Tak siapa yang mahu ditakdirkan hidup menderita, dapat anak dan suami yang sakit mental. Juga hidup dalam serba kekurangan dan tertekan sepanjang hayat. 

Kisah seorang wanita yang hanya dikenali sebagai Zura, 41 tahun dari Kangar Perlis, sangat menyayat hati dan memerlukan bantuan pihak berkuasa dengan segera bagi membantu keluarganya yang hidup dalam keadaan yang sangat tertekan.

Zura menceritakan kisahnya kepada NGO Kesihatan Mental MaRMA dalam group WhatsApp "Perkongsian Caregiver Skizo" dan juga melalui panggilan telefon kepada Timbalan Pengerusi MaRMA iaitu penulis sendiri. 



Menurut Zura, buat masa ini beliau menjaga suaminya yang berusia 49 tahun yang mengidap skizofrenia sejenis sakit mental yang agak kronik sejak beberapa tahun yang lalu. Di samping itu, dia juga menjaga bapa mentuanya yang mengalami masalah nyanyuk dan tidak boleh menguruskan diri. 

Lebih menyedihkan anak sulung perempuannya berusia 22 tahun kini menunjukkan ciri-ciri sakit mental yang sama seperti ayahnya. 

Menurut Zura, anak sulungnya dulu normal tetapi sejak ayahnya sakit dia juga turut terkesan,. Bila ditegur atau dinasihatkan anak sulungnya akan hentakkan kepala ke dinding. Dia ada di dalam dunianya sendiri. Tidak mahu bergaul dengan keluarga dan sering lari dari rumah.

Wanita tabah ini mempunyai tiga orang anak, yang sulung perempuan yang berusia 22 tahun yang mempunyai ciri sakit mental seperti ayahnya,.

Anak kedua juga perempuan berusia 18 tahun, sekarang belajar di sebuah politeknik di Perlis dan yang ketiga, anak lelaki bongsu baru berusia 15 tahun. 

lZura memberitahu beliau sedih kerana baru-baru ini pada 21 November 2024, anaknya itu mendapat surat dibuang sekolah kerana selalu tidak hadir ke sekolah, kerana membantu ibunya menjaga datuknya yang nyanyuk dan ayahnya yang sakit mental.

Zura memberitahu, keputusan pihak sekolah memberhentikan anak lelakinya dari sekolah sangat menyedihkan anaknya itu.


Anak bungsu Zura yang menjaga datuknya, telah diberhenti sekolah kerana selalu tidak hadir.


Beliau telah pergi ke sekolah menceritakan masalah keluarganya kepada pengetua sekolah anaknya, Pengetua sekolah anaknya berasa kesal kerana tidak mengetahui masalah keluarga beliau. Akhirnya pengetua berkenaan telahpun membuat rayuan di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN). 

Zura berharap anaknya dapat bersekolah kembali. Beliau rasa gembira kerana pengetua sekolah anaknya memahami masalah keluarganya. 

Malah pengetua sekolah menengah di Perlis itu berjanji akan menempatkan anaknya di asrama jika rayuan anaknya untuk masuk kembali ke sekolah diluluskan oleh JPN. 

Beliau sangat berharap ada pihak yang sudi membantu keluarganya terutama soal pendidikan anak-anaknya yang dua orang itu.

Zura juga mahu mendapatkan bantuan untuk anak sulungnya yang mempunyai ciri-ciri sakit mental, selain bantuan untuk ayah mentuanya yang nyanyuk, selain bantuan sara hidup untuk keluarganya.


Zura ambil upah mengemas rumah orang seminggu sekali 


Zura tidak bekerja dan tidak mempunyai pendapatan tetap. Beliau ada menanam sedikit sayuran dan tanaman lain untuk menyara hidupnya. Selain itu, beliau turut mengambil upah mengemas rumah orang seminggu sekali. 

Baru-baru ini beliau ditipu oleh satu sindikit scammer yang meminta beliau membayar sejumlah wang kerana didapati tidak menjelaskan bayaran ansuran barangan Singer yang dibelinya. 

Oleh kerana takut dengan ugutan orang yang menyamar sebagai anggota polis daripada IPD Kangar, beliau telah menjualkan motor keluarganya yang menjadi satu-satu kenderaan yang keluarganya ada. 

Terlalu berat berat masalah yang Zura tanggung dan dengan tangisan dia memberitahu penulis: "Saya tak tau nak mengadu pada siapa masalah ni.

"Sebagai seorang ibu saya galas semua tanggungjawab ini sendiri, sampai saya rasa sangat stres dan down sangat. Mana nak fikir

hutang piutang yang tak terbayar bila kami tiada pendapatan. 

"Masalah sekolah anak-anak yang terbengkalai,  nak jaga suami dan pak mentua yang sakit mental dan nyanyuk serta masalah anak sulung yang mula menunjukkan ciri sakit mental. 

"Bukan senang nak cari duit untuk makan minum keluarga dan keperluan lain. Saya dah jadi  tak kuat, kerap menangis, termenung, dan menyendiri. Kadang tu, fikir yang bukan-bukan. 

"Ya, saya pilih untuk diam daripada bercakap sebab terlalu banyak yang difikirkan, sampai tak tahu di mana penghujungnya," luahnya pada penulis. - KitaReporters


19
10
2
11
0

Copy Link: