Semangat juang repalman Idris! Berbangga dapat pertahan negara! Berharap dapat buat ibadat umrah!
Published bySETIAP kali bergema laungan merdeka pada 31 Ogos setiap tahun, menggamit kenangan menyusup jiwa seorang bekas repalman (anggota raifal) Tentera Darat yang tidak dapat melupai kejadian bertempur dengan pengganas komunis di hutan belantara Raub, Pahang dan Tanjung Pari, Baling, Kedah kira-kira 42 tahun lalu.
Walaupun berjaya menewaskan tentangan pengganas komunis bersama-sama 30 rakan setugas tetapi beliau akan berasa bangga dan terharu jika pengorbanan setiap anggota keselamatan bukannya didendang atau uar-uarkan pada hari kemerdekaan sahaja sebaliknya berterusan sekalipun tiada sambutan khas.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan bekas angggota tentera
Idris terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak selepas cedera teruk kerana kemalangan dan diserang strok.
Idris Osman, 67, berkata masyarakat sekarang khususnya generasi baharu seakan sudah lupa jasa dan pengorbanan anggota keselamatan yang bertugas dalam hutan belantara membanteras pengganas demi kesejahteraan serta keselamatan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.
Menurutnya,
anggota keselamatan sanggup berkorban jiwa dan raga, meninggalkan anak serta
isteri berbulan-bulan lamanya untuk mengawal hutan supaya tidak digunakan oleh pengganas
untuk bermaharajalela yang bertujuan membuat persiapan menggangu gugat keamanan
yang dikecapi negara.
Jelasnya, sebagai anggota tentera, mereka bukan menagih sanjungan begitu tinggi cukup jika rakyat pelbagai lapisan masyarakat menghargai kedamaian yang dinikmati sekarang serta menjaganya dengan baik supaya keamanan kekal berterusan untuk diwarisi generasi akan datang.
Idris banyak mengisi masa dengan mengaji al-Quran dan mengikuti kuliah agama di surau PJMM setiap hari.
“Saya berasa amat terharu dan berbangga apabila dapat melihat pembarisan anggota tentera pada sambutan kemerdekaan negara menerusi kaca televisyen yang begitu gah dan mendapat tepukan gemuruh daripada orang ramai apabila membuat lintasan hormat di depan pentas pembesar negara,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Kemerdekaan Negara ke-65 dan Kursus Umrah yang dianjurkan Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM) , Semenyih, Selangor, 31 Ogos 2022 lalu.
Idris yang kini terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak selepas cedera teruk pada bahagian kaki akibat kemalangan di samping diserang strok dan sudah setahun lebih menjadi penghuni pusat jagaan berkenaan.
Beliau yang berasal dari Rembau, Negeri Sembilan memilih menghuni PJMM sebaik sahaja keluar dari hospital selepas selesai menerima rawatan.
Beliau berkata, dia sebatang kara selepas isterinya Aminah Mohd Yusof meninggal dunia empat tahun lalu dan kerana tidak mahu menyusahkan ahli keluarga yang lain memilih untuk ditempatkan di PJMM bagi mengisi kelangsungan hidup dengan mengaji dan mengikuti kuliah agama di situ.
Idris Osman (baju hijau) memberi tabik hormat selepas menyanyikan lagu Negaraku bersama-sama rakan warga emas pada majlis Sambutan Kemerdekaan Negara ke-65 di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Semenyih, Selangor, 31 Ogos 2022 lalu.
Menyingkap kisah menentang pengganas komunis di hutan belantara Raub itu, dia bersama rakan-rakan setugas dengan diketuai Kapten Toh memberi tentangan yang secukupnya diiringi semangat keperwiraan bagi membendung pengganas komunis yang membuat kekacauan.
“Begitulah
juga ketika di Tanjung Pari diketuai Kapten Norizan, saya dan rakan terus
berjuang menentang pengganas yang cuba bertapak dan membuat perancangan di situ
sebelum dapat dihalau keluar dari Baling, Kedah.
“Saya menasihati generasi muda hari ini supaya menghindari kegiatan tidak bermanfaat, jadilah anak yang taat kepada ibu bapa dan rakyat yang memelihara kemerdekaan dan undang-uandang negara,” katanya yang berkhidmat lebih 21 tahun dalam tentera dan menamatkan perkhidmatan pada 1998 dengan pangkat Kompeni Sarjan Mejar (KSM) di Kem Majidee, Johor.
Walaupun sesetengah mereka uzur tetapi warga emas di PJMM tetap bersemangat pada Sambutan Kemerdekaan Negara ke-65.
Pada
majlis sambutan kemerdekaan itu, Idris bersama-sama penghuni yang lain
memulakan program dengan menyanyi lagu Negaraku, Tanah Airku dan Gemuruh. Tidak seperti
penghuni lain sebaik selesai menyanyi lagu Negaraku Idris memberi tabik hormat
walaupun terpaksa duduk dia atas kerusi roda.
Mengenai
kursus umrah yang disertai itu, beliau berharap menjadi pembakar semangat
untuknya mengerjakan umrah pada tahun akan datang bersama-sama penghuni lain
ketika masih ada kudrat walaupun berkerusi roda.
“Sebagai
warga emas dan sebahagian besarnya tiada waris selain disisih keluarga amat
berharap mendapat tajaan pelbagai pihak untuk sudi membawa kami mengerja umrah
bersama-sama mereka yang lain,” kata Idris.
Menurut Pengerusi PJMM, Azman Rasman pusat berkenaan amat mengalu-alukan individu, tokoh korporat, syarikat dan pertubuhan bukan kerajaan yang berminat menaja penghuni atau sukarelawan bertugas untuk menunaikan umrah. - KitaReporters
Warga emas di PJMM turut menyertai kursus umrah yang diadakan secara teori dan amali sempena Sambutan Kemerdekaan Negara.