Video| Punah Hospital Indonesia di Gaza kena bom! Kisah bagaimana Rumah Sakit dibina di Palestin!
Published byLuluh suasana di Rumah Sakit Indonesia selepas terkena serangan bom. - Kredit video: Facebook
Indonesia ada bangunan hospital di Gaza? Berlakunya episod serang menyerang Palestin-Israel sejak 7 Oktober 2023 lalu, nama hospital Indonesia disebut-sebut. Tersiar laporan, tentera Zionis menyasarkan serangan di kawasan awam, hospital serta rumah ibadat dan antara terbabit adalah hospital Indonesia yang terletak di Bait Lahiya, Gaza Utara, Semenanjung Gaza, Palestin.
Di hadapan hospital itu, gah tertera nama Rumah Sakit Indonesia (RSI). Menariknya Indonesia mendapat tawaran tanah daripada Palestin, yang kemudian membangunkan hospital itu yang dibiayai warga Indonesia sendiri.
Sejak kewujudan RSI lapan tahun lalu, hospital itu memberi khidmat kepada ramai warga Palestin yang memerlukan rawatan, dan baru-baru ini kita dikhabarkan bangunannya terkena sasaran bom Israel.
Ramai cedera, ada yang terkorban, petugas medik bergadai nyawa menyelamatkan mangsa.
Rumah Sakit (Hospital) Indonesia di Gaza. - Kredit foto: Insertlive
Laporan menyebut pengeboman ganas tentera aparteid Zionis menyasarkan hospital Syifa dan RSI serta beberapa hospital lain. Pengeboman pada 9 November di RSI telah mengorbankan 20 warga Palestin dan puluhan terluka. Siri serangan kemudiannya menyebabkan kerosakan serius kepada kemudahan hospital, menimbulkan panik pesakit, petugas dan orang awam yang mencari perlindungan.
Agensi Berita Palestin (WAFA) melaporkan, pesawat tentera Israel melancar beberapa siri serangan di sekitar beberapa hospital yang menempatkan puluhan ribu pesakit, majoritinya kanak-kanak dan wanita. Kerosakan menjejaskan bekalan elektrik sehingga putus, menyebabkan perkhidmatan semakin sukar, yang akhirnya memaksa hospital menutup operasi.
NBC Indonesia di Jakarta melaporkan pada 17 November, Hospital Indonesia berhenti beroperasi kerana kekurangan pasukan dan peralatan medik serta penerimaan banyak pesakit akibat serangan Israel di wilayah itu. Hospital dijadikan sasaran militer aparteid Israel dengan tuduhan sebagai pusat aktiviti bawah tanah komando Hamas. Pejabat Palestin dan kelompok Indonesia pembiaya hospital menafikan dakwaan itu.
Pada 20 November 2023, dilaporkan akibat kerosakan perhubungan, sukarelawan di hopital Indonesia sudah tidak dapat dihubungi.
Kredit foto: Aljazeera.com
Rasa sebak mendengar nasib hospital Indonesia yang telah lama berjasa kepada rakyat Palestin di Gaza, apatah lagi bagi individu terawal yang bertanggungjawab atas kewujudan rumah sakit itu.
Beberapa hari lalu, tersiar satu video menyingkap sejarah di sebalik tertubuhnya hospital Indonesia di Gaza oleh individu terbabit, iaitu bekas Menteri Kesihatan (mantan Menkes) Indonesia Siti Fadilah Supari. Rata-rata mengetahui hospital Indonesia digagas oleh sukarelawan yang tergabung dalam organisasi sosial Medical Emergency Rescue Committee (MER-C).
Namun Siti Fadilah adalah individu yang menerima tawaran tanah daripada rakan sejawatnya di Palestin. Segalanya bermula dengan tawaran oleh Menteri Kesihatan Palestin.
"Ketika itu Palestin baru saja selesai perang dengan Israel (2008). Ketika itu saya sebagai Menteri Kesihatan Indonesia. Dalam satu pertemuan, Menteri Kesihatan Palestin berbisik kepada saya, Bu, kalau saya kasi tanah di Gaza, bisa nggak anda bikin rumah sakit?"
Terkejut dan teruja dengan tawaran itu, Siti Fadilah menjawab, "Aduh terima kasih bangat, benarkah tanah di Gaza (mahu diberi)?" Soal Siti Fadilah. "Ya untuk anda, untuk Indonesia," ulang Menteri Kesihatan Palestin.
"Biarpun belum terbayang bagaimana dan siapa yang akan mengerjakannya, peluang keemasan itu mesti saya terima dahulu. Selepas itu, berlaku kebetulan demi kebetulan, yang membawa kepada pertemuan demi pertemuan dengan individu dan kumpulan yang menyokong usaha untuk menegakkan rumah sakit berkenaan.
Bekas Menteri Kesihatan Indonesia Siti Fadilah Supari mengimbas kembali saat dia ditawarkan tanah di Gaza untuk membina Rumah Sakit Indonesia. - Kredit video: Facebook.
"Saya masih ingat, sekembali di Indonesia, terfikir siapa pula yang akan membina rumah sakit itu? Di Gaza, tempat perang tu.
"Kemudian saya teringat sukarelawan kemanusiaan, Dr Jose Rizal yang aktif dan biasa dengan misi di tempat perang lalu kami pun bertemu. Saya memberitahunya mengenai tawaran tanah di Gaza untuk dibuat rumah sakit. Wah, Jose pun bersyukur, Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah!" katanya.
"Saya tanya, kenapa? Rupa-rupanya, Jose memang sudah berhasrat untuk membina rumah sakit tetapi memikir bagaimana kaedah untuk mendapatkan tanah di Gaza?
"Itulah yang anehnya. Satu keanehan luar biasa bagi saya, dapat berjumpa Jose dan kebetulan dia mempunyai hasrat itu. Kemudian dia mula mengusahakan pengumpulan dana.
"Pada hal sudah ada tawaran dari Iran ketika itu untuk memberikan dana, namun Jose menolak kerana katanya dana mesti daripada orang Indonesia sendiri, dari umat Islam negara kita, tegas beliau dan akhirnya dana berjaya dikumpul.
"Mujur semasa ditawarkan tanah, saya tak fikir lain dulu, terima. Bayangkan ketika itu, satu kemudahan apa pun tak ada, namun betapa Allah menyatukan jiwa-jiwa yang tersentuh akan perjuangan Palestina, dan bersatu untuk bekerjasama," ujar Siti Fadilah.
Sebelum itu, selepas ada dana, persoalan timbul pada benaknya, "siapa mahu pergi kerja di tempat perang?" Tapi Alhamdulillah setelah diusahakan, rupa-rupanya orang Palestin sendiri yang menyanggupinya, mereka beramai-ramai menyumbang tenaga menjayakan pembinaan hospital itu.
Untuk makluman, Dr Jose Rizal adalah pengasas pertubuhan MER-C di Indonesia, kini almarhum. Netizen di Indonesia juga baru mendengar kisah itu.
"Masya-Allah dengar paparan ibu mantan Menkes Siti Fadilah Supari jadi merinding, betapa Allah memang menyatukan jiwa-jiwa yang tersentuh akan perjuangan Palestina. Semoga kita juga menjadi bagian yang disatukan Allah dengan kondisi Palestina sekarang," komen seorang netizen.
Kesan kerosakan di Rumah Sakit Indonesia di Gaza. - Kredit video: CNN Indonesia
Dibangun atas tanah wakaf daripada pemerintah Palestin di Gaza dengan keluasan16.261 meter persegi. Pelan penubuhan RSI itu, awalnya digagas para sukarelawan yang tergabung organisasi MER-C yang turun ke Semenanjung Gaza di tengah gempuran Israel pada Januari 2009, serangan Israel ke atas Gaza pada 2008 mengorbankan ribuan jiwa.
Bagaimanapun pembinaan RSI hanya dapat dimulakan Mei 2011 dengan dana berjumlah 126 miliar rupiah, selesai dibangun dan dirasmikan oleh mantan Timbalan Presiden (Walpres) Indonesia, Jusuf Kalla pada 2015.
Mengikut sejarahnya, RSI telah beberapa kali terkesan oleh ledakan bom yang dilemparkan Israel ke Palestin. - KitaReporters