.
Bantuan yang disalurkan oleh agensi ini merupakan sumbangan zakat orang ramai diharap dapat meringankan beban yang ditanggung untuk kelestarian kesinambungan hidup mereka berkenaan. - KitaReporters