BELUM pun menaiki takhta kerajaan, bakal pengganti Ratu Elizabeth II, Putera Charles (gambar atas) sudah 'mencetuskan' konflik dengan bondanya apabila dilaporkan merancang menukar Istana Buckingham, kediaman rasmi dan pejabat kerabat monarki United Kingdom (UK) sebagai muzium. Alasannya, kos pengurusan istana yang kian mahal.

Menurut laporan terbaharu The Mirror, Ratu Elizabeth II dengan tegasnya tidak bersetuju dengan idea anak sulungnya itu meneruskan rancangannya kerana istana itu sepatutnya menjadi tempat berkumpul keluarga diraja bagi meraikan acara rasmi negara termasuk perkahwinan yang penuh gilang gemilang.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Ratu Elizabeth II



Selain itu, baginda juga dikatakan tidak setuju dengan cadangan Prince of Wales itu yang mahu mengecilkan bilangan anggota kerabat diraja bekerja. Difahamkan usaha itu tidak akan dilaksanakan sekarang kerana ratu masih memerintah.

Istana Buckingham menjadi kediaman Ratu Elizabeth membesarkan empat putera dan puterinya dan tempat banyak acara diadakan termasuk perkahwinan gilang gemilang Charles-Diana dan adik beradik serta anaknya Putera William.

"Baginda tidak begitu teruja dengan idea itu kerana percaya, istana itu patut menjadi sebahagian daripada sejarah keluarga," kata sumber itu lagi.

Ini kerana istana itu mempunyai sudut beranda khas yang menjadi tumpuan penonton yang setia menunggu terutama untuk menyaksikan kemunculan keluarga diraja atau sekadar pertama kali 'bertemu' mata dengan pengantin istana.

Ratu pernah membuka istana itu untuk pengunjung pada 1993 yang membenarkan pengunjung melawat beberapa ruangan dalaman 775 bilik itu, tidak termasuk apartmen keluarga. 

Media WomanHomes pula melaporkan sejak perintah sekatan pergerakan (PKP) dikenakan di London, istana itu ditutup sepenuhnya dan ratu izinkan ia dibuka semula pada April 2021 lalu.

“Ratu Elizabeth berulang alik dari Istana Buckingham dan Istana Windsor yang menjadi persinggahan utamanya di London. Baginda akan menghabiskan dua hingga empat hari seminggu. Jadi buat masa ini, cadangan tidak akan menjadi kenyataan dengan segera," kata sumber itu lagi.


Kredit foto: IG ClarenceHouse


Putera Charles dalam satu kenyataan menafikan laporan itu sambil menegaskan, "Istana Buckingham akan kekal sebagai kediaman diraja di London," demikian lapor Vogue. Apapun sebarang perubahan tidak diumunkan sebagai kenyataan rasmi diraja sehingga ia benar-benar dibuat nanti.

Sumber itu menyebut sebab utama Charles mahu menukar istana sebagai muzium kerana kos pengurusan  yang memakan belanja berjuta-juta pound. Istana itu pernah diubah suai selepas perang dunia kedua dan kali terakhir, sebanyak $500 juta (RM2.09 bilion) diperuntukkan untuk projek naik taraf yang diluluskan pada 2016 dan dijangka siap pada  2027.

WomanHome menyebut istana dengan 775  bilik itu memiliki taman persendirian terbesar di UK dan sangat luas untuk ratu dan ahli keluarganya. Istana itu pula berhampiran dengan kawasan terbuka termasuk Hyde Park, dekat  pejabat Perdana Menteri di 10 Downing Street dan bangunan utama, Big Ben dan Westminster Abbey.

Ratu ada mewarisi beberapa istana diraja yang terkenal dengan sejarah dan seni arkiteknya. Dari Istana Windsor yang menjadi istana paling lama dihuninya, kebetulan pula suaminya, Putera Philip gering dan meninggal dunia di istana itu. 

Dari Istana Balmoral di Scotland, dia menghabiskan musim panasnya. Setiap satu istana mencipta memori indah di hatinya. Istana Buckingham pula dianggap sebagai kediaman diraja terbesar dan paling diingati peminat keluarga diraja dari seluruh dunia.



News.com.au yang memetik laporan Sunday Times of London pada 2017 mengimbas kembali laporan Charles dijangka 'mengeluarkan' Istana Buckingham dalam senarai kediaman singgahannya kerana dikatakan tidak memenuhi cita rasanya.

Charles juga dilaporkan tidak begitu gemarkan bangunan besar dan kemungkinan Istana Buckingham lebih sesuai dijadikan sebagai pejabat dan muzium kerana 'ia tidak sesuai untuk keluarga moden' dan 'tidak lestari' pula bila membabitkan kos  dan penjagaan alam sekitar.



Usaha menaik taraf itu akan membabitkan gantian paip, kabel elektrik, pertukaran lampu, bahagian luaran. Dan penggantian 2,500 radiator dengan sistem moden. Dilaporkan keluarga diraja cuba menjadikan istana itu lestari tenaga. 

Mulanya, ada rakyat marah tetapi masa yang sama akan meningkatkan keupayaan akses orang ramai untuk keluar masuk istana kerana sekarang ada 300 bekerja termasuk keluarga diraja.

Pelan itu mungkin dilakukan selepas Charles ditabal sebagai raja. Kerana putera itu menganggap pertukaran taraf kediaman sebagai muzium itu sebagai projek komersial dengan menjadikan sebagai Istana-Muzium Ratu Elizabeth II

Dengan itu harapan kos penjagaan boleh diuruskan dengan kutipan harga tiket, demikian lapor The Sunday Times.


Photos: London's Buckingham Palace opens to public amid coronavirus |  Hindustan Times

Merakam saat-saat manis di Istana Buckingham


India Times pada 10 Julai 2021, melaporkan sehingga akhir September 2021, pelawat boleh berpiknik di taman sari kediaman keluarga diraja di Istana Buckingma itu untuk menikmati keindahan bunga, serangga dan pokok yang ditanam sejak era Ratu Victoria dan Putera Albert. 

Kawasan seluas 157 meter (39 ekar) yang dibina sejak 1820 itu boleh diakses dengan bayaran RM97.17 ($22.70).

Sebelum ini pelawat kena ikut pemandu pelancong tetapi sejak Julai sehingga akhir September 2021, orang ramai bebas bersiar-siar sambil menikmati keindahan bungaan sambil berkelah dengan kawan-kawan, keluarga dan teman istimewa. Selalunya tema piknik ini dibuat ala-ala stail diraja dengan aksesorinya hamparan dan napkin daripada kain kapas.

Sally Goodsir mewakili pengurusan Yayasan Koleksi Diraja memberitahu media, wabak Covid-19 menyebabkan usaha membuka taman itu terjejas dan kini orang ramai sudah boleh bergembira untuk kembali di taman itu.

Sebelum ini, Ratu Elizabeth akan menjadi tuan rumah menjayakan tiga keraian di taman sari berkenaan dan jamuan dalam istana tetapi terpaksa dibatalkan sejak dua tahun lalu. Begitu juga pembukaan beberapa dewan sejak 1993 juga ditangguhkan.

Dilaporkan tabungan kewangan diraja terjejas teruk apabila kutipan tiket tidak dapat dibuat. - KitaReporters



17
13
0
12
0

Copy Link: