Pastikan sembelihan patuhi syarak! Masjid Bandar Tun Hussein Onn anjur kursus penyembelihan halal!
Published byPeserta turut diberi pendedahan mengenai cara melapah kambing.
SETIAP orang Islam perlu mempraktikkan cara penyembelihan yang ihsan terhadap binatang sebagaimana mengikut kaedah cara Islam yang ditetapkan oleh hukum syarak. Inilah kaedah yang boleh menghalalkan daging binatang itu halal dimakan di samping memenuhi syarat-syarat lain.
Nazir Masjid Bandar Tun Hussein Onn (MBTHO), Cheras,
Selangor, Dr Fairuz Mohamad, berkata setiap kursus penyembelihan halal yang
dianjurkan itu bukan setakat untuk menambahkan keyakinan untuk melakukan
sembelian malah mendedahkan bagaimana sembelihan yang ihsan.
Menurutnya, selepas mengikuti pendedahan secara teori dan pratikal dalam kursus berkenaan ia hendaklah diamalkan seterusnya dipratikkan cara sembelihan yang betul dalam kehidupan terutama apabila terbabit dalam tugasan penyembelihan.
Dr Fairuz Mohamad ketika berucap merasmikan Kursus Penyembelihan Halal Peringkat MBTHO.
Tambahnya, walaupun sesetengah antara kita mengakui
mempunyai pengalaman yang luas dalam tugasan penyembelihan tetapi adakah
mengamal atau mengetahui cara betul sembelihan mengikut hukum syarak dan
perbuatan dilakukan itu adalah ihsan terhadap binatang.
“Dengan mengikuti kursus ini diharapkan dapat menambah
pengetahuan sembelihan dan mengambil berkat ilmu yang diajarkan itu untuk
diamalkan dalam kehidupan disamping dimanfaatkan atau dikongsi dengan orang
lain,” katanya ketika berucap merasmikan Kursus Penyembelihan Halal Peringkat
MBTHO pada 26 Mei 2024.
Turut hadir pada majlis itu ahli jawatankuasa penganjur, pengendali kursus iaitu Timbalan Presiden Persatuan Penyembelih Ternakan Halal Malaysia, Abdul Halim Zakaria dan 105 peserta kursus.
Abdul Halim Zakaria memberi penerangan dan menjawab soalan peserta mengenai keperluan menjadi seorang penyembelih yang mematuhi syarak.
Abdul Halim berkata, kursus itu mendedahkan serta memberi
pencerahan kepada peserta mengenai ilmu dan hukum-hakam berkaitan penyembelihan
terutama berkaitan ibadah korban di samping meningkatkan kesedaran masyarakat
kepentingan memilih makanan yang sihat dan bersih lagi halal.
Oleh itu, menurutnya, kursus berkenaan menyentuh topik
berkaitan sembelihan halal dalam teknologi moden, ihsan dalam sembelihan selain
berbincang mengenai isu semasa berkaitan langkah-langkah untuk memulakan sembelihan
termasuk untuk melaksanakan ibadah korban pada hari raya haji nanti.
Tambahnya, sebelum dan selepas melakukan penyembelihan kena mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti mengadap kiblat, pisau diasah dahulu untuk dipastikan ketajaman, memakai pakaian yang bersesuaian, menggunakan sarung tangan dan menutup kepala.
Abdul Halim memberi penerangan kepada peserta cara penyembelihan yang betul menepati syarak pada Kursus Penyembelihan Halal Peringkat MBTHO pada 26 Mei 2024.
Selepas penyembelihan, mereka yang ditugaskan melakukan penyembelihan
hendaklah melakukan pemeriksaan terhadap binatang berkenaan seperti putus urat
halkum, melonggar ikatan pada kaki, melihat keadaan mata, perut dan kaki
sehingga tiada pergerakan bagi memastikan lembu atau kambing benar-benar mati.
Jelasnya, sama ada penyembelih atau yang melakukan tugas
melapah perlu menjaga kebersihan, melaksanakan hukum syarak terutama ketika
melakukan proses penyembelihan, hindari melakukan perbuatan syirik, fasik dan
munafik.
“Penyembelih hendaklah memanfaatkan ilmu sembelih kepada generasi muda untuk mengelak mereka melakukan kesilapan pada masa akan datang dan hendaklah berhati-hati dengan petua yang tidak boleh diterima malah mengelirukan kerana sesetengahnya itu boleh mencemarkan kebersihan daging dari segi kesihatan apabila dimakan,” ujar Abdul Halim lagi.
Seorang peserta dipilih untuk melakukan latihan pratikal sembelihan selepas mendapat penerangan daripada Abdul Halim.
Sementara itu, seorang peserta kursus, Khairul Erwan Mohamed dari Beranang,
Selangor, melahirkan rasa bertuah kerana berpeluang mengikuti kursus
penyembelihan halal itu kerana dia belum pernah mendapat pendedahan yang betul
mengenai cara sembelihan binatang korban sama ada kambing atau lembu.
Menurutnya, untuk melakukan sembelihan bukan satu tugas yang
mudah malah ada peraturan yang perlu dipatuhi supaya perbuatan kita itu
mematuhi syarak dalam ajaran agama Islam kerana banyak manfaat terutama daging
sembelihan halal untuk dimakan.
“Walaupun kursus ini mengambil masa kira-kira separuh hari sahaja namun pengetahuan asas untuk melakukan tugas sebagai penyembelihan binatang sudah cukup tetapi saya perlu mempraktikkannya supaya menjadi lebih mahir,” ujarnya.
Khairul Erwan Mohamed.
Bagi Suhaimi Kamarul Ghani dari Semenyih, Selangor pula, kursus penyembelihan itu menambah keyakinan pada dirinya untuk melakukan
sembelihan jika diminta untuk melakukan tugas berkenaan terutama pada hari raya
korban nanti.
Jelas beliau, cara penerangan di samping tunjuk ajar yang
disampaikan oleh Abdul Halim amat jelas serta mudah difahami mengenai persediaan
perlu dilakukan dan kaedah sembelihan yang betul sebagaimana ditutup dalam
syarak.
“Apabila melakukan penyembelihan kita perlu mementingkan menjaga kebersihan sama ada pisau digunakan, pakaian dan termasuk memakai penutup kepala supaya tidak berlaku pencemaran pada daging binatang sembelihan seperti ketika melapah,” katanya.
Suhaimi Kamarul Ghani.
Seorang peserta menerima sijil penyertaan Kursus Penyembelihan Halal Peringkat MBTHO.