Video| McD Malaysia sokong Palestin! Hias premis dengan warna-warna Palestin! Tapi terus diboikot?
Published byWalau apa jua penjelasan daripada McDonald’s Malaysia (Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd), orang ramai berterusan memboikot restoran makanan segera tersebut. Pelbagai penjelasan dan cara mereka buat, ia tetap tidak diterima.
Bukti betapa marahnya rakyat Malaysia terhadap produk yang berkaitan dengan aparteid Israel.
Natijahnya, ramai pekerja yang kebanyakannya adalah orang Melayu, mungkin akan kehilangan pekerjaan. Namun, yakinlah rezeki datangnya daripada Allah SWT.
Hal ini telah menyebabkan pertelingkahan dan perang mulut dalam media sosial. Ada pihak yang menyokong langkah memboikot McDonald’s dan ada pihak sebaliknya.
Malah, dikatakan McDonald’s Malaysia banyak menggaji orang kurang upaya (OKU) dan langkah memboikot akan menyebabkan mereka juga kehilangan sumber rezeki sedangkan di luar, untuk golongan ini agak sukar mencari pekerjaan lain.
Langkah demi langkah diambil oleh McDonald’s Malaysia untuk memujuk orang ramai agar berhenti memboikot mereka.
Baru-baru ini (2 Oktober 2023) seorang pengguna TikTok telah berkongsi satu video menunjukkan sebuah restoran McDonald’s menghiasi kedai mereka dengan dekorasi bertemakan Palestin.
McDonald's Malaysia menggajikan ramai pekerja daripada golongan OKU.
Restoran tersebut kelihatan dihiasi belon-belon berwarna hijau, merah, putih dan hitam yang melambangkan bendera negara Palestin. Malah, para pekerjanya juga kelihatan memakai mafla solidariti Palestin. Video tersebut juga menggunakan latar belakang lagu berjudul Atuna Tufuli.
Namun, pemilik TikTok berkenaan dilihat telah memadam video tersebut. Tidak dapat dipastikan kenapa dia bertindak memadam video berkenaan.
Melihat tanda halal yang ditampal di dinding kaca kedai tersebut, sah ia berada di Malaysia. Video tersebut juga tular di negara jiran, Indonesia.
Soal boikot atau tidak, terpulang pada diri masing-masing. Kadang-kadang isu seperti ini membuatkan kita serba salah.
Andai diboikot, terfikir pula apa nasib para pekerjanya yang kebanyakannya terdiri daripada orang Melayu. Andai tidak diboikot, terkenang pula nasib saudara-saudara seagama di Palestin yang hingga kini teruk dibantai oleh si zalim laknatullah.
Tepuk dada tanya iman. - KitaReporters